Wednesday, February 24, 2010

Kisah Dayang Tidak Suka Guna Telefon Bimbit

Sudah tujuh tahun Dayang tanpa telefon bimbit.

WALAUPUN telah lama mencipta nama sebagai anak seni dan telah banyak menyumbangkan lagu-lagu untuk mewarnai industri muzik tanah air, ramai yang tidak tahu mengenai kehidupan artis yang bergelar Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nur Faizah Awang Dowty, 29.

Gadis yang berkulit hitam manis ini sebenarnya mempunyai satu rahsia yang tidak semua orang tahu iaitu dia tidak menggunakan telefon bimbit sebagaimana individu lain yang tidak selesa jika tiada alat perhubungan komunikasi itu.

"Dayang memang tidak menggunakan telefon bimbit sejak saya yang menguruskannya tujuh tahun lalu.

"Mungkin itu caranya, walaupun tidak mempunyai telefon bimbit, saya tidak nampak apa-apa kesukaran untuk berhubung dengan pihak luar," kata Liza, selaku pengurus peribadinya ketika dihubungi mStar Online.

Dayang yang juga tinggal bersama kedua orang tuanya, itu bagaimanapun sudah terbiasa dengan cara tersebut walaupun dipandang pelik oleh orang di luar sana.

"Jika waktu bekerja, Dayang bersama saya, semua urusan akan diuruskan oleh saya. Pihak tertentu yang ingin menghubungi Dayang akan menghubungi saya terlebih dahulu... lagipun saya pengurusnya.

"Selepas waktu bekerja, Dayang selalunya terus balik ke rumah, jika ada perkara penting, saya akan menghubungi ibu bapanya untuk memberitahu perkara tersebut," ujar Liza dengan nada bersahaja.

Mungkin ramai yang menganggap perkara seperti itu agak janggal memandangkan Dayang merupakan seorang selebriti dan sudah pasti ramai pihak-pihak tertentu ingin menghubunginya.

"Itu bukan satu perkara yang pelik, mungkin dia senang dengan cara tersebut. Sebelum saya menjadi pengurusnya, dia memang memiliki telefon sendiri.

"Saya tidak tahu cerita di sebalik kisahnya yang tidak mahu menggunakan telefon bimbit itu," ujarnya.

Selain itu, Dayang yang sibuk dengan kariernya sebagai penyanyi turut memberitahu penyertaannya dalam Yayasan AIDS Malaysia, membuatnya lebih prihatin dan insaf dengan nasib individu yang sengsara menanggung penyakit tersebut.

"Dayang sedih apabila melihat mereka yang menderita kerana penyakit tersebut.

"Lagipun penyakit itu tidak kenal orang, ada yang orang dewasa, masih bayi lagi dna kanak-kanak," kata penyanyi hitam manis itu.

Dayang, yang ditemani pengurus peribadinya, Liza memberitahu lagu terbarunya yang berjudul 'Ku Temu Cinta' akan menjadi lagu tema untuk majlis 'Makan Malam Mama' anjuran Yayasan AIDS Malaysia bersempena Hari Wanita yang akan diadakan pada 28 Mac ini di Ballroom Bangsar.

"Lagu itu akan menjadi lagu tema untuk malam tersebut, dan buat pertama kalinya akan didendangkan dikhalayak.

"Dayang rasa gembira sangat sebab dapat menyumbangkan sesuatu untuk majlis tersebut," ujarnya yang akan mendendangkan 15 buah lagu untuk majlis itu.

Sementara itu, Dayang turut memberitahu dia kini sedang sibuk dengan rakaman lagu-lagu untuk dimuatkan ke dalam albumnya yang kelapan.

"Sekarang ini, Dayang sibuk dengan rakaman album terbaru. Ini pun baru sahaja habis tiga buah lagu.

"Insyaallah, Julai depan album itu akan dilancarkan," ujarnya selepas sidang media konsert amal "Band Aid For Haiti" di Laundry, The Curve, Mutiara Damansara.

Menyedari penerimaan muzik tempatan yang semakin menurun, Dayang yang tetap dengan pendiriannya itu menegaskan dia mengeluarkan album baru sebagai hadiah buat peminat yang tetap menyokongnya.

"Dayang lebih suka dengan cara itu, tapi memang ada perancangan untuk memuat turun lagu tersebut," katanya yang baru sahaja tamat kontrak dengan syarikat New Southern Records Sdn. Bhd. (NSR).

Menurut anak kelahiran negeri Bumi Kenyalang ini, lagu terbarunya yang berjudul 'Sayang' adalah ciptaan Nur Iman dan komposernya adalah Omar K.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: