Monday, February 22, 2010

Ellie bantu Erma arah Antara...


ELLI Suriaty Omar (kanan) bersama pelakon-pelakon dan penyanyi yang akan menjayakan pementasan Antara... pada sidang akhbar baru-baru ini.


BERILAH apa saja tugas yang berkaitan dengan keagamaan kepada Erma Fatima, dia tidak akan berkata tidak pada tawaran-tawaran itu.

Sekalipun terpaksa berkorban kudrat, masa dan wang ringgit, sutradara ternama tanah air itu sentiasa akan mencari ruang untuk memastikan tugas itu dijayakan.

Begitu juga dengan tawaran baru bersama Istana Budaya (IB).

Biarpun tawaran diterima sangat singkat, namun amat berat sekali untuk Erma menghampakan Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani yang memintanya mementaskan sebuah naskhah sempena sambutan Maulidur Rasul Jumaat ini.

Justeru, selepas perbincangan dibuat dan kata putus dicapai, Erma sepakat untuk mementaskan naskhah Antara... yang akan membuka satu lagi perspektif baru terhadap pementasan di IB.

Mengenali Erma yang begitu sinonim dengan kontroversi, Antara... sebetulnya juga kalau mahu dikupas sedalam-dalamnya mempunyai elemen yang serupa.

Namun, kali ini pengarah yang berjaya dengan pementasan Natrah itu lebih bijak membuat percaturannya.

Awal-awal lagi dia sudah mempersiapkan diri untuk tidak mahu mengambil risiko yang besar dengan membuat perubahan pada naskhah itu sebelum ia menjadi perdebatan yang panjang.

"Tajuk awal teater ini Jika Tiada Syurga Dan Neraka, Masihkah Kita Menyembah Tuhan?, tapi apabila ada sesetengah orang pertikaikan judulnya yang membabitkan akidah maka segera saya ubah.

"Kemudian saya dapat tajuk kedua iaitu Antara Syurga dan Neraka. Ia bagaimanapun tetap dapat bantahan. Setelah membuat keputusan, saya akhirnya meletakkan judul Antara...," kata Erma pada sidang akhbar di IB baru-baru ini.

Sebelum perubahan akhir dibuat, Erma juga terlebih dahulu merujuk kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang banyak memberi pandangan dari sudut agama.

"Saya banyak bertanya kepada beliau (Harussani) berkaitan apa yang boleh dan dilarang jika menayangkan teater berkonsep seperti ini.

"Alhamdulillah, beliau tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar dan kerjasama kepada saya," ujar Erma yang turut mengundang tokoh agama yang disegani ramai itu pada sidang akhbar Antara...

Selaku penerbit dan penulis skrip, teater Antara... diterbitkan bagi menangkis pelbagai serangan sama ada jelas ataupun psikologi terhadap agama dan penganut Islam.

Atas tanggungjawab kepada sesama saudara sealiran agama, muncullah Antara... yang menunjukkan manusia pilihan antara kasih dan benci, rindu dan dendam serta syurga dan neraka.

Pada masa yang sama, Erma memohon bantuan dan kepakaran aktres terkenal, Ellie Suriaty Omar untuk mengarah sekali gus memperindahkan teater Antara... itu.

Biarpun punya pengalaman duduk di kerusi pengarah sebelum ini, Ellie tanpa berselindung mengakui tertekan untuk menampilkan naskhah itu dalam garapan terbaik.

"Sebagai teater yang ada pertalian agama dan membabitkan asal usul umat manusia, sudah pasti saya kena berhati-hati supaya tiada sesiapa mempersoal hasil kerja ini di belakang hari.

"Terus-terang, semasa Erma tawarkan saya mengarah teater ini, saya cuba menolaknya dengan baik kerana tahu dugaan besar awal-awal lagi terbentang di depan mata.

"Setelah difikir semula, peluang keemasan seperti ini bukannya selalu datang. Sebagai anak seni, bila lagi saya dapat mempamerkan kreativiti untuk mengarahkan karya sehebat ini?

"Mengenangkan perkara itu maka saya sahut cabaran Erma. Dengan bantuan krew produksi Antara... , penglibatan pelakon-pelakon hebat dan penyertaan beberapa penyanyi popular, saya yakin teater ini pasti berjaya," ujar Ellie.

Selain Nasha dan Fahrin, pelakon lain yang turut membintangi pementasan itu antaranya ialah Azizah Mahzan, Azhan Rani, Haerianto, Iqbal Mazlan, Anne Abdullah, Syammas dan Soosan Hoh.

Penonton juga akan dihiburkan dengan nyanyian berunsur kerohanian dari penyanyi-penyanyi terkenal tanah air seperti Jamal Abdillah, Ziana Zain, Hattan, Azlan Typewriter, Iqwal dan Wana.

Karya Antara... yang dibawakan oleh Antipop Event Solutions Sdn. Bhd. dengan kerjasama IB itu bakal dipentaskan di Panggung Sari pada 26, 27 dan 28 Februari ini.

Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250 dengan menghubungi talian 03-4149 8600 atau layari www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: