Sunday, February 14, 2010

Listrik kasih Nabila-Amy

Saya tidak mahu nampak tua dan mahu terus bergaya seperti sekarang. Yang penting saya tahu tanggungjawab dan status diri – ABIL




MENEROBOS ke dasar rasa dua beranak popular, Amy Search dan Nabila Huda, banyak momen indah yang selama ini terpendam dirungkaikan bersama.

Sensasi Bintang sebagai perakam detik yang telah ditinggalkan mereka, cuba menjadi kotak yang boleh dibuka sekalian pembaca.

Banyak daripada kita semua, mempunyai kisah yang hampir serupa dengan jalan hidup Amy dan Nabila. Hubungan mereka pernah hampir tergugat dek perceraian Amy dengan isteri pertamanya, Faridah Fadzir, ibu kandung Nabila.

Ketika itu Nabila masih anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Beberapa kali juga, Amy berselang status bapa tunggal. Namun likat kasih bapa dan anak menjadikan Amy dan Nabila tidak renggang walaupun seinci. Mereka terus bersama, sehinggalah kini, anak yang dahulunya di atas pangkuan itu sudah bergelar isteri dan hampir bergelar ibu. Itu istimewanya nostalgia Amy-Nabila.

"Semasa Abil (panggilan manja Nabila) kecil, berlaku satu insiden yang akan saya ingat sampai bila-bila. Abil pernah jatuh dari kereta yang sedang saya pandu.

"Masa kejadian, saya ambil Abil dari rumah neneknya hendak dibawa pulang ke rumah. Masa tengah syok layan kereta baru, tiba-tiba saya terdengar bunyi angin.

"Terasa ia deras masuk ke dalam kereta. Bila saya pandang ke arah Abil, saya cuma sempat nampak punggungnya. Dia sudah jatuh terjelepok di atas jalan raya," desis Amy.




Sungguh, dia cuak dan debarnya bukan kepalang. Nasib baik, laluan Kampung Keramat yang ditelusuri tidak banyak kenderaan, kelajuan jentera Mitsubishi yang baru dibeli juga tidak mendatangkan kecederaan parah kepada Abil yang berusia sekitar tiga tahun itu.

"Saya rahsiakan kejadian itu daripada nenek dan ibu Abil. Selepas seminggu barulah mereka diberitahu," ucap Amy lagi.

Nabila hanya tersenyum dan tertawa kecil dek cerita si bapa. Itu bukti akan kelincahan Abil, betapa lasaknya dia sehinggakan tergamak membuka pintu kereta ketika si ayah ralit memandu.

Hari ini, ketika sedunia meraikan detik 14 Februari sebagai Hari Kekasih dan masyakarat Tionghua pula bergembira dengan kehadiran Tahun Baru Cina, Amy dan Nabila riang menantikan kasih baru yang bakal meneruskan aliran darah yang sama.


BERLAINAN bidang seni namun dua beranak ini bersekutu dengan satu muzik.


Menyaksikan progres si anak, zaman riang kanak-kanak, remaja dan gadis, isteri orang dan kini menghampiri kesempurnaan seorang wanita. Sungguh, Amy benar-benar bangga. Dia juga sekali gus akan bergelar 'Datuk Amy', satu gelaran yang diberikan bukti legasi sedang bermula untuk turutan masa hadapan.

Di benaknya terbangkit satu emosi. Ketika lelaki seusianya mengimpikan cucu sebagai penghibur kala sunyi atau pengubat rindu terhadap si anak, dia pula sebaliknya.

"Saya masih menimang anak kecil. Masa awal-awal Abil berkahwin, kami pernah rancang untuk sama-sama dapat anak. Tapi rezeki saya datang terlebih dahulu, tapi bila isteri saya lahirkan anak, Abil pula disahkan mengandung.

"Sudah semestinya saya gembira. Sangat gembira dan rasa yang datang itu berganda-ganda. Saya doakan Abil akan jadi seorang ibu yang terbaik untuk anaknya. Dia akan melalui satu proses yang telah dilalui seorang ibu," getus Amy lagi.

Mama rock muda

Kalau bapanya sudah terbiasa ditandakan dengan gelaran 'Papa Rock' atas jasa dan stailnya yang tidak terpisah dek genre itu, kini tiba pula gelaran Abil menerima panggilan mama rock kerana bakal bergelar ibu dalam keadaan dia masih muda dan rock sedang segar-bugar dalam diri.

Teruja namun santai, dia menerima transformasi diri tanpa dipaksa-paksa. Tidak juga melankoli dek kerana pembawaan budak. Senang kata, dia nampak lebih mellow.

Jelas untuk sesiapa yang pernah mengenali Nabila Huda, belum 100 peratus berinjak status ibu namun dia sudah terbias aura itu dengan keadaan diri yang ketara beranjak dewasa.


LIKAT kasih dua beranak ini bakal dikongsi dengan generasi ketiga yang sedang membesar dalam rahim Nabila.


"Saya kurang gelak, sedikit moody. Lebih suka duduk di dalam bilik kerana saya tidak mahu khalayak melihat saya dalam keadaan tidak ceria. Tetapi tidak bermaksud saya tidak ceria," ujarnya yang menerima nasihat Amy agar tidak lasak-lasak sangat seperti Nabila Huda yang dahulu.

Lucu apabila dia menceritakan keterujaanya bersama teman baiknya, Lisa selepas Nabila mendapat tahu dia berbadan dua. Terjerit riang di dalam tandas pusat beli-belah One Utama, reaksi berbeza pula diterima daripada kedua-dua lelaki penting dalam hidupnya, si bapa dan suami.

"Apabila saya khabarkan saya mengandung, respons mereka memang jelas satu reaksi normal seorang lelaki. Tenang dan tidak terlalu teruja seperti kami kaum Hawa. Papa melafazkan Alhamdulillah syukur ketika saya hubungi melalui telefon.

"Saya tahu itu ekspresi mereka yang jujur atas kegembiraan saya," ketawa Abil apabila mengingatkan keterujaan ibu tirinya berkongsi momen. Isteri Amy, Norhasniza Hassan ternyata berkongsi rasa dan kini sudah menyediakan bekalan baju dan peralatan buat bayi yang bakal lahir kelak.

Baju mengandung

Enggan nampak tua sebelum usia dan tidak mahu berubah gaya, Abil juga tidak mahu membeli baju materniti. Dia lebih selesa memakai pakaian yang sedia ada cuma bersaiz ekstra.

"Saya tidak mahu nampak tua dan mahu terus bergaya seperti sekarang. Yang penting saya tahu tanggungjawab dan status diri." Jelas jiwa muda wanita ini menolak hipokrasi gaya dan mahu terus berada dalam zon selesa.


MELIHAT si anak yang dulunya nakal dan lasak, Amy tahu Nabila kini sedang melewati saat transformasi. Di hati Amy, dia bangga, Nabila yang dulu di pangkuannya sedang menginjak ke satu lagi aras yang lebih besar tanggungjawabnya.


Amy dan Nabila sudah dan sedang melalui corak kehidupan yang mereka tempa bersama. Jun nanti mereka bakal menyaksikan satu lagi anugerah buat kehidupan mereka.

Seperti Nabila yang memilih jalan seni, Amy yang sudah diberi mandat menamakan cucu sulungnya itu sudah meletakkan satu aras.

Sambil membayangkan pangkal nama cucunya sebagai Q...Q..., bagi Amy tiada sekatan jika ada seni yang akan berkembang satu hari kelak. Cuma ke arah mana atau sebaik siapa, terpulang kepada tuntutan hidupnya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: