Sunday, July 31, 2011

Memangkah siling di Pulau Demawan


Pendatang turut 'mewarnai' kehidupan pesisir pantai yang banyak dimonopoli warga asal suku Bajau Laut sejak turun temurun.


PULAU Danawan, Samporna, Sabah yang mempunyai keluasan 231.2 hektar pesisir pantai bertemankan anggota-anggota tentera unit khas dengan penuh kesiapsiagaan kawalan tertinggi. Persekitaran geografi yang begitu sinonim dengan ‘panas’ dan bahang bukan saja disebabkan suhu atau cuaca, malah kedudukan pulau itu sebagai salah satu lubuk ancaman puak kumpulan militan pemisah Abu Sayaf.

Aspek pertahanan menyeluruh (HANRUH) anggota pertahanan ATM wujud disebabkan hari ‘bersejarah’ dua insiden penculikan membabitkan kumpulan Abu Sayaf pada 23 April dan 10 September 2000. Perincian penulis bukanlah untuk aspek sosio-keselamatan tetapi lebih tertumpu dengan aktiviti harian penduduk setempat.

Sejuta persoalan timbul ketika penulis memulakan tugas merakam gambar di perkampungan Pulau Danawan baru-baru ini. Mana tidaknya, penduduk di situ melihat sekumpulan pasukan tentera dengan rifel M-16 mengawal persisiran pantai, sementara penulis yang turut mengenakan pakaian persis tentera sebenarnya hanya berbekalkan sebuah kamera dalam menyempurnakan dua tugasan yang berbeza.

Kesempatan berada di situ sempena lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan editor-editor kanan di Pangkalan Operasi Hadapan OP Pasir anjuran Kementerian Pertahanan baru-baru ini.

Senyuman

Keriangan kanak-kanak di pulau itu sama seperti kanak-kanak lain. Kedatangan penulis bersama rakan-rakan media disambut dengan penuh senyuman. Ketika itu mereka sedang asyik dengan aktiviti ‘memangkah syiling’. Difahamkan aktiviti itu menjadi salah satu permainan tradisi hanya untuk keseronokan semata.

“Biasa mereka melakukan aktiviti begini ketika cuti sekolah,’’ kata Arki yang duduk di sudut pelantar rumah bersama anak-anak yang masih kecil.

Dari raut wajah Arki penulis dapat merasakan beliau bukanlah seorang warganegara tetap, tetapi salah satu kelompok pendatang yang ‘mewarnai’ kehidupan pesisir pantai yang banyak dimonopoli warga asal suku Bajau Laut sejak turun temurun. Ketika di tanya mengapa ‘berhijrah’ ke situ, beliau menyatakan keamanan serta faktor rezeki laut banyak menyumbang ke arah kehidupan sejahtera.

Saujana mata memandang, penempatan atas air yang banyak didirikan hanyalah berdindingkan kayu dan atap nipah semata. Asalkan dapat berlindung dari panas itu sudah memadai. Warga-warga emas separuh umur turut berteduh di satu sudut berlantaikan hamparan pasir.

Suasana tenang dengan desiran ombak laut disulami teriakan kanak-kanak menceriakan dan bunyi burung laut sememangnya menceriakan suasana.

Rakan penulis Raja Faisal Hishan bersama Yazit Razali tidak berhenti merakamkan momen-momen persekitaran yang asing apabila selalunya berada di penempatan kepulauan. Begitu juga dengan jurugambar pelatih, Iskandar Aisyah. Kehidupan secara total ala-ala ‘survivor’ membangkitkan semangat kami untuk merakam segala imej secara terperinci dan dari pelbagai sisi. Ia adalah sebagai ‘hadiah’ untuk dibawa pulang.

Pulau Danawan terletak jauh dari pekan Semporna bukan menjadi alasan untuk menjalankan perniagaan sampingan kedai runcit. Anak tempatan yang menghuni kawasan itu hampir 30 tahun membuka kedai runcit untuk memenuhi keperluan harian penduduk.

“Seminggu dua kali mak cik turun ke pekan bagi memenuhi stok keperluan barangan di kedai. Tiga jam perjalanan ke sana,’’ bicara Kumala Abdul Latif tatkala penulis singah sebentar untuk membasahi tekak. Dia yang menjalankan perniagaan bersama suami, Sakirani Azambi yang merupakan salah seorang guru sekolah di kepulauan tersebut.

“Anak lihatlah sepanjang kampung ini banyak kedai runcit yang didirikan. Malah ada juga yang berniaga secara kecil-kecilan dengan hanya menggunakan meja atap sahaja,’’ tambahnya.

Sejak kawalan keselamatan dipertingkatkan ATM, keluarga Kumala dan rata-rata penduduk menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan kerajaan bagi membendung ancaman pencerobohan puak-puak pelampau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: