Tuesday, May 25, 2010

Perspektif lima minit




SUASANA Program Pendidikan Kid Witness News (KWN) anjuran Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. di Hotel Palm Garden IOI Resort, Putrajaya, begitu riuh-rendah dengan suara pelajar yang mengambil bahagian.

Pelbagai gelagat boleh diperhatikan. Ada yang bersungguh-sungguh membuat skrip, ada yang sedang melakar watak-watak serta jalan cerita di atas kertas pembentangan dan ada sesetengahnya pula asyik membuat suntingan video. Mereka bekerjasama melakukan tugasan biarpun ahli kumpulan terdiri daripada rakan dari sekolah yang berbeza.

Panasonic Malaysia menyediakan platform untuk pelajar meluahkan kreativiti dan kemahiran mereka dengan pendidikan video produksi durasi pendek yang perlu dihasilkan pelajar.

Seramai 140 pelajar dan 68 orang guru dari 68 buah sekolah seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam kem latihan KWN selama lima hari yang bermula 6 Mei sehingga 10 Mei lalu.

Pelajar-pelajar sekolah yang mengambil bahagian terdiri daripada mereka berumur 10 hingga 15 tahun dengan penerimaan 320 kerangka cerita yang dihantar oleh 250 buah sekolah seluruh Malaysia secara dalam talian melalui laman web KWN.

Setelah meneliti setiap kerangka cerita, 72 kerangka cerita daripada 68 buah sekolah telah dipilih untuk menjalani sesi latihan dan menyertai KWN 2010 berdasarkan dengan jalan cerita yang relevan dengan tema yang diberikan.

"Program KWN ini merupakan sebuah program pendidikan yang mencabar dan bermanfaat. Ia dianjurkan dengan objektif untuk membekalkan pengetahuan dan kemahiran dalam menghasilkan sebuah video menerusi ekspresi idea dan pandangan pelajar-pelajar.

"Untuk kem latihan ini, setiap sekolah diwakili oleh seorang guru dan dua orang pelajar yang dilengkapkan dengan sebuah unit kamera siaran Panasonic HD termasuk aksesori dan perisian penyuntingan untuk produksi video tersebut," kata Azizah Wahid, Pengurus Besar Komunikasi Korporat & Penjenamaan, Panasonic Malaysia Sdn. Bhd.


PELAJAR terlibat dalam proses penulisan, penggambaran dan penyuntingan dalam video yang dihasilkan mereka.


Menurut Othman Hafsham, pengarah filem tersohor yang juga merupakan ketua jurulatih Program KWN, pelajar-pelajar dan guru-guru diberi tunjuk ajar tentang proses produksi video seperti pra-produksi, produksi sebenar dan selepas produksi.

"Untuk peringkat latihan pra-produksi, penghasilan kerangka cerita, penulisan skrip dan pengarahan akan dijalani pelajar-pelajar, manakala latihan produksi merangkumi topik seperti teknik penggunaan kamera, rakaman, penggunaan cahaya dan muzik latar belakang.

"Bagi latihan selepas produksi pula, ia memfokuskan kepada teknik penyuntingan video," katanya.

Seorang pelajar yang mewakili kumpulan empat, Afif Ridhwan Roslan, 15, memberitahu, proses paling penting dalam penghasilan video adalah di peringkat pra-produksi.

"Di peringkat pra-produksilah penentuan sesebuah cerita itu dirangka dan dihasilkan. Jika peringkat ini kumpulan kami tidak melahirkan idea yang menarik untuk merangka sebuah cerita, maka video yang dihasilkan juga tidak akan dicapai dengan sempurna.

"Bagi kumpulan empat, kami merangka sebuah cerita mengenai hubungan kasih sayang seorang anak murid terhadap gurunya. Ia adalah bersempena sambutan Hari Ibu yang jatuh pada bulan Mei.

"Kami ingin sampaikan kepada remaja-remaja di luar sana bahawa kasih sayang bukan sahaja terjalin melalui hubungan darah tetapi juga melalui hubungan-hubungan yang lain," kata Afif pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ13, Subang Jaya, Selangor.


PROGRAM KWN mencabar kreativiti remaja untuk menzahirkan video terbaik.


Afif yang juga dilantik sebagai pengarah kumpulan empat memberitahu, dalam penghasilan kerangka cerita tiga perkara penting perlu ada iaitu permulaan, pertengahan dan penamat jalan cerita.

Menurut Aina Nabilah Ibrahim, 15, daripada kumpulan yang sama, penghasilan kerangka cerita merupakan asas untuk membuat persediaan skrip.

"Dalam penghasilan skrip pula, kami kena hasilkan skrip-skrip yang bersesuaian dengan kerangka cerita. Kami juga masukkan dialog yang menyentuh hati dan dapat difahami oleh para juri.

"Memang pada peringkat permulaan agak sukar untuk kami menghasilkan dialog-dialog yang menarik tetapi atas perkongsian idea daripada kumpulan, kami berjaya," katanya yang dilantik sebagai jurukamera bagi kumpulan empat.

Tambahnya, selepas kerangka cerita dan skrip dihasilkan, mereka akan melakukan proses yang seterusnya iaitu pengambaran, penyuntingan dan juga perbentangan kepada juri.

Selain Afif dan Aina, kumpulan empat juga diwakili pelajar Asyraf Ashaari, Hazim Mahadi, Ching Ching dan Hew Chee Keong.

Sementara itu, bagi Nur Izyana Faradila Mohd. Zaidi, 14, daripada kumpulan tujuh, kumpulannya pula merangka sebuah cerita bertajuk Sesat Di Dalam Hutan.


PANASONIC menganjurkan sebuah program tanggungjawab sosial korporat yang mendidik remaja tentang rakaman video selain memupuk semangat kerjasama.


"Sesat Di Dalam Hutan menceritakan bagaimana sekumpulan pelajar bersama seorang guru masuk ke dalam hutan. Semasa guru sedang memberi arahan, seorang pelajar tidak memberi tumpuan dan akhirnya sesat di dalam hutan.

"Cerita ini memberi pengajaran kepada pelajar bahawa pentingnya memberi sepenuh perhatian semasa guru atau sesiapa sahaja bercakap," katanya yang mewakili Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah.

Izyana memberitahu, sebagai pengarah, dia bersyukur kerana memperoleh ahli kumpulan yang memberi kerjasama yang baik tanpa berlaku sebarang pergaduhan biarpun ahli-ahli yang terdiri daripada kaum dan sekolah yang berbeza.

"Melalui program ini, saya dapat kenalan baru dan juga dapat menguasai cara penghasilan video yang berkesan," katanya.

Selain Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, kumpulan tujuh juga diwakili oleh Sekolah Kebangsaan Felda Neram 1, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Bercham, Ipoh; Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mewah, Seremban dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Joseph Papar, Sabah.

Terang Azizah, KWN merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Panasonic untuk peringkat pendidikan. Dengan program ini, kami ingin mendidik dan menolong kanak-kanak dalam membina kreativiti, kepimpinan dan kemahiran pengaturan menerusi pengalaman dalam penerbitan video disamping bekerjasama sebagai satu kumpulan dengan pelajar-pelajar lain semasa tugasan yang diberikan.

Beliau berharap kesemua didikan dan pengalaman semasa kem latihan itu dapat memberi manfaat kepada pelajar dan menyerlahkan kualiti produksi video mereka.

"Pelajar-pelajar juga mengadakan lawatan aktiviti eko ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor, untuk memberi peluang kepada mereka menggunakan semua teknik yang dipelajari dan merakam video mengenai alam sekitar," kata Azizah.

Tambahnya, kem latihan itu dikendalikan oleh para profesional daripada industri filem dan media, pihak universiti dan Panasonic Malaysia.


PESERTA KWN mengikuti lawatan eko ke FRIM, Kepong untuk mendalami teknik rakaman video mereka.


Sementara itu, bagi kumpulan lima yang diwakili oleh Chan Ping Rol, 14, kumpulannya menyediakan rangka cerita mengenai seorang wanita yang hanya mengejar kemewahan untuk berdamping dengan lelaki. Akhirnya, perbuatannya itu memakan diri.

"Selepas jalan cerita dirangka dan olahan skrip dibuat, kami melakukan pengambaran di sekitar FRIM dan juga hotel," kata Ping Rol yang bersekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent, Ipoh.

Ping Rol memberitahu, dengan penglibatannya dalam Program KWN itu, dia mendapat banyak pengetahuan tentang proses menghasilkan cerita yang berkesan.

"Saya belajar bagaimana menghasilkan cerita yang sempurna melalui proses-proses seperti merangka cerita, skrip, pengambaran dan penyuntingan," katanya yang berharap kumpulannya menang.

Tahun ini merupakan tahun keenam Panasonic menganjurkan program KWN, sebuah program pendidikan dalam penerbitan video dengan kolaborasi Kementerian Pelajaran.

Selesai kem latihan itu, peserta KWN dikehendaki untuk menghasil dan menghantar produksi video mereka pada akhir bulan Ogos. Sebanyak 30 buah sekolah akan dipilih dan dijemput untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah pada bulan November nanti.

Pemenang bagi KWN peringkat kebangsaan akan mewakili Malaysia ke Pertandingan regional KWN pada bulan Disember dan video yang berjaya akan menyertai pertandingan bagi peringkat dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: