SETELAH 11 tahun mengikat kontrak dengan rangkaian radio Airtime Management & Programming (AMP) serta mengelolakan dua buah stesen radio iaitu Era FM dan Sinar FM, kini penyampai radio Linda Onn beralih angin ke stesen radio baru, Suria FM.
Di Suria FM, Linda mengendali program Suria Drive pada pukul 4 petang hingga 8 malam sejak lebih sebulan lalu.
Menyedari dirinya merupakan antara penyampai senior selain Halim Othman di Suria FM, Linda tidak kekok untuk bergaul mesra dengan rakan sekerja barunya.
“Sudah tentu apabila saya berada di stesen baru ini, keadaan sekeliling berbeza. Selepas lebih sebulan saya berada di Suria FM, saya rasa lebih mesra dan rapat dengan team baru.
“Tambahan pula mendapat majikan yang sentiasa menyokong saya dan mempunyai semangat untuk memajukan stesen. Saya gembira dan seronok dengan keluarga baru. Saya pun jadi bersemangat untuk datang kerja,” kata Linda kepada mStar Online.
Semangat Linda semakin bertambah apabila menyedari ramai pendengar dari stesenterdahulu yang mengikutnya ke stesen baru itu.
“Pendengar-pendengar setia saya dari zaman dulu ramai yang lari ke Suria FM. Saya semakin seronok dan bersemangat apabila mendapat sokongan mereka,” ujarnya.
Melalui slot Suria Drive, Linda mengendalikan program itu seorang diri tanpa ditemani oleh penyampai lain.
Sebelum ini, Linda pernah ke udara di stesen radio lama dengan beberapa penyampai lain. Jika ditanya pendapatnya kini, Linda berkata dia lebih selesa mengendalikan program radio seorang diri.
“Dulu, saya pernah beberapa kali bergandingan dengan beberapa penyampai. Namun apabila dikaji semula, saya lebih seronok ke udara seorang diri kerana saya bebas untuk bercakap dan buat apa-apa sahaja dalam konti itu.
“Jadi, saya dah boleh rancang apa yang saya hendak bualkan dengan pendengar dan bagaimana hendak mengambil panggilan. Semuanya saya boleh tentukan sendiri secara one man show,” beritahu wanita berusia 32 tahun itu yang lebih gemar ke udara pada waktu petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: