MEMPUNYAI bilik tidur sendiri tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa merupakan impian hampir setiap remaja. Jika boleh, remaja mahu bebas untuk menghias dan melakukan dekorasi yang diinginkan tanpa perlu meminta pandangan sesiapa.
Bilik tidur merupakan tempat berehat paling ideal selepas penat bersekolah, menelaah pelajaran atau melakukan aktiviti seharian.
Tetapi, bagaimanakah caranya menghias bilik tidur agar nampak cantik dan sesuai dengan umur remaja? Jika tidak kena caranya, mungkin bilik tidur tadi boleh menjadi tempat membosankan atau sekadar ruang untuk bermalas-malasan sehingga membuatkan seseorang itu menjadi pasif.
Mungkin sesetengah remaja beranggapan menghias bilik tidur perlu mengeluarkan perbelajaan yang lebih. Ada banyak cara sebenarnya boleh dilakukan remaja untuk menghiasi bilik tidur mereka tanpa perlu mengeluarkan be;anja yang banyak.
GenK senaraikan beberapa tip untuk remaja menghias bilik tidur dengan sempurna:
Pilih warna dinding yang sesuai
Paling utama, remaja perlu mengecat ruang bilik dengan warna yang lembut tetapi segar. Jangan sesekali memilih warna gelap seperti hitam atau biru pekat.
Ini menjadikan suasana bilik suram dan membuatkan anda berasa lemah dan malas untuk melakukan aktiviti sihat. Pilih warna segar seperti biru laut, ungu, merah jambu, kuning atau hijau bagi nampak ruang bilik kelihatan nyaman dan segar.
Tidak terlalu banyak barang
Jangan letak terlalu banyak barang untuk menghiasi bilik anda. Ini menyebabkan ruang bilik tersebut menjadi semakin kecil dan kelihatan berselerak. Memadai dengan meletakkan perabot asas seperti katil, almari pakaian, meja solek (bagi remaja perempuan) dan meja kerja atau belajar.
Gambar orang tersayang
Ruang bilik anda akan kelihatan ceria jika anda menyusun dan melekat gambar orang tersayang di dinding bersebelahan dengan katil. Tidak perlu menyimpan kesemua gambar di dalam album. Gambar-gambar yang menunjukkan situasi gembira atau mimik wajah lucu boleh dilekatkan di dinding bilik.
Anda boleh menggunting gambar rakan-rakan atau keluarga mengikut kreativiti anda dan lekatkan di dinding dan disertai tulisan yang menggambarkan situasi gambar.
Lampu dan pencahayaan
Beli lampu tinggi untuk menghiaskan bilik anda agar nampak elegan. Lampu tersebut boleh diletakkan di mana-mana penjuru bilik yang bersesuaian dengan keperluan pencahayaan.
Pokok hijau
Anda juga boleh menghiasi bilik dengan pokok-pokok yang bersaiz kecil. Sebagai contoh, pokok kaktus atau bonsai. Anda boleh susun pokok-pokok comel itu di atas meja belajar atau di belebas tingkap.
Permaidani kecil
Dapatkan permaidani sebesar meja kopi untuk diletakkan di dalam bilik. Buat tinjauan beberapa kedai permaidani terlebih dahulu sebelum anda membuat keputusan membelinya.
Daripada situ, anda boleh buat perbandingan harga. Karpet tersebut biarlah sama warnanya dengan langsir atau cadar katil agar ruang bilik nampak cantik. Elakkan membeli permaidani berbulu lebat dan panjang jika tidak mahu ia terlalu mudah memerangkap habuk dan hama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: