jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Monday, February 22, 2010

Lima pelukis tersohor Johor




MELIHAT perwatakannya yang serba sederhana tidak hairanlah anak muda bernama Muhammad Shahbir Abdul Wahab, 30, mudah didekati dan diajak berbicara.

Sekali gus menepis prasangka penulis yang sebelum ini beranggapan orang seni atau pelukis hidup dalam dunia sendiri dan sukar difahami atau didampingi.

Pemilik nama pena, Ilshah Shahbir juga mempunyai latar belakang yang menarik untuk dikongsi termasuk minat melukis seawal umurnya empat tahun.

Kecemerlangannya dalam bidang pendidikan diteruskan apabila menerima Anugerah Dekan untuk Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Grafik) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Walaupun telah melanjutkan pelajaran dalam bidang grafik dan bukan seni halus, Muhammad Shahbir mengakui perkara tersebut mempunyai hikmah tersendiri selain memberinya kelebihan kerana mempunyai dua bidang kepakaran.

Jelasnya, bidang tersebut juga pernah memberikannya kerjaya yang menarik iaitu sebagai pereka cenderamata di Petronas selama dua tahun.

"Namun minat yang terlalu tinggi terhadap seni halus mengatasi segala-galanya dan saya mahu bebas berkarya tanpa hidup dalam kekangan orang lain," katanya yang turut memiliki syarikat percetakan dan grafik di Masai.


MINAT Muhammad Shahbir terhadap seni halus mengatasi segala-galanya.


Sejak menjadi pelukis bebas enam tahun lalu, Muhammad Shahbir tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau telah menyertai pelbagai pameran lukisan di dalam dan di luar negara.

Sehingga kini, lebih 300 karya lukisan telah dihasilkannya tidak termasuk lukisan potret atau ilustrasi yang jumlahnya melebihi 1,000 unit.

Bapa kepada sepasang cahaya mata Muhammad Irfan Darwish, 5, dan Irdina Sofia Darwisha, 3, ini semakin giat melukis sama ada di rumahnya di Johor Bahru atau di pejabatnya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Kejayaan itu membuktikan pembabitannya secara serius membawa pulangan lumayan dan menafikan pandangan sempit sesetengah pihak yang beranggapan kerjaya itu tidak mempunyai masa depan.

Anak sulung daripada empat beradik itu menambah, hari ini ramai dalam kalangan pelukis di negara ini bertaraf jutawan dengan hanya menjual hasil karya masing-masing. Bahkan setiap karya mereka sering ditunggu-tunggu oleh peminat.

"Lukisan merupakan satu terapi, peminat mampu berkomunikasi dengan lukisan tersebut dan tidak hairan ada lukisan yang nilainya mencecah jutaan ringgit. Tambahan pula, setiap lukisan dihasilkan cuma satu sahaja dan ia adalah pelaburan yang menguntungkan bagi pemiliknya kerana harga lukisan sentiasa meningkat saban tahun.

"Selain bergantung kepada falsafah, harga setiap karya turut bergantung kepada kredibiliti seseorang pelukis itu," kata Muhammad Shahbir yang pernah menjual karya seninya mencecah RM30,000.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Serting, Negeri Sembilan itu tidak lokek berkongsi kisah kejayaan, malah sanggup turun padang ke sekolah-sekolah atau memberi ceramah berkaitan lukisan dengan harapan lebih ramai pelapis pelukis berwibawa dilahirkan di negara ini.

"Saya dapati ramai pelajar sekolah yang berbakat menjadi pelukis, justeru mereka perlu dibimbing sekali gus diberi peluang memilih pelukis sebagai kerjaya," kata Muhammad Shahbir yang kini mempamerkan karya lukisannya yang bertajuk, Isnpirasi Selatan di Galeri Seni, Johor Bahru sempena Pameran Seni Tampak.

Johor sememangnya terkenal dengan pelbagai aktiviti kesenian. Antaranya termasuklah tarian zapin, kuda kepang dan persembahan ghazal.

Bahkan, negeri tersebut tidak sunyi melahirkan artis-artis terkenal tanah air seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Sharifah Aini, Amy Search, bekas vokalis kumpulan Lefthanded; Nash, Mawi dan sebagainya.

Visual kejayaan

Dalam bidang seni lukisan, Johor tidak ketinggalan melahirkan tokoh-tokoh pelukis tersohor yang terkenal sama ada di dalam dan luar negara.


MUHAMMAD SHAHBIR tidak lokek berkongsi pengalamannya dengan pelajar-pelajar sekolah.


Justeru, Muhammad Shahbir mendapat ilham untuk menzahirkan lima tokoh pelukis tersohor kelahiran negeri Johor bagi menyampaikan mesej kisah kejayaan warga negeri itu dalam bidang seni kepada khalayak umum.

Pemilihan lima tokoh itu berdasarkan kajian Muhammad Shahbir.

"Segala-galanya bermula apabila saya berhijrah ke Johor pada 2004 sedangkan saya sudah lama menjejaki kesemua tokoh pelukis itu ketika menetap di Kuala Lumpur.

"Rupa-rupanya pelukis tersohor di negara ini adalah anak kelahiran Johor dan saya rasa teruja untuk mengabdikan sumbangan mereka dalam bentuk lukisan potret," katanya ketika ditemui di Galeri Seni, Johor Bahru baru-baru ini.

Lebih istimewa katanya, imej sebahagian karya pelukis itu dijadikan latar belakang visual berikutan kejayaan mereka mencipta nama di dalam dan di luar negara dengan menyertai pelbagai pameran antarabangsa serta program residensi selain meraih pelbagai kejayaan dalam pertandingan seni.

Pemilihan lima personaliti itu bukanlah sesuatu yang mandatori kerana terdapat ramai lagi pelukis di negeri itu namun ia dilakukan selepas kajian dan pemerhatian secara holistik.

Potret yang dihasilkan Muhammad Shahbir bermula dengan susunan wajah Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal menerusi karyanya, Impian Ledang pada 2000 yang menjadi latar belakang visual potret itu.

Meskipun menjangkau usia 80 tahun, anak kelahiran Muar itu masih aktif berkarya dan Semangat Ledang yang dihasilkan pada 1999 menjadi karya Syed Ahmad yang paling mahal dengan nilai pasaran melebihi RM150,000.

Di sebelahnya ialah Ahmad Zakii Anwar, 54, berasal dari Johor Bahru. Muhammad Shahbir memilih karya Ahmad Zakii yang dihasilkan pada 2003 bertajuk, Manifesto sebagai latar belakang.

Ahmad Zakii umumnya dianggap mempunyai pengaruh terpenting ke atas perkembangan realisme figuratif dalam amalan seni kontemporari di Malaysia.

Karya-karya beliau mendapat sambutan yang cukup baik pada acara lelongan seni terkenal dunia seperti Sotheby dan Christie yang melelong lebih sedozen lukisannya.

Jadi tidak hairanlah, harga bukaan sebuah karyanya bermula dari RM70,000 dan boleh meningkat melebihi RM100,000 selepas tamat bidaan hingga berjaya menarik perhatian wartawan akhbar International Herald Tribune dan majalah Time menemubualnya.

Shooshie Sulaiman, 36, satu-satunya pelukis wanita diapit di bahagian tengah karya potret itu dengan berlatar belakang karyanya, Wardrobe yang dihasilkan pada 2002.

Anak kelahiran Muar itu aktif menyertai acara seni terbesar di peringkat antarabangsa seperti The Florence International Contemporary Biennale di Itali, Havana Biennale di Cuba dan terbaru adalah Asia Pacific Triennial of Contemporary Art di Queensland, Australia.

Beliau juga penerima Anugerah Bakat Muda Seni Visual 2009 daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu juga satu-satunya pelukis muda wanita Muslim yang terpilih untuk mengadakan pameran di Documenta 12, Kassel, Jerman.

Tokoh keempat adalah Hamir Soib @ Mohamed adalah salah seorang pengasas kumpulan seni tempatan yang sangat berpengaruh dan dinamik iaitu Matahati.

Pelukis berusia 40 tahun dari Muar itu, menempa nama sama ada secara berkumpulan mahupun individu di pentas seni tempatan dan antarabangsa.

Karya beliau dengan tajuk, Rapuh menjadi latar belakang dan pernah dipamerkan di Galeri Seni Johor pada 2007.

Terkenal dengan imej gotik dan karya berskala besar seperti mural, beliau turut terlibat dengan filem dan seni teater dengan penghasilan lukisan latar untuk pentas dan plot lakonan seperti filem Anna and The King.

Kerjasama beliau dengan Zuraini Anuar untuk filem Perempuan Melayu Terakhir berjaya mendapat anugerah Pengarah Seni Terbaik ketika Festival Filem Malaysia yang ke-14.

Tahun lalu, sebuah karya besar beliau terjual pada harga RM100,000 di Singapura manakala sebuah lagi karya berskala besar yang beliau hasilkan pada 2005 bertajuk, Pilihan dianggarkan bernilai RM500,000.

Personaliti terakhir, Yusof Ghani yang merupakan anak kelahiran Pontian menjadi pelengkap karya Inspirasi Selatan dengan latar belakang karyanya pada 1988 iaitu Siri Tari.

Beliau sering menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan pada awalnya bekerja sebagai artis grafik sekitar 70-an.


WAJAH lima personaliti yang dipotretkan oleh Muhammad Shahbir. Dari kanan: Syed Ahmad Jamal, Ahmad Zakii, Shooshie Sulaiman, Hamir Soib dan Yusof Ghani.


Pameran solonya yang pertama di Washington, Amerika Syarikat (AS) dengan siri Protest telah mendapat sambutan menggalakkan.

Pelukis berumur 59 tahun itu turut memiliki studio dan galeri di kediamannya di Shah Alam, Selangor dengan nama Tapak Yusof Ghani.

Apa yang menarik, kontraktor yang membinanya tidak mengenakan bayaran sebaliknya meminta lukisannya sebagai pertukaran.

Tahun lalu, sebuah galeri asing telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM1.2 juta kepada Yusof untuk sebuah pameran yang melibatkan 25 buah karya beliau di Hong Kong meskipun proses penghasilan karya-karya tersebut belum lagi dimulakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: