Wednesday, February 3, 2010

Perabot lama banyak kenangan


SAADIAH Abu Samah menghias rumahnya dengan perabot jati dan PGA.


PADA tahun 1980-an mungkin tidak ramai yang mahu membeli rumah di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) kerana kedudukannya yang jauh dari pusat bandar raya.

Namun kini TTDI sudah menjadi seperti sebuah bandar dan berhampiran dengan gedung-gedung membeli-belah terkemuka yang terdapat di Bandar Utama. Beruntung benar bagi mereka yang memiliki rumah di sini dan tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur bagi membeli-belah.

Seperti kata Saadiah Abu Samah, 52, jika dia hendak pergi ke Bandar Utama, dia hanya berjalan kaki sahaja. Tidak perlu bawa kereta kerana sukar hendak mendapatkan tempat letak kereta.

Saadiah yang membeli rumah banglo berkembar di TTDI pada tahun 1990 berkata, dia selesa tinggal di sini setelah beberapa kali berpindah rumah mengikut suami bertugas.

''Suami bertugas dengan sebuah bank tempatan dan sebelum tinggal di sini, kami pernah menetap di Kuantan dan Kepong. Apabila suami ditukarkan semula ke Kuala Lumpur, kami mengambil keputusan untuk membeli rumah ini kerana besar, selesa dan suka dengan rekaannya,'' kata Saadiah.

Menurut Saadiah lagi, pada masa itu, harga rumah tersebut cuma RM249,000 namun kini nilainya sudah meningkat ke lebih RM1 juta.

Rumah yang mempunyai keluasan lebih 279 meter persegi ini mempunyai lima bilik. Empat bilik ditingkat atas dan sebuah di bawah. Selesa bagi Saadiah yang mempunyai tiga orang anak berumur 28, 25 dan 17 tahun.

Saadiah berkata, keseluruhan konsep hiasan adalah menurut ideanya sendiri. Suami dan anak-anak tidak cerewet dan menyerahkan kepadanya dalam hal mengurus dan menghias rumah.

Ruang tamu rumah jenis split level ini yang berbentuk empat segi bujur di mana Saadiah membahagikan kepada dua bahagian dengan dua set sofa yang berbeza.

Ruang tamu yang mula-mula ditemui tetamu apabila memasuki rumah ini dihiasi dengan set sofa PGA yang dibelinya empat tahun lalu. Kusyen kerusi berwarna merah sememangnya menjadi warna kegemaran Saadiah.

Katanya, warna merah menjadikan rumah nampak ceria, terang dan bersemangat.

Di satu lagi ruang tamu pula terdapat set sofa kayu jati yang dibelinya semasa dia baru membeli rumah ini.

''Sofa kayu jati ini sudah pun berusia 20 tahun sama usia dengan rumah ini. "Saya beli satu set bersama kerusi makan dan dua buah kerusi lain. Walaupun sekarang ramai yang tidak menggunakan kerusi ini lagi namun saya sayang kerana sehingga ke hari ini, ia masih tahan dan tidak rosak,'' ujar Saadiah.

Minat Saadiah kepada barangan perhiasan tembaga dapat dilihat pada sebuah almari kayu merbau di hujung ruang tamu yang dipenuhi dengan dulang pahar, bekas lilin, tepak sirih, kendi dan sebagainya.

Kata Saadiah, barangan tembaga tersebut dibeli sedikit-sedikit di Terengganu semasa suaminya bertugas di Kuantan. Terdapat juga barangan peninggalan arwah ibunya yang digilap semula sehingga berkilat.

Menaiki tiga anak tangga ialah ruang menonton televisyen dan ruang makan. Ruang menonton televisyen ini dahulunya adalah courtyard namun dimanfaatkan sebagai ruang televisyen.

Ruang makan yang mempunyai set meja makan PGA dengan lapan kerusi terletak berhadapan dengan ruang televisyen. Sebuah almari kayu yang dipenuhi dengan perhiasan perak diletakkan berhadapan dengan meja makan agar ruang ini tidak nampak terlalu kosong.

Dari ruang ini juga keluarga atau tetamu dapat merehatkan mata dan minda melihat pancuran air yang keluar dari dinding tembok rumah. Begitu mendamaikan mendengar bunyi air yang mengalir masuk ke dalam kolam kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: