Wednesday, February 3, 2010

Kawal emosi elak konflik


Perkahwinan menuntut persefahaman, tolak ansur dan kepercayaan yang tinggi antara pasangan masing-masing.



MENEMPUH gerbang perkahwinan tanpa pengetahuan mengenai rukun dalam rumah tangga ibarat turun ke medan perang tanpa senjata. Perkahwinan menuntut persefahaman, tolak ansur dan kepercayaan yang tinggi antara pasangan masing-masing.

Salah satu petua kejayaan suami isteri mempertahankan keharmonian rumah tangga adalah kemampuan mengatur emosi .

Kawalan emosi yang lemah pastinya akan menyebabkan masalah rumah tangga yang berterusan dan diakhiri dengan penceraian.

Menurut kaunselor Institut Perguruan Ilmu Khas, Noraniza Mohd. Noor, perkahwinan merupakan manifestasi cinta antara pasangan kekasih.

Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian dan yang paling utama ialah kejujuran.

Oleh itu ia perjuangan antara satu sama lain dalam meneruskan jalan menuju bahagia.

Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab dan kewangan, hubungan seksual juga mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga.

Persefahaman antara kedua-dua pihak mampu memberi jalan kebahagiaan dalam hubungan suami isteri.

"Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru kehidupan bahagia berkekalan.

"Malah sikap terbuka dalam hubungan amat penting untuk mengekalkan hubungan," ujarnya.

Katanya lagi, dalam mengemudikan sebuah rumah tangga, pasangan suami isteri seharusnya dihiasi dengan bunga-bunga cinta yang boleh melahirkan suasana bahagia yang berterusan dalam rumah tangga.

"Perkara tersebut adalah asas dalam menjamin perjalanan kepada sebuah kehidupan yang bahagia.

"Tidak salah berterus terang dengan pasangan jika ada ketidakpuasan hati.

"Jangan mengelak diri jika pasangan mengajak berbincang, sebaiknya duduklah berbincang dengan hati yang tenang, '' tambahnya lagi.

Sekiranya ada sikap atau perbuatan yang diluahkan membuatkan salah seorang tersinggung maka luahkan dengan kaedah yang betul.

"Jaga intonasi ketika menegur pasangan, elak menggunakan kata-kata kasar untuk 'menyerang' pasangan anda,'' jelasnya.

Selain itu, berikan ruang kepada pasangan untuk memberikan penjelasan yang sebetulnya.

Marah adalah reaksi normal seseorang yang tidak dapat berkompromi. Maka di sini pentingnya kepekaan setiap pasangan untuk melihat keadaan pasangan yang sedang mengalami amarah ini.

"Berikan ruang kepadanya untuk menilai diri dan meredakan perasaan marahnya. Tempatkan diri kita menjadi pendengar kepada masalahnya.

"Sebaiknya, tanyakan apa yang membuatkan dirinya marah sehingga dia menjadi tidak puas hati kepada diri kita. Carilah jalan penyelesaian yang terbaik untuk perkara ini," katanya.

Menurutnya lagi, cuba selesai masalah yang dihadapi dengan segera.

"Jangan tangguhkan permasalahan ini, kerana ia boleh menyebabkan masalah semakin serius.

"Jangan bermasam muka atau memendam perasaan terlalu lama kerana hati akan semakin sakit, sebaliknya berbincang dengan tenang dan selesai,'' ujarnya yang juga bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di institusi berkenaan.

Kata orang perbezaan antara suami isteri akan jadi perkara yang menyempurnakan sebuah perhubungan .

Namun sebenarnya untuk menyatukan perbezaan yang ada antara suami isteri bukanlah sesuatu yang mudah.

Biasanya perbezaan itulah yang menimbulkan masalah rasa tidak puas hati malah menyebabkan salah seorang pasangan akan makan hati.

"Namun kalau sekiranya pasangan dapat menghargai perbezaan tersebut, maka perselisihan tentu saja mampu diminimumkan. Belajarlah tentang apa yang disukai dan tidak disukai oleh pasangan.

"Pelajari juga sikapnya walaupun ia tidak menyenangkan anda,'' katanya bersungguh.

Selain itu, sekiranya berlaku pertengkaran antara suami isteri, jangan alihkan kemarahan tersebut pada anak-anak dan juga orang.

Elakkan juga membiarkan anak-anak menjadi saksi pertengkaran kita suami isteri kerana ia mampu mempengaruhi emosi anak.

"Ajaklah pasangan untuk berbincang ini di tempat beradu sekurang-kurang ia mampu meredakan kemarahan antara satu sama lain,'' ujarnya lagi.

Sememangnya alam rumah tangga adalah sesuatu yang pasrah, namun semua itu terletak pada kita untuk mencorakkan rumah tangga dengan pilihan kita sendiri.

Jika apa pun masalah yang melanda, namun jika diselesaikan dengan baik pasti ia tidak merugikan kedua-dua pihak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: