![]() |
| Koleksi untuk lelaki menampilkan unsur maskulin menerusi pemilihan warna-warna pekat. |
BAYANGKAN anda berada dalam satu lorong yang diteduhi dengan rimbunan pohon bunga yang redup dan mendamaikan. Di depan anda pula terdapat padang rumput yang menghijau bercahaya disinari sinaran matahari penuh bertenaga.
Ketika itu pula anda bukan main selesa dengan pakaian terbaru dari koleksi Ted Baker yang dicipta khas untuk musim bunga, pasti hati akan turut berbunga-bunga.
Koleksi musim bunga dan panas Ted Baker 2010 ini sememangnya dicipta dengan penuh keceriaan.
Mengambil inspirasi alam semula jadi dari taman Inggeris dan legenda Britain, koleksi ini memang tidak syak lagi begitu menyerlah, segar dan bertenaga.
Pendek kata ia amat ideal dipakai ketika anda bersantai di luar rumah ataupun menikmati keindahan alam sekitar sambil mensyukuri kurniaan Maha Pencipta.
Khas untuk wanita, Ted Baker sengaja mengetengahkan motif flora yang ditambah kesan khas bagi menambah keanggunan dan ciri kewanitaan.
Pada satu rekaan, terdapat juga cetakan rama-rama yang penuh romantik dan nostalgik.
Koleksi pakaian wanita ini diserlahkan dengan warna jingga, biru dan hijau yang amat sesuai sebagai lambang keceriaan musim bunga.
Tidak cukup dengan itu, melengkapi penampilan wanita ialah jaket sama ada diperbuat dari kulit atau denim. Pilihan ini sesuai dipakai terutama apabila anda memilih untuk keluar pada waktu malam di musim bunga yang pastinya sedikit kedinginan.
Untuk pakaian lelaki pula, Ted Baker menekankan unsur maskulin menerusi pemilihan warna pekat seperti biru, merah dan hitam.
Baju-T, jaket, seluar panjang dan paras lutut pasti pilihan yang sepadan untuk musim ini. Tambahan lagi koleksi lelaki ini diperbuat dari fabrik yang selesa dipakai dan sesuai dengan musim panas.
Pendek kata, koleksi musim panas dan bunga 2010 dari Ted Baker ini memang elegan dan amat sesuai untuk apa jua majlis sekali pun jika bijak menggayakannya.
Bagi anda yang berkenan memiliki koleksi ini apa kata berkunjung ke butik Ted Baker yang terletak di Bangsar Village 2, Pavilion atau The Gardens, Mid Valley.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: