KUALA LUMPUR:Dua lelaki yang menaiki kereta Proton Satria bertindak nekad merempuh seorang anggota polis berpangkat lans koperal di Kilometer 6.2 Lebuh Raya Persekutuan, di sini petang kelmarin, dalam usaha mengelak daripada dicekup.
CEDERA...Fairus (kanan) menunjukkan motosikalnya yang dirempuh penjenayah sambil diperhatikan Abdul Rahim.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kedua-dua suspek itu dikatakan memandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Taman Midah, Cheras, di sini. Sebaik dihampiri dua anggota polis iaitu mangsa Lans Koperal Fairus Fadzil, 32, bersama rakannya Lans Koperal Zulkharu Mohamad, 40, kedua-dua suspek bertindak memecut kenderaan mereka menghala Petaling Jaya melalui Lebuh Raya Persekutuan.
Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata bagaimanapun kedua-dua anggota polis berpakaian awam yang menunggang dua motosikal itu berjaya memintas kereta suspek dan mengarahkannya berhenti sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Suspek kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan dan berpura-pura memberi kerjasama. Tetapi sebaik dihampiri, suspek yang memandu bertindak nekad melanggar mangsa yang berada di atas motosikalnya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di lutut kanan dan patah kaki kiri.
“Bagaimanapun, seorang lagi anggota tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat mengelak,” katanya.
| |
Abdul Rahim berkata, mangsa yang mengalami kecederaan itu menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan seorang suspek yang berusia 48 tahun di sekitar ibu negara beberapa jam kemudian hasil maklumat orang ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: