Monday, February 22, 2010

RTM promosi Piala Dunia


DARI kiri: NASIR Ali, Adi Satria, Ngombane, Joseph Salang dan Norhayati pada sidang akhbar sempena RTM Media Screening: 2010 FIFA World Cup di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PERLAWANAN bola sepak Piala Dunia 2010 bakal bermula 11 Jun ini. Berlangsung selama sebulan, bumi Afrika Selatan pastinya akan menjadi perhatian dunia sempena temasya empat tahun sekali itu.

Sebanyak 32 buah negara sudah pun menempah tiket untuk bertarung merebut gelaran gergasi bola sepak dunia.

Bagi peminat setia bola sepak, baik di Malaysia mahupun serata dunia, saat ini, tentu ada yang mula berkira-kira untuk memberikan sokongan terhadap pasukan-pasukan tertentu.

Biarpun tarikh 11 Jun dilihat seakan masih jauh, bahang dan 'demam' bola sepak sudah semakin dirasai.

Justeru, bagi menghangatkan lagi iklim Piala Dunia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memperoleh hak menyiarkan perlawanan di negara ini telah merangka pelbagai program dalam usaha mempromosikan TV1 dan TV2 yang menjadi nadi kepada penyiaran perlawanan berkenaan.

Antara usaha yang dirangka adalah dengan mengadakan siri jelajah seluruh Malaysia yang antara lain bertujuan untuk memudahkan khalayak penonton TV1 dan TV2 mendapatkan maklumat mengenai jadual penyiaran setiap perlawanan.

RTM akan menyiarkan 24 perlawanan secara langsung dan 11 lagi siaran tertunda termasuk 35 ulang siar.

Penyiaran itu akan bermula 11 Jun ini iaitu perlawanan antara Afrika Selatan dan Mexico. Apa yang menarik, dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung, RTM menjanjikan untuk menyiarkan hanya pasukan ternama dan hebat sahaja.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Norhayati Ismail berkata, selain perlawanan, RTM turut merangka serta menyusun beberapa lagi program menarik khusus untuk penonton.

Katanya, antara program tersebut adalah filem, drama dan program kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan bola sepak.

Filem yang bakal disiarkan, sebagai contoh, membabitkan Bend It Like Beckham, Out Of Africa dan Goal!

"Kita juga tidak akan lupa menerbitkan program bercorak gameshow, kuiz dan bual bicara mengenai bola sepak.

"Dalam mempromosikan penyiaran Piala Dunia 2010 di RTM, kesemua stesen radio milik RTM juga akan bertindak dalam membantu menguatkan lagi promosi berkenaan,'' katanya ketika ditemui pada majlis RTM Media Screening : 2010 FIFA World Cup, di ibu negara baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang; Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, Sisa Ngombane; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Pengarah Urusan Utusan Airtime, Adi Satria Ahmad.

Selain tetamu kenamaan, majlis berkenaan turut dihadiri para pengiklan dan wakil syarikat korporat yang diberikan penerangan berkenaan pengiklanan di RTM sempena Piala Dunia 2010.

Majlis diserikan dengan persembahan artis ternama tanah air iaitu Amy (Search) dan Adibah Nor serta kumpulan pelajar Afrika Selatan dari Universiti Limkokwing yang mempersembahkan tarian tradisional mereka.

Pengiklanan RTM

Sementara itu, bersempena dengan majlis berkenaan, RTM melalui Utusan Airtime, sebuah anak syarikat Kumpulan Utusan yang bertindak sebagai pengendali iklan untuk stesen televisyen dan radio milik RTM turut menarik perhatian syarikat korporat dalam menaja atau membeli iklan di mana-mana slot sepanjang perlawanan berlangsung.

Menurut Adi Satria, penyiaran Piala Dunia merupakan asas kukuh untuk pengiklan mengembang atau memperkuatkan jenama syarikat atau produk masing-masing.

"RTM sudah semestinya percuma dan penyiarannya mencakupi hampir 95 peratus isi rumah seluruh Malaysia.

"Berdasarkan Piala Dunia 2006 di Jerman, RTM telah berjaya mengumpul lebih sejuta penonton.

"Untuk perlawanan kali ini, sudah tentu jumlah penonton akan meningkat memandangkan RTM mendapat hak untuk menyiarkan perlawanan langsung pasukan-pasukan ternama dunia,'' jelasnya.

Kata Adi Satria, dalam siri jelajah mempromosikan penyiaran Piala Dunia 2010 di RTM, bukan sahaja memberi peluang kepada penonton mendapatkan maklumat mengenai jadual perlawanan, Utusan Airtime turut tidak terlepas untuk menggiatkan usaha memperoleh jumlah pengiklan yang tinggi.

"Berdasarkan penyelidikan AGB Nielson, program sukan yang berada di tangga teratas sekitar 2009 adalah TM Piala Malaysia Akhir 2009 dengan lebih 2.7 juta penonton. Ia disiarkan di TV1.

"Bukan sahaja bola sepak, RTM turut menyiarkan beberapa program sukan lain. Ini membuktikan bahawa RTM menjadi saluran sukan kegemaran ramai.

"Lain-lain program sukan yang dirancang untuk disiarkan di RTM sepanjang 2010 adalah Sukan Malaysia (Sukma 2010) pada Jun, Sukan Komanwel Delhi (Oktober), Sukan Asia (November) dan Monsoon Cup (Disember),'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: