Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ke-36 pada hari ini cukup bermakna kepada para pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang selama ini berusaha mencantikkan ibu negara Malaysia itu dengan menanam dan menjaga pelbagai pokok bunga.
TANGANNYA memegang erat sebatang penyapu, gunting pokok dan cangkul untuk digunakan semasa bekerja. Daripada lagaknya pemuda yang leka menanam pokok-pokok bunga di Taman Tasik Perdana itu baru berusia 22 tahun.
Sebagai Pembantu Am Rendah Bahagian Taman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd. Azrul Bahagia tidak kisah untuk memikul beban kerja yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran kebanyakan anak muda.
Maklumlah pekerjaan itu tidak memberinya peluang untuk berpenampilan segak bergaya, glamor atau berada di dalam pejabat berhawa dingin. Meskipun tidak berpeluang menikmati dunia kerjaya elit seperti anak-anak muda lain, Azrul tidak pernah sekali pun malu dengan pekerjaannya itu.
Bahkah dia seronok dan tidak sedikit pun terlintas di fikirannya pekerjaan itu tidak sehebat bidang-bidang lain.
"Walaupun usia saya masih muda tetapi saya tidak malu mengaku bahawa pekerjaan yang saya ceburi ini amat membanggakan. Saya bukannya mencuri tetapi rezeki yang saya terima setiap tahun adalah rezeki yang halal.
"Itulah matlamat saya apabila memilih untuk bersama DBKL," akuinya ketika ditemui di sekitar Dataran Merdeka baru-baru ini.
Tidak memilih untuk meneruskan pengajian setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak ketiga daripada 12 beradik itu nekad bekerja supaya dapat meringankan tanggungan orang tuanya.
Justeru, cara terbaik yang dilakukan Azrul ialah berpindah ke Kuala Lumpur yang dianggap sebagai lubuk rezeki.
Berasal dari Kampung Gajah, Perak, Azrul menjejak kaki di ibu kota dua tahun yang lalu. Menumpang teduh di rumah bapa saudara, Azrul sedikit pun tidak pernah melihat kehidupannya akan dikongkong oleh bapa saudaranya.
Malah, dia menarik nafas lega kerana sekurang-kurang dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan.
"Gaji yang saya terima mungkin tidak seberapa tetapi ia cukup untuk sara diri, sedikit simpanan dan diberi kepada orang tua," ujarnya. Azrul yang baru setahun berkhidmat dengan DBKL, memulakan rutin hariannya pada pukul 7.30 pagi sehingga 4.30 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.
Azrul akan keluar rumah seawal pukul 6.30 pagi akan terus ke stor di Jalan Cendarasari, Kuala Lumpur untuk menerima arahan penyelia bagi agihan tugas yang perlu dilaksanakan.
Tiada masalah
Biasanya, Azrul akan bergerak secara berkumpulan untuk mencantikkan seluruh taman di sekitar ibu kota. Setiap hari rutin kerjanya adalah menggunting pokok bunga, membersihkan halaman atau menanam pokok-pokok bunga baru.
Sepanjang memikul tugas itu, dia tidak pernah berdepan dengan masalah besar kerana pengalaman di kampung membantu bapanya di kebun.
"Kerja menanam pokok sudah biasa dalam diri saya, lagipun ayah saya ada dusun. Setakat kerja-kerja macam ini saya anggap ia tugas yang mudah," jelasnya sambil menggemburkan tanah.
Menurut Azrul, walaupun terpaksa berdepan dengan hujan dan panas terik, itu tidak menjadi masalah kepadanya. Malah, disebabkan kerjanya dilakukan secara berkumpulan, ia membuatkan Azrul rasa lebih selesa.
Tunjuk ajar daripada pekerja yang lebih berpengalaman menjadikan Azrul lebih gembira untuk bekerja setiap hari.
"Kalau hujan lebat memang kerja tergendala seketika. Tetapi kalau setakat hujan rintik-rintik biasanya kami akan teruskan juga kerana kerja siap cepat maka saya juga yang senang," terangnya.
|
|
Azrul menjelaskan, disebabkan tidak ramai remaja yang bersedia melakukan pekerjaan itu dia berasa sangat berbangga dengan tugas tersebut.
Tambahan pula, mengindahkan bandar raya Kuala Lumpur merupakan tugas besar dalam negara.
"Bila saya lalu di kawasan yang saya jaga, hati ketika itu memang cukup bangga. Hati kecil saya akan berkata, inilah hasil titik peluh aku kepada negara. Walaupun orang tidak dapat menilainya tetapi saya amat puas hati.
"Sekurang-kurangnya ada juga rasa tanggungjawab kepada negara," akuinya sambil tersenyum.
Lain pula cerita yang dikongsikan oleh rakan sekerja Azrul, Periasamy M. Andy, 54. Beliau berkhidmat menguruskan beberapa taman DBKL sejak 31 tahun lalu.
Tempoh itu sebenarnya terlalu lama dan apa yang membuatkan dia kekal dengan pekerjaan itu ialah kerana keselesaan.
Dia yang pernah bekerja di tapak pembinaan sebelum ini mengakui naluri cukup serasi dengan tumbuhan hijau. Disebabkan faktor di tapak binaan lebih teruk berbanding bekerja dikelilingi tumbuh-tumbuhan, Periasamy tidak merasakan kerjanya itu sesuatu yang membebankan.
"Kerja di tapak pembinaan memang teruk. Pekerja perlu betul-betul kuat, duduk di tengah panas, habuk dan sebagainya. Sekarang ini jaga taman lagi mudah, saya dikelilingi pokok-pokok bunga dan hati pun senang," jelasnya.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu menyifatkan perubahan zaman turut menjadikan kerjayanya semakin mudah.
Ketika dia mula bekerja pada 1978, setiap pekerja perlu bekerja keras untuk melakukan proses menggali tanah.
Ketika itu, Periasamy yang berasal dari Kuala Lumpur terpaksa menggunakan peralatan seperti cangkul. Hari ini senarionya juga telah berubah.
"Sekarang kita pakai mesin jadi kerja senang. Bayangkan dulu kalau hendak tanam pokok bunga yang besar memang kami akan runsing sebab kita perlu menggali tanah secara manual," terangnya.
Sepanjang berkhidmat dengan DBKL, Periasamy pernah ditugaskan menjaga keseluruhan kawasan Taman Tasik Perdana selama sepuluh tahun dan Taman Tasik Titiwangsa selama dua dekad. Kini, tenaganya itu diperlukan untuk menjaga kebersihan di sekitar Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Bank Negara.
Hari ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ke-36, Azrul dan Periasamy antara individu yang paling sibuk di ibu kota sejak empat minggu lalu.
Semua itu dilakukan bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur ceria dan bersih dengan bunga-bunga berwarna-warni. Mereka akan bekerja sehari suntuk hingga awal dinihari.
Sementara itu, Penyelia Pertanian DBKL Bahagian Taman, Muhammad Khuzairi Abdul Manaf menjelaskan, sebulan sebelum menyambut Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setiap pekerja dikerahkan untuk bekerja lebih masa.
Mereka diberi kelonggaran untuk berehat beberapa jam pada sebelah petang dan menyambung semula kerja pada pukul 8 malam sehingga pukul 1 pagi.
"Selalunya pada masa itu mereka akan melakukan kerja dengan menggunakan bahu jalan atau di tengah-tengah laluan kedua-dua arah lalu lintas. Waktu itu dipilih kerana kereta pun kurang.
"Selalunya apa yang mereka lakukan ialah bukan membersihkan kawasan tetapi menggantikan pokok baru," katanya yang sudah berkhidmat selama 28 tahun dengan DBKL.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: