Sunday, May 2, 2010

Pencen tapi ada harga

SAYA nak tanya kaum wanita apa pasal mereka marah sangat kalau suami nak kahwin lebih daripada satu. Bukan merugikan pun, malah lebih menyenangkan kalau mereka berfikiran terbuka.

''Contoh, kalau suami kahwin lagi satu, anda tak payah nak layan suami sepenuh masa, sebab ada pembantu yang rela berkongsi tugas, kalau duduk serumah lebih baik, semua kerja boleh dibuat bersama. Lebih penting lagi kalau anda sendiri atau suami sakit pening, ada orang nak tolong jaga, nak uruskan makan minum, nak berkemas rumah dan macam-macam lagi. Pendek kata lebih menguntungkan.

''Ini tidak, orang perempuan kalau dengar suami nak kahwin lagi, mulalah melenting, mengamuk, tambahan pulak bila ada orang luar yang menghasut menjadi-jadi marah mereka membantah hajat ikhlas suami! Berdosa tau?''

Demikian pandangan Haji Ibrahim bila bercakap pasal poligami ketika menjawab pertanyaan tiga lagi kawannya pasal rumah keduanya yang telahpun siap dibina tetapi masih belum ada penghuninya lagi.

Secara kebetulan dua dari mereka telahpun bersara dari jabatan kerajaan, sementara dua orang lagi akan bersara setahun dua lagi. Jadi topik kahwin lagi kepada orang pencen memang menarik perhatian kalau kita dengar.

''Pada kami orang pencen ni, bab nak cari calon isteri tak ada masalah, ramai kaum wanita di luar sana yang sudi jadi pasangan kami, masalahnya orang rumah kita yang tak mahukan payung emas di syurga nanti. Dia orang ni tamak.

''Kalau mereka berfikir secara terbuka banyak kebaikan yang Allah dah sediakan dan akan berikan kepada kaum wanita kalau mereka sudi dipoligamikan. Salah satu mereka dapat pembantu, kedua kita wajib bantu wanita lain yang dah tua masih belum kahwin.

''Sebenarnya golongan andartu juga nak hidup berkeluarga, ada anak dan suami, walaupun berkongsi, dan mereka memang rela bermadu, jika betul caranya, tetapi mereka tak berpeluang.

Berkeluarga

''Satu lagi, dengan menggalakkan suami berpoligami, negara boleh mengurangkan masalah wanita kita kahwin dengan pendatang asing semata-mata kerana mereka ingin berkeluarga dan ada anak.

''Kalau tak betul cakap saya takkan mereka sanggup kahwin dengan Bangla, kahwin lari ke Lombok dan kahwin orang Afrika, kahwin sindiket dan banyak lagi semata-mata kerana jumlah kaum lelaki 'yang berjenis' macam kami bersih, selamat, matang dan amat bertanggungjawab sekarang dah tak ramai dah berkurangan.

''Sebenarnya jumlah lelaki yang sempurna seperti kami orang-orang pencen dan golongan mereka yang dekat nak pencen dah tak ramai jumlahnya. Kerana itu kami sentiasa jadi rebutan wanita. Sebab mereka tahu mereka selamat kalau kahwin dengan kami dunia akhirat.

''Salah satu sebabnya mereka pasti dapat duit pencen kami kalau kami mati, tak perlu risau pasal jangkitan HIV dan AIDS, sebab kami tak menagih dadah, atau pergi merempit atau ke tempat tak tentu hala, hidup kami teratur dan mudah nak jaga, tak pandai keluar malam dan tak berminat nak kahwin tiga atau empat.

''Kami terlebih-lebih lagi untung sebab kalau kahwin andartu kami masuk ke rumahnya cuci kaki, kami tak payah nak siapkan banyak benda, kerana biasanya wanita golongan 30an atau 40an ini memang bekerja dan matang dan mereka dah ada rumah, lengkap segalanya, itu memang menyenangkan kami.

''Jadi kenapa isteri takut sangat kalau suami nak kahwin lagi. Sepatutnya isteri-isteri golongan ini tak perlu cemburu atau takut kalau kami pilih wanita matang macam tu. Sebaliknya mereka lebih untung. Betul tak Aji Din?

''Betul-betul! sebenarnya sekarang ramai lelaki yang tak sempurna, sebagai contoh golongan yang berulang kali masuk 'univerisiti' ramai, belum dikira lagi mat rempit, penganggur. Jadi banyak risiko kahwin lelaki jenis ini, kerana itu golongan lelaki 50an dah dekat nak pencen, atau orang pencen ini jadi pilihan ramai kaum wanita terutamanya andartu. Pantang menjeling ramai wanita yang terpikat.

''Saya baru balik kursus pasal pencen JPA, sebab saya nak pencen tahun depan. Pengarah pencen JPA kata tak ada sebab orang yang sudah pencen apabila berkahwin lagi isteri barunya tak boleh dapat pencen. Mereka adalah isteri yang sah, soal bila mereka kahwin bukan lagi isu itu semua urusan Allah bukan kerja orang JPA.

''Oleh kerana itu isteri kedua ini juga ada hak dan boleh dapat pencen. Tapi kenalah kongsi dengan madunya, kalau dia masih ada lagi.

''Orang pencen macam kami biasanya tidak ada anak-anak kecil, semua sudah besar, sudah berkahwin dan ada yang sudah bercucu. Bagi mereka tak ada masalah kalau ayahnya kahwin lagi.

''Sebenarnya kalau ayahnya kahwin lagi dan ditakdirkan ibu mereka dah meninggal, ayahnya sudah pasti ada orang yang jaga makan minum dan sakit peningnya. Lebih penting ayah tidak ganggu hidup mereka lagi.

''Kalau tak percaya cuba tanya anak-anak yang ibunya sudah meninggal mereka hadapi masalah menjaga ayah mereka, kadang tu mereka pulak bersusah payah mencarikan isteri baru untuk ayah mereka. Kesimpulannya saham lelaki walaupun mereka dah pencen masih tinggi dan masih ada peluang untuk kahwin lagi.''

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: