Friday, February 12, 2010

Nenek dirawat di stor almari penyapu hospital


GAMBAR menunjukkan McKeown ditempatkan di dalam bilik stor Hospital Norwich dan Norfolk di Britain.


NORWICH – Seorang nenek, Doris McKeown berumur 80 tahun menceritakan pengalamannya ditempatkan di dalam sebuah stor kecil di Hospital Norwich dan Norfolk selama dua hari sebelum dia menjalani pembedahan pada Oktober lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia mendakwa diletakkan di dalam bilik yang digelarnya sebagai almari penyapu tanpa tingkap sebelum dia menjalani pembedahan pada tulang belakang.

“Saya lega tiba di hospital itu tetapi pada tengah malam, saya dipindahkan ke sebuah bilik stor di wad utama kerana pihak hospital mendakwa tidak mempunyai katil yang mencukupi. “Doktor kelihatan tidak terkejut seolah-olah ia kerap berlaku,” katanya.

Keluarga McKeown mendakwa, keadaan itu berlaku kerana pihak Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) tidak mempunyai cukup dana bagi menanggung skim inisiatif kewangan swasta apabila hospital lama kerajaan dibina semula.

Hospital Norwich dan Norfolk yang baru dibuka pada 2001 lalu dengan kos £229 juta (RM1.23 bilion) terpaksa membayar sewa tahunan sebanyak £40 juta (RM215 juta) menerusi inisiatif NHS yang mula dilaksanakan pada 1999 dengan kontrak selama tiga dekad.

Jurucakap hospital itu, Andrew Stronach berkata, hospital baru kali ini mempunyai 1,010 katil, lebih 952 berbanding dua buah hospital lama tetapi mengakui bahawa sebanyak 27 wad mempunyai banyak stor sedemikian yang terpaksa menjadi bilik wad sementara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: