Wednesday, February 3, 2010

Langsir...penyeri rumah


MENGGAYAKAN langsir berwarna oren mencetuskan suasana ceria dan lebih santai untuk ruang rehat. Pilihan bantal kecil yang ringkas turut menepati cita rasa moden.


TATA hias perlu mengikut tema tertentuan agar dapat melengkapi konsep penataan gaya. Selain perabot, langsir juga memainkan peranan penting dalam menghiasi ruang kediaman. Pilihan langsir pelbagai bentuk tidak lengkap digayakan tanpa mengambil kira kesesuaian hiasan dalamannya.

Ruang tamu dan bilik tidur antara ruang kediaman yang sering mendapat perhatian dalam reka hias.

Tidak seperti ruang dalaman lain, ruang tamu lebih khusus fungsinya kerana ia menjadi sudut santai keluarga dan meraikan tetamu.

Ruang bilik tidur pula memiliki daya kerohanian dan emosi paling mendalam. Tidur dalam suasana warna lembut dan tidak kontras memberikan kesan tenteram. Kedua-dua ruang ini lebih menarik jika pemilihan langsir diberi perhatian. Langsir kini turut melambangkan personaliti penghuni rumah yang didiami.

Seiring dengan perkembangan dunia fabrik, pelbagai jenis langsir dihasilkan dan ia menepati gaya hidup serta cita rasa penghuni yang gemarkan kelainan untuk kediaman mereka.

Apabila sesebuah rumah dihiasi langsir yang cantik secara tidak langsung penghuninya akan dapat ketenangan serta hidup dalam suasana harmoni.

Selain rekaan mempersonakan, langsir yang dihasilkan juga bukan setakat cantik dipandang malah praktikal dan tahan hingga bertahun lamanya.

Versatil

Aspirasi langsir Elyza's yang dilancar baru-baru ini, memberi pelbagai pilihan kepada mereka yang meminati gaya versatil.

Di samping itu, ia juga tidak mengabaikan fungsi utama langsir sebagai penapis cahaya matahari dan pelindung aktiviti orang di dalam rumah.

Elyza’s mengadunkan konsep suai padan dan menambah kemasan pada langsir untuk menghasilkan seni hiasan yang moden dan bergaya.

Koleksi kali ini amat elegan. Ada juga elemen klasik dan moden diadun dengan hiasan dalaman rumah tradisional dan kontemporari.

Mereka yang meminati koleksi semula jadi, mungkin boleh memilih koleksi Fiji. Inspirasi pulau Fiji ini memberi mood tenang dan sejuk.

Sementara itu, koleksi Summer House (Montrose) menampilkan kuntuman ros dalam rona ungu ditambah dengan bantal hiasan corak petak yang menyerlahkan suasana bilik gaya romantik dan keselesaan.

Ia amat sesuai kepada pasangan pengantin baru dan anda yang gemarkan persekitaran berlatarkan bunga-bungaan, diserikan dengan padanan rona lembut.

Koleksi Lattina pula menampilkan kombinasi dua fabrik sheer organza dengan fabrik bertekstur polos yang menyerlahkan gaya moden pada ruang.

Garapan moden kontemporari juga turut mewarnai koleksi Angora yang tentunya digemari generasi muda berdasarkan paduan rona hampir sama dengan sedikit corak geometri.

Tidak ketinggalan koleksi lain menawarkan keunikan tersendiri seperti Viola, Palazzo, Splendor, Pastel, Urban Textures Vol 2, dan Westbury.

Malah koleksi lain juga tidak kurang hebatnya kerana direka khas untuk memenuhi pelbagai cita rasa dan konsep dekorasi yang sentiasa mengalami perubahan.

Ia membawa keistimewaan tersendiri dari segi rekaan, corak serta kombinasi fabrik sekali gus mengilhamkan gaya terbaik segenap ruang kediaman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: