Sunday, July 3, 2011

Yudhi seronok bantu orang susah


Yudhi


MINGGU lalu ada acara peragaan fesyen yang dibawakan oleh badan Pelancongan Indonesia, Wonderful Indonesia di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Yudhi Siswantoyudhi Doeve salah seorang model yang dibawa memperaga busana rekaan pereka busana selebriti, Erdan.

Itulah kunjungan pertama Yudhi ke Malaysia. Kunjungan pertama membuatkan dia jatuh cinta dan mahu datang lagi bila ada kelapangan suatu hari nanti.

"Saya rasa seperti di tempat sendiri kerana orang Malaysia ramah dan makanannya pun enak-enak. Kebetulan ahli rombongan yang datang bersama saya memiliki ramai kenalan di Malaysia," kata Yudhi.

Yudhi sekarang bekerja di Bangkok, Thailand sejak lima bulan lalu. Kerjanya ada kaitan dengan kerjaya sebagai model. Di sana juga dia turut mengembangkan aktiviti peragaan.

“Saya dilantik sebagai ikon produk, produk penjagaan diri dan kecantikan produk Agel Care. Selain wajah saya menghiasi kempen, saya juga terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di bawah Yayasan Agel Cares.

“Yayasan ini menyumbang dana kepada anak-anak yatim, orang terbiar, mangsa HIV serta mangsa bencana alam. Itulah yang membuatkan saya rasa seronok terlibat dengan mereka. Saya menjadi sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti yayasan ini,” kata Yudhi kepada Pancaindera.

Sebagai sukarelawan, dia pernah membantu anak-anak terbiar, wanita penghidap HIV dan sebagainya yang membuatkan dia semakin matang dalam menjalani kehidupan apabila berkongsi kedukaan orang yang memerlukan bantuan.

Pemergian Yudhi ke Bangkok bermula menerusi pembabitannya dalam sebuah program realiti mencari jodoh melibatkan selebriti yang disiarkan di saluran televisyen Indosiar hujung tahun lalu. Pembabitan Yudhi dalam peragaan pula terjadi tanpa dirancang apabila dia bertemu dengan seorang pereka fesyen di Jakarta. Kebetulan pereka itu mahu mencari wajah baru untuk memperaga busananya.

“Selepas terlibat dalam pertunjukan fesyen bersama pereka itu, saya mula dapat perhatian dan mendapat undangan demi undangan sehingga ke hari ini. Memang saya meminati bidang ini, sebab itu saya tak mensia-siakan tawaran tersebut,” kata Yudhi yang memiliki senyuman manis itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: