Saturday, February 20, 2010

Rossa bukan saingan Krisdayanti


KESIBUKANNYA membataskan Rossa memikirkan soal mencari pasangan hidup baru. Dia juga kini selesa menjadi wanita solo selepas bercerai lebih setahun lalu.


BENARLAH kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia pula tiada siapa tahu. Rossa boleh dianggap bertuah kerana rezeki mudah sahaja menyebelahi diri walau hidupnya tidak pernah surut dengan pelbagai dugaan.

Lambat sedikit membina tapak di negara ini berbanding teman baiknya, Krisdayanti atau KD, siapa sangka Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani terlebih dahulu dibentangkan permaidani merah untuk mengadakan konsert sulung di Malaysia menerusi Konsert Melodi Cinta yang dijadualkan berlangsung pada 29 Mei nanti.

Jelas ibu kepada putera comel berusia tiga tahun setengah, Rizky Langit Ramadan, di laut fikirnya, tidak berombak soal siapa mencipta populariti awal mahupun kemudian apatah lagi sudah 15 tahun dia menjaja diri di laman seni.

Desis hati suci Rossa, perkara itu tidak mahu ligat dijadikan isu oleh peminat di negara ini sekali gus membandingkan tuah dirinya mahupun KD.

“Saya lihat kesempatan mengadakan konsert ini sebagai rezeki. Saya anggap situasi sama berlaku kepada Aizat yang tidak menjuarai Akademi Fantasia 5 (AF5), tapi dia tetap menang Anugerah Juara Lagu 24 (AJL 24) baru-baru ini.

“Siapa tahu, mungkin giliran KD akan tiba tidak lama lagi. Sebagai penggiat seni yang datang dari negara sama, kami sebenarnya saling menyokong antara satu sama lain tanpa ada permusuhan.

“Kalau KD ada buat persembahan di Indonesia, Singapura, Brunei dan Malaysia, saya tetap hadir beri sokongan kepada dia. Malah untuk Konsert Melodi Cinta, saya sudah undang KD, Yuni Shara dan teman lain dari Indonesia,” jelas Rossa bersungguh-sungguh.

Figura kecil molek yang mengenakan gaun rona hitam paras lutut sambil menggenggam clutch jenama kesayangan, Hermes itu terus bercerita tentang keterujaannya mengadakan konsert perdana tersebut.

Beritahu Rossa, acara berskala besar yang menjadikan Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai lokasi nanti dianggap penyukat kepuasan penyanyi berusia 32 tahun itu sementelah menanti tiga tahun lamanya.

“Sejujurnya, sudah lama saya mengimpikan hendak mengadakan konsert di Malaysia. Ia bermula kira-kira tiga tahun lalu sewaktu saya selesai menjalankan Konsert Persembahan Cinta yang mengelilingi kota-kota di Indonesia.

“Selepas berakhirnya konsert di Jakarta, Bandung dan Surabaya, hati mula berdetik ingin membawa konsert seumpama ini ke Malaysia apatah lagi peminat di sini sering menunjukkan sokongan padu kepada saya.

“Tidak lama kemudian, rezeki segera menyebelahi apabila rumah produksi saya, Limaduabelas Muzik bertemu penganjur bersama, Marctensia. Selepas diskusi dilaksanakan beberapa kali, kata sepakat akhirnya dicapai untuk menghasilkan Konsert Melodi Cinta,” jelasnya yang mengunjungi negara ini hampir setiap bulan bermula penghujung tahun lalu mengadakan perbincangan.

Tambahnya lagi: “Bahkan, saya mula bimbang dengan lokasi konsert ini yang diadakan di sebuah kawasan besar ibarat Stadium Putra. Sampaikan saya bertanya kepada diri tentang kemampuan menarik kira-kira 10,000 penonton.

“Kalau boleh, saya hendak tampilkan set pentas dan persembahan spektakular ditambah konsert ini punya signifikan tersendiri dalam karier seni saya,” jelasnya yang akan mendapat sentuhan Yovie Widianto yang bertindak selaku pengarah muzik dan konduktor orkestra manakala Jay Soebiyakto mengepalai tugas pengarah persembahan.

Rossa juga bagaimanapun tidak muncul keseorangan dalam Konsert Melodi Cinta itu nanti. Dia sebaliknya bakal ditemani kumbang-kumbang idaman ramai iaitu vokalis kumpulan Ungu, Pasha (Ungu), grup ST12 dan penampilan istimewa, Aizat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: