DEMI janji yang diikat, AC Mizal tekad dengan keputusannya. Memilih untuk meninggalkan Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) dan menumpukan perhatian kepada perniagaannya bukan perkara mudah untuk dilakukan.
“Jika difikir kembali, saya sudah mengacarakan AF selama dua musim dan tidak saya nafikan saya cukup suka mengacarakannya.
“Begitupun, saya perlu mendahulukan perniagaan yang baru hendak ke puncak. Jadi, elok rasanya jika peluang mengacara AF diberi kepada orang lain.
“Saya yakin, tiada ruginya saya meninggalkan AF sekarang. Selain membuka rezeki kepada orang lain, saya dapat mengotakan janji membantu mereka yang menyertai perniagaan saya,” katanya.
Tambah AC, walaupun tempoh mengacara AF8 tidak lama, sedikit sebanyak ia turut memberi kesan kepada perniagaannya. Mahu atau tidak, AC harus memilih.
“Bayangkan saja, jika saya menerima AF8, semestinya saya akan terikat dengan program berkenaan selama tiga bulan.
“Jika saya tidak bekerja walaupun untuk sehari, banyak peluang yang terpaksa saya lepaskan. Inikan pula untuk sepanjang tempoh tiga bulan berkenaan.
“Insya-Allah. Berkat doa semua pihak, perniagaan AC Konsortium Sdn Bhd akan berjalan lancar. Malah, setiap janji yang saya ikat dengan mereka yang menyertai perniagaan ini akan dilunaskan. “Pendek kata, apa yang saya lakukan ini bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk kepentingan bersama.
“Selaku Pengerusi Eksekutif, saya bukan sekadar menjual produk alternatif kesihatan, gelang dan rantai magnetik, tetapi turut melaksanakan tanggungjawab korporat dengan merealisasikan impian individu berminat muncul sebagai usahawan,” katanya.
Tambah menarik, AC Konsortium bakal memecah pasaran di Sydney, London (butik Mark & Spencer), Jordan dan Singapura. Malah beberapa bilik pameran yang akan dibuka di Hong Kong dan Macau, bulan ini bakal menambah kesibukannya.
“Insya-Allah, dengan dana diberikan oleh Arastu Sdn Bhd sebanyak RM200 juta, perniagaan ini akan menguntungkan semua pihak yang menyertainya. Lebih-lebih lagi, ia akan membolosi pasaran dunia.
“Buat masa ini saya fokuskan kepada penjualan rantai dan gelang magnetik. Tidak lama lagi, saya akan menjual barangan lain seperti komputer riba AC, jam tangan tungsten AC, baju dan pelbagai lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: