KATA kawan-kawan jika pasangan kita ada ramai adik-beradik dan dikelilingi ipar duai hidup kita lebih menyulitkan, maklumlah ada antara mereka yang tak sukakan kita dan mempunyai perangai serta karakter yang menyilaukan mata. Namun berkahwin dengan suami yang tak ada adik beradik pun susah juga.
‘‘Biar saya perkenalkan diri saya sebagai Mas Alina. Masalah saya berkahwin dengan lelaki yang saya panggil ‘anak emak’, sebab dia anak tunggal. Walau pun hidup saya tidak ada masalah dengan ipar duai tetapi saya rimas, runsing dan kadang kala makan hati berulam jantung dengan perangai tiga beranak yang membelenggu hidup saya.’’ Itu cerita Mas Alina dalam emel dan ketika kami berbual di telefon baru-baru ini.
‘‘Saya tak salahkan dia kerana anak tunggal, tetapi yang memeningkan saya perangainya yang tak mahu bertanggungjawab dan jadi ketua keluarga sebenarnya. Sebab apa juga tindakannya masih bergantung pada emak ayahnya dalam semua hal.
‘‘Saya pun anak tunggal, tapi saya tak bergantung emak, malah saya yang memelihara emak. Puas saya nasihatkan suami saya Nazim supaya ubah perangai belajar berdikari, jangan suka minta duit emak, tetapi dia tak pakai cakap saya. Malah semakin teruk walaupun kami sudah berkahwin lebih 6 tahun dan ada 2 anak.
‘‘ Saya berkenalan dengan Nazim semasa sama-sama belajar di utara Semenanjung. Selepas tamat belajar beberapa tahun kemudian kami pun berkahwin. Ketika itu saya gembira sebab kami sama-sama anak tunggal, tentu tak ada masalah ipar duai seperti cerita yang pernah saya baca dan dengar selama ini.
‘‘Saya bersyukur sejak hamil dan mempunyai anak satu, masalah besar saya iaitu perangai panas baran dan cepat naik angin Nazim semakin berubah. Tetapi satu perkara yang jelas tak berubah sikapnya terhadap emak saya, semakin teruk. Dia seakan membenci emak saya. Sedangkan Nazim tahu sebelum kami kahwin lagi saya dah beritahu akan membawa emak saya tinggal bersama, kerana selain anak tunggal, emak saya pun ibu tunggal, dia tak ada tempat bergantung kecuali saya. Nazim setuju.
‘‘Dulu saya duduk dengan emak di pinggir bandar, arwah ayah tinggalkan sebuah rumah yang dibina atas tanahnya. Setelah ayah meninggal, pendapatan emak mengambil upah mengasuh anak jiran dan menyewakan tanah depan rumah kami kepada seorang pengusaha bengkel membaiki kereta. Hidup emak taklah susah.
‘‘Saya katakan pada Nazim daripada cari pembantu lebih baik bawa emak tinggal bersama, boleh juga emak jagakan anak kami dan saya boleh juga jaga emak kerana emak dah tua, lagi pun saya tak sampai hati tinggalkan emak sendirian.
‘‘Namun janji Nazim cuma boleh pakai sebelum kahwin saja. Bila dah serumah baru saya nampak perangainya. Nazim banyak membuat emak saya kecil hati. Dia tak suka bertegur sapa dengan emak saya apa lagi nak berbual. Dia bercakap dengan emak bila mahu bertanyakan ada benda hilang. Atau yang penting sahaja.
‘‘Walaupun ibu bapa mertua saya tinggal di kampung mereka selalu datang dan tinggal dia rumah kami berminggu-minggu lamanya untuk melepaskan rindu pada anak kesayangan mereka. Bila dah dekat Nazim selalu ‘pau’ duit emaknya ini yang membuatkan jiwa saya tertekan. Ada saja yang diperlukannya. Baiki motorlah dan macam-macam.
‘‘Setiap kali sebelum bersalin, dari anak pertama hingga anak kedua, mereka akan datang sebulan lebih awal, lepas tu tunggu sehingga saya habis pantang dua bulan barulah mereka balik kampung. Kalau rumah kami besar takpelah tetapi rumah kami kecil, keadaan ini membuatkan saya rasa amat tidak selesa.
‘‘Sebenarnya ketika dalam pantang saya suka emak saya jaga makan minum saya. Tapi kalau dah ramai dalam rumah yang kecil tentu ada segan silunya, maklum ada besan lelaki. Namun mertua saya tidak akan tinggalkan anak tunggal kesayangan. Akhirnya emak saya mengalah balik ke rumahnya.
Bertanya kabar
‘‘Dua bulan sekali kami balik kampung atau emaknya datang KL. Keadaan jadi lebih parah bila kami nak balik KL siap ada drama kisah anak beranak menangis nak berpisah. Emak Nazim menangis teresak-esak kerana sedih. Akhirnya emak ayahnya ikut kami balik KL. Mereka akan tinggal seminggu sebelum balik kampung dengan bas.
‘‘Masalahnya kereta kami kecil bukan MPV atau SUV, tentu sempit dan perjalanan jauh tentu memenatkan, tapi mereka tak kisah asal mereka pasti Nazim selamat sampai KL. Itu belum masuk bab Nazim demam atau batuk. Pagi dapat tahu Nazim demam petang mesti dah sampai KL. Begitulah sayang mereka pada Nazim.‘Punca Nazim tak berduit sebab dia gila berjudi. Ceritanya terbongkar bila dia ditahan polis, saya pergi jamin. Tetapi entah macam mana dia tak kena tindakan, taukeh kedai kena heret ke mahkamah. Puas saya nasihatkan dia jangan buat kerja bodoh tu lagi, tetapi orang dah ketagih judi memang tak makan nasihat.
‘‘Saya ceritakan pada emak dan ayah Nazim, mereka tak terkejut pun atau marahkan Nazim, sebaliknya emaknya tanya saya; ‘Betul ke? Macam tak percaya. Saya kata kalau emak dan ayah selalu bagi duit, dia akan lebih ligat berjudi.
‘‘Pada pandangan saya mereka tahu perangai Nazim, tetapi kerana sayang Nazim anak tunggal, mereka tak kisah. Saya kasihankan emak ayahnya sudah tua masih menoreh getah di samping mengupah orang lain menoreh semata-mata cari duit untuk Nazim. Saya kasihankan mereka sanggup berkorban untuk Nazim.
‘‘Masalah saya bila mereka duduk dengan kami, mereka manjakan anak-anak saya macam mereka jaga Nazim, segala kehendak anak-anak saya dituruti. Saya takut anak saya jadi macam Nazim. Kadang-kala saya terfikir Nazim gila judi kerana kesilapan emak ayahnya mendidiknya dengan penuh kasih sayang tanpa bimbingan yang betul.
‘‘Saya tak tahu sampai bila saya mesti bersabar. Sebab bukan saja Nazim bermasalah, emak ayahnya pun sama merosakkan hidup saya. Saya tak sanggup lihat kalau satu hari nanti Nazim masuk penjara kerana rasuah nak cari duit lebih untuk berjudi,’’ Itu cerita Mas Alina tentang masalah hidup yang dilaluinya.
dari cerita awak nazim x suke mak awak..tp awak pun x suke mak dia...
ReplyDeletekereta kecik bukan alasan...
nk bawak mak mertua dtg rumah..melainkan awak naik motosikal..
mak mertua dtg tgk awak bersalin sebulan awak mengeloh..
mak awak mmg duduk dgn awak..awak x mengeluh plak...
kalo nk bahagia kene memberi bukan menerima....