Monday, February 22, 2010

Nasib malang graduan China


SEBAHAGIAN besar graduan China dibelenggu kesempitan hidup kerana tiada pekerjaan tetap.


SEORANG jurujual wanita yang menjual alat keselamatan adalah antara ratusan ribu graduan muda universiti atau lebih dikenali sebagai semut dibelenggu kesempitan hidup akibat pendapatan kecil dan kerja yang tidak menentu. Mereka bagaimanapun berharap dapat mengambil kesempatan daripada keajaiban ekonomi China.

"Saya bercadang untuk berpindah ke tempat lain, cukuplah apa yang dilalui setakat ini," kata Yu, 27, yang tinggal di sebuah flat sempit berukuran sepuluh meter persegi di Kampung Tangjialing bersama suaminya, seorang jurujual perkakasan komputer.

Flat yang didiami pasangan itu sangat kecil sehingga tiada almari yang boleh diletakkan menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kerusi untuk menyangkut pakaian.

Yu bagaimanapun mengaku, kepayahan itu berbaloi kerana kadar sewanya hanyalah 550 yuan (RM273) sebulan berbanding menyewa flat di bandar. Sewanya tentu berganda-ganda, membolehkan pasangan itu mengumpul pendapatan sebanyak 4,400 yuan (RM2,181) sebulan.

Suatu ketika dahulu kebanyakan graduan universiti di China menggelarkan diri mereka sebagai kanak-kanak yang dipilih dari syurga kerana bakal mendapat pekerjaan oleh kerajaan selepas tamat pengajian di samping ditawarkan pelbagai kemudahan lain seperti rumah.

Bagaimanapun perubahan ekonomi sejak tiga dekad lalu menyebabkan keadaan mula berubah dan memaksa mereka berebut-rebut sesama sendiri untuk mendapat pekerjaan tetap serta kehidupan yang lebih baik di pinggir bandar yang sempit itu.

Pada 2009, negara itu berjaya melahirkan seramai enam juta graduan universiti, bagaimanapun sehingga penghujung tahun lalu hanya 87 peratus sahaja yang berjaya mendapat pekerjaan bermaksud hampir 800,000 lagi masih menganggur.

Di Beijing, terdapat lebih 100,000 golongan berkenaan, di bandar raya seperti Shanghai dan Guangzhou juga mempunyai jumlah yang hampir sama, seperti gambaran buku yang bertajuk Ants Tribe yang dihasilkan melalui kajian selama dua tahun dalam kalangan tenaga kerja di negara itu.

"Mereka meletakkan harapan dan matlamat yang tinggi," kata ketua penulis buku berkenaan yang juga Professor Madya di University of International Business and Economics, Lian Si.

"Mereka sanggup hidup dalam kesempitan di kampung-kampung untuk mengejar impian dan masa depan yang lebih cerah," katanya.

Bagi jurutera perisian, Huang Gulong, beliau boleh dianggap terselamat dalam situasi berkenaan.

Selama 18 bulan di Tangjialing, beliau berjaya mendapatkan kontrak baru selama tiga tahun di sebuah syarikat dengan pendapatan bulanannya meningkat sebanyak 50 peratus kepada 4,500 yuan (RM2,233).

"Saya mahu membina asas dalam ekonomi, menimba pengalaman dan menjadi pekerja serba boleh," kata lelaki berusia 26 tahun dari wilayah tengah Hubei itu yang mempunyai impian untuk menjadi pengurus dalam syarikat Teknologi Maklumat kelas pertama.

"Kini saya semakin menghampiri impian itu," katanya.

Bagaimanapun tidak semua orang bernasib baik seperti Huang.


EKONOMI China yang terjejas mengakibatkan hampir 800,000 graduannya menganggur.


Berdasarkan kajian yang dilakukan pada awal 2009 oleh Lian dan pasukannya terhadap kira-kira 500 golongan itu di Beijing mendapati, hampir satu pertiga daripadanya tidak mempunyai kontrak pekerjaan yang formal di samping ramai antara mereka sering bertukar kerja sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.

Pendapatan bulanan mereka hanya terhad kepada 2,150 yuan (RM1,066), kurang separuh daripada pendapatan perkapita di bandar raya itu ketika ini.

Sesetengah pakar memberitahu, program yang dilaksanakan di universiti agak ketinggalan zaman dan tidak pernah berubah menyebabkan lulusan graduan dalam bidang-bidang tertentu sukar mencari pekerjaan.

"Sesetengah kursus sama ada sudah lapuk atau tidak memenuhi keperluan semasa pembangunan sosial," kata seorang professor di Fudan University di Shanghai, Hu Shoujun.

"Terlalu banyak universiti yang menawarkan kursus yang hampir sama menyebabkan lebihan graduan dalam bidang-bidang tertentu," katanya.

Berbalik kepada situasi di Tangjialing, Yu berkata, situasi yang dialaminya amat sangat genting, walaupun adakalanya dia membawa bonus jualan sehingga 20,000 yuan (RM9,020) pada masa-masa tertentu, namun ada antara bulan-bulan berkenaan yang memeritkan Yu dan pasangannya.

"Kami tidak akan menetap di Beijing selama-lamanya dan pasti akan kembali semula ke kampung halaman suatu hari nanti," kata wanita yang berasal dari wilayah utara Hebei.

Tambahnya, dia berharap dapat membuka kedai pakaian di tempat asalnya di Cangzhou.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: