BERGELAR ahli perniagaan di usia 21 tahun adalah satu pencapaian yang agak besar bagi penyanyi genit Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin.
Dalam masa yang cukup singkat, Mila berjaya menjadi ahli perniagaan dan bergiat aktif menaikkan nama syarikatnya, seiring kariernya yang semakin meningkat naik.
Setelah beberapa kali dilanda kisah-kisah kontroversi di sebalik kerjayanya, Mila bagaimanapun sekali lagi berhadapan dengan situasi itu apabila terdapat desas-desus mengatakan ada pihak yang cuba menjatuhkan syarikat miliknya.
"Syarikat saya masih beroperasi seperti biasa, tiada istilah tutup dan bankrap seperti yang dikhabarkan itu.
"Mula-mula saya mendengar berita itu, saya agak terkejut dan cuba bertenang.
"Saya cuba menjadi seorang yang profesional ketika berhadapan dengan situasi tersebut.
"Saya tahu dan kenal orang yang cuba jatuhkan nama dan syarikat saya itu kerana dia adalah bekas pekerja saya sendiri," kata Mila selepas sidang media "Lagu Berduit" SuriaFM di Studio V, One Utama, Damansara.
Biarpun menghadapi dugaan dan rintangan yang berat, namun Mila yang tetap tenang menghadapi situasi itu turut memberitahu dia tidak sama sekali menyangka perbuatan itu dilakukan oleh orang yang rapat dengannya.
"Saya tidak menyangka dia tergamak menjaja cerita mengenai syarikat saya yang dikatakan telah tutup dan bankrap itu.
"Semasa bekerja dengan saya, dia merupakan orang yang bertanggungjawab dalam urusan pemasaran syarikat.
"Saya percaya dan mengambil dia bekerja dengan saya kerana dia adalah kawan baik kepada bekas pengurus peribadi saya yang dulu.
"Dia bekerja dengan saya hanya enam bulan sahaja, dan telah berhenti kerja daripada syarikat saya pada bulan Jun 2009 tanpa sebarang notis.
Menurut Mila, dia sendiri tidak tahu kenapa bekas pekerjanya itu berhenti kerja secara drastik dari syarikatnya.
"Saya akui sebagai majikan, kita tidak boleh menjadi seorang yang terbaik dan saya selalu memohon maaf sekiranya ada melakukan kesilapan dengan pekerja-pekerja saya," kata juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini.
Mila yang ditemani pengurus peribadinya bagaimanapun memberitahu dia akan mengambil tindakan dengan menghantar notis kepada individu tersebut supaya menghentikan perbuatan tersebut.
"Saya sudah berbincang dengan peguam saya dan kami dalam proses untuk menyiapkan surat untuk dihantar kepadanya supaya menghentikan segala fitnah yang dikeluarkan itu.
"Buat masa ini, saya tidak akan bersemuka dengannya. Tapi dia akan terima surat daripada peguam saya.
"Saya sebenarnya tidak mahu membesarkan cerita ini, lagipun ia tidak mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak. Tindakan yang saya ambil ini pun adalah atas nasihat peguam saya," kata anak kelahiran Pulau Mutiara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: