Tuesday, February 23, 2010

Gelombang sebelum Hanyut


HANYUT bakal digerakkan gandingan tenaga mantap bertaraf antarabangsa.


HANYUT, filem arahan sutradara tersohor, U-Wei Shaari akhirnya menemui khalayak. Semenjak tahun lalu, naskhah ini menjadi buah mulut spekulasi bajet, barisan pelakon dan piawaian yang diletakkan oleh sutradara berprolifik itu sendiri.

Mengenali isi luar seorang U-Wei, sutradara berusia 56 tahun itu mahukan sebuah filem yang impaknya akan menjadi satu wacana untuk industri perfileman tempatan seperti mana filem-filem arahannya sebelum ini.

Pada sesi sidang media memperkenalkan barisan pelakon filem tersebut, U-Wei seperti biasa menjawab pada soalan relevan dan soalan yang tidak berkaitan, dilencongkan dengan caranya tersendiri.

Ini termasuklah soalan berkaitan bajet filem terbitan Tanah Licin Sdn. Bhd. yang dikatakan menelan belanja sehingga RM25 juta.

"Pokok yang besar kalau ditiup angin, mesti lebih kuat bunyinya," begitu jawapan yang diberikan U- Wei.

Tambahnya: "Turut serta dalam produksi ini juga, Production Designer dari Australia, Sam Hobbs dan Penolong Pengarah 1, Rick Beecroft."


U-WEI memberi jawapan yang berkias apabila diajukan persoalan tentang bajet filem Hanyut yang dikatakan mencecah RM25 juta.


Bagaimanapun sutradara itu terbuka bercerita tentang pemilihan barisan pelakon yang terdiri daripada Sofia Jane, Diana Danielle, Chris Vance, Adi Putra, Khalid Salleh, Alex Komang, Bront Palare, Sabri Yunus dan ramai lagi.

Ditanya tentang pemilihan watak gadis kacukan bernama Nina yang akhirnya jatuh ke tangan pelakon muda, Diana Danielle, bukannya barisan pelakon lain seperti Maya Karin atau Vanidah Imran, U-Wei nyata mempunyai alasan sendiri.

Selain menegaskan Diana terpilih setelah mendapat undi tertinggi video yang dimuat turun dalam laman sesawang mereka, kata U-Wei, pemilihan Diana juga adalah satu tugasan yang sulit.

"Pemilihan pelakon merupakan sesuatu yang sulit. Banyak faktor yang diambil kira dalam pemilihan pelakon," katanya yang memanggil Diana untuk menghadiri sebanyak tiga sesi bacaan skrip bersamanya sebelum akhirnya dipilih untuk memegang watak sebagai Nina.

"Selain Diana, seorang artis Hollywood telah dipilih untuk memegang watak utama sebagai Kaspas Almayer iaitu Chris Vance yang popular menerusi siri televisyen, Prison Break."

"Keperluan Chris dalam filem ini adalah sebagai lelaki Inggeris dari Belanda yang akan melengkapkan kehendak skrip untuk mengambarkan penceritaan sebenar Hanyut," jelas U-Wei yang turut memberitahu pemilihan aktor tersebut dilakukan oleh pihak penerbit.


DIANA terpilih untuk watak pelakon wanita utama dalam Hanyut selepas menjalani uji bakat secara online.


Hanyut diadaptasi daripada novel pertama Joseph Conrad berjudul Almayer Folly kata U-Wei juga akan menjalani penggambaran di dua lokasi di Pahang.

"Lokasi yang dipilih ialah pinggir sungai Kuala Lipis dan Pekan kerana mempunyai kesesuaian dengan demografik filem ini.

Projek untuk menyiapkan set penggambaran akan mula dilakukan pada hujung bulan ini dan pengambaran pula pada 14 April ini," katanya yang membikin filem ini dalam berlatar belakang era ke-19.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: