PETALING JAYA: Program dokumentari popular TV3, Jejak Rasul (JR) yang kembali untuk tahun ke-17 bermula 1 Ogos depan tampil dengan pembaharuan apabila diterbitkan dalam format definisi tinggi (HD) buat julung kalinya.
Dokumentari yang menyingkap paparan Legasi Muhammad S.A.W di Eropah Timur ini akan bersiaran sebanyak 30 episod dengan memaparkan kebangkitan Islam dengan menyelami budaya, kehidupan dan sejarah lampau penduduk Islam berketurunan Slavic, Tatar dan Caucasus di Rusia dan Ukraine.
Menurut Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar: "JR sudah sinonim dengan TV3. Setelah 16 musim bersiaran ia menjadi program utama kebanggaan kami dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Untuk musim terbaru, kru JR sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya menghasilkan 30 episod untuk menjejaki legasi Nabi Muhammad S.A.W di Eropah Timur.
"Kami berasa amat bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan di bumi Russia dan Ukraine walaupun kru dan pihak produksi terpaksa berhadapan dengan masalah cuaca buruk kerana musim salji, masalah komunikasi, penyesuaian diri dan konsep penerbitan yang baru iaitu dalam format HD."
Kru produksi JR17 telah memulakan sesi penggambaran di Russia dan Ukraine dari pertengahan Mac hingga pertengahan April lalu dan dikendalikan oleh tiga kumpulan.
Kumpulan A yang diketuai oleh Mazlin Nordin selaku penerbit dan pengarah menjalani rakaman di Moscow, Rusia dan Ukraine. Kumpulan B yang dikendalikan oleh Wan Farid Wan Mohamed (penerbit dan wartawan) merakam legasi di St. Petersburg dan Tatarstan, Rusia sementara kumpulan C yang diketuai oleh Mat Nasir Yusof (penerbit dan wartawan) pula di Dagenstan & Chechnya, Rusia.
Pengembaraan JR17 bakal memaparkan pengembaraan sepanjang musim sejuk di Moscow, St. Petersburg dan Tatarstan dalam mengesan sejarah kemasukan Islam pada kurun ke 10, penemuan seperti masjid yang dibenarkan beroperasi pada era Komunis dan bagaimana pedagang Islam Tatar mengembangkan Islam ke Utara Rusia.
Selain itu, ia turut membawa penonton menikmati keindahan panorama musim bunga di Dagestan, Chechnya, Kiev dan Crimea. Kehidupan masyarakat Islam di pesisir Laut Caspian dan Laut Hitam yang ditemui produksi ini juga akan membongkar sejarah awal Islam memasuki bumi Russia pada kurun ke 8 oleh pejuang Arab.
Episod akhir JR Istimewa Hari Raya akan menemui penonton bersempena Hari Raya Aidilfitri pada Hari Raya pertama pukul 7 malam selama 1 jam.
JR17 akan disiarkan pada pukul 6.30 petang setiap hari bermula 1 Ogos depan di TV3.
assalamualaikum tuan. Boleh saya tahu nama sekolah tahfiz di chechnya yang dirakamkan melalui jejak rasul pada 23/8/11 yang lepas? Terima kasih. Wassalam.
ReplyDelete