Saturday, February 20, 2010

2 rakan bernasib baik sempat keluar dari kereta terbakar

MASJID TANAH: Tindakan pantas dua lelaki yang keluar daripada kereta mereka selepas terhidu bau hangit sebaik ternampak kepulan asap dari bumbung kenderaan itu menyelamatkan kedua-duanya daripada maut dalam kebakaran di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat sini, semalam.

SELAMAT...Suresh (dua dari kiri) memeriksa keadaan keretanya yang hangus.
SELAMAT...Suresh (dua dari kiri) memeriksa keadaan keretanya yang hangus.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, pemandu kereta Nissan Sunny, S Suresh, 30, dan seorang rakannya berusia 20-an dalam perjalanan dari arah Port Dickson, Negeri Sembilan menuju ke tempat kerja mereka di Sungai Udang.


Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mereka secara tiba-tiba diselubungi asap sebelum hangus dalam kebakaran.


Suresh yang bekerja di Loji Penapisan Minyak Petronas, berkata dia bersama rakannya bertolak dari rumah mereka kira-kira jam 5.30 pagi sebelum terhidu bau hangit dari dalam kereta, tetapi mendapati tiada apa-apa selepas membuat pemeriksaan.


Menurutnya, dia kemudian memandu seperti biasa, tetapi sebaik tiba di kawasan berselekoh, dia ternampak kepulan asap keluar dari bahagian bumbung yang kemudian memenuhi ruang dalam kereta lalu memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk membuat pemeriksaan.


“Dalam rasa tidak sedap hati, saya terus mengarahkan rakan yang duduk di sebelah agar keluar dari kereta sebaik melihat kepulan asap semakin tebal selain mengeluarkan api dari arah bumbung dengan cepat tanpa dapat dikawal.

“Akibat panik, saya berlari ke sebuah rumah berhampiran untuk mendapatkan air bagi memadam kebakaran itu selepas menghubungi bomba, tetapi gagal disebabkan api marak dengan cepat dan hanya memerhatikan kereta mula terbakar.


“Mujurlah saya dan rakan sempat keluar dari kenderaan selepas menyedari sesuatu yang tidak kena, tetapi jika kereta terbakar semasa dalam perjalanan mungkin keadaan boleh jadi bertambah buruk,” katanya kepada Harian Metro, di sini.


Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali, berkata ketika kejadian dia baru saja selesai membasuh kain dan bercadang menjemurnya di luar rumah sebelum tiba-tiba pandangan tertumpu pada sebuah kereta dalam keadaan asap berkepul-kepul berhenti tidak jauh dari rumahnya.


Menurutnya, dia berasa terkejut apabila mendapati dua lelaki berlari keluar menuju ke arahnya sambil meminta bantuan untuk memadamkan kebakaran itu.


“Tetapi kedua-dua mereka bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar lebih awal dari kereta terbabit walaupun dalam keadaan terbatuk-batuk akibat terhidu asap tetapi kalau lambat mungkin boleh lemas,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Zainuddin Joned berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.44 pagi sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian.


Menurutnya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah kereta di tepi jalan dan memadam kebakaran terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: