PENYANYI kelahiran Texas, Amerika Syarikat ini mendapat tempat istimewa dalam sejarah American Idol iaitu sebagai juara pertama pertandingan realiti televisyen itu.
Kelly Clarkson menunjukkan layaknya takhta itu apabila muncul di hadapan 5,000 penonton di Malaysia sempena Konsert Kelly Clarskon yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 25 April lalu.
Gadis berusia 28 tahun ini muncul dalam kostum rona hitam dan berkaki ayam dengan aksesori warna hitam, sama seperti warna kukunya.
Tampak suram jika dilihat pada visual yang dipaparkan. Namun, apabila si manis pemenang Anugerah Grammy ini membuka mulut dan melontarkan vokalnya, seluruh Stadium Nasional diwarnakan meriah vokalnya.
Secerah plag telinga warna merah jambu yang dipakainya, dia memberi warna pelangi dengan lagu-lagu hit yang dibawakan. Persembahannya mengiyakan kata-kata Dr. Luke iaitu lelaki yang bertanggungjawab menulis lagu-lagu hit Kelly.
Kata Luke, Kelly mempunyai paru-paru kuat yang mampu mengeluarkan vokal yang mantap. Sepanjang malam, vokalnya tidak 'pancit' sedikit pun.
Pertama kali ke Malaysia, dia terus meninggalkan kesan apabila menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-28 di Kuala Lumpur. Dia memang vokalis wanita yang anggun dengan vokal.
Solekannya biasa-biasa sahaja, namun itu ditutupi dengan lontaran suaranya yang tidak ada cacat cela walaupun harus terloncat-loncat dengan badan yang sedikit berat.
Kelly bukan hanya membawakan lagu-lagu popularnya seperti Since You Been Gone, Breakaway, Already Gone, A Moment Like This dan Behind These Hazel Eyes.
Dia turut membawakan lagu-lagu penyanyi yang memberi inspirasi buat dirinya. Dia berkongsi rasa dan suara melalui lagu-lagu medley nyanyian Alanis Morisette, Kings Of Leon dan Kylie Minogue.
Lebih enak lagi, dia menyampaikannya dengan cara sendiri. Dia juga mendendangkan lagu Miss Indipendent, lagu yang ditulis bersama Christina Aguilera.
Kelly seorang yang obses dengan nombor ganjil. Maka malam itu dia diringi tujuh ahli grup yang terdiri daripada dua gitaris, seorang pemain bass, pemain drum, deejay dan dua orang gadis suara latar.
Kombinasi ini mewujudkan muzik dan suasana yang seimbang dan meriah.
Komunikasi Kelly lancar menyapa peminat setianya yang hadir memberi riak histeria buat dirinya. Mengagumi Malaysia, dia tampak selesa dan menyukai lawatannya kali ini.
Pada akhir acara, dia memberikan single pertama album studio keempatnya, My Life Would Suck Without You. Sebuah lagu penutup yang pernah digelar oleh majalah Rolling Stone sebagai sebuah single yang fantastik.
Dia meninggalkan lagu-lagu dan vokalnya tergiang-ngiang di cuping telinga.
Peminatnya pulang pada malam itu sambil bernyanyi-nyanyi meninggalkan panggung.
Malam perkongsian bersama Kelly Clarkson adalah satu malam yang sangat indah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: