Sunday, July 3, 2011

Sungai Lui ke Borneo


Aizat


SEJAK mula menapak dalam industri seni tanah air, nama Aizat memang cukup dikagumi ramai. Selain memiliki suara yang menjadi igauan peminat setia, Aizat juga merupakan antara penyanyi lelaki yang cukup berbakat menghasilkan lagu.

Biarpun tidak mencetuskan gelombang yang besar, setidak-tidaknya Aizat mampu berdiri atas kaki sendiri. Kalau ada yang masih ingat, Aizat pernah mencipta fenomena dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu.

Lagu yang cukup digemari ramai itu telah dimuat turun hampir dua juta kali sehingga menjadikan dia sebagai artis di tangga pertama yang mampu mencapai tahap tersebut. Fenomena itu seakan berulang apabila Aizat muncul dengan album kedua.

Cuma, apa yang menjadi persoalan, apakah benar dakwaan yang mengatakan lagu Sungai Lui nyanyian Aizat cukup ‘berhantu’ sampai menenggelamkan lagu-lagu lain yang termuat dalam album kedua penyanyi itu?

Kalau dilihat pada senarionya, memang ada benarnya. Jarang sekali lagu-lagu lain kedengaran di corong-corong radio sedangkan hampir semua peminat masih mahu mendengar lagu berkenaan berulang-ulang kali.

“Lagu itu memang dicipta cukup istimewa. Dari segi membuat lirik sampailah komposisi muzik sudah cukup menggambarkan ia merupakan lagu yang indah sekali.

“Alhamdulillah, ramai yang suka dengan lagu tu. Itu sudah cukup untuk membuat saya senang memandangkan penerimaan peminat yang merupakan hal terpenting bagi saya.

“Ada peminat yang memang sudah ikut perkembangan saya sejak dulu lagi. Ada pula yang suka bila mereka dengar lagu Sungai Lui. Kalau mereka terima satu lagu pun dah cukup menggembirakan saya,” jelas Aizat ketika di temui baru-baru ini.

Sejujurnya tidak ramai penyanyi kita seperti Aizat. Bukan mahu memuji lelaki ini tinggi menggunung tetapi apa yang telah dilakukan oleh Aizat dan orang yang menjadi tulang belakangnya wajar mendapat pujian.

Aizat tidak menunggu peluang yang ada. Apa yang diimpikan oleh penyanyi ini akan diusahakan sehingga berjaya biarpun tanpa sebarang bantuan daripada pihak lain.

Lihat sahaja konsert Urusan Aizat Amdan, Live In Damansara yang berlangsung awal tahun lalu, cukup berjaya biarpun tanpa tajaan utama daripada pihak lain. Baginya sampai bila harus terus meraih simpati orang sedangkan tidak ada usaha yang dilakukan sendiri.

Tidak mahu hanya terus bercakap kosong, Aizat tahu apa yang perlu dilakukan. Ternyata kejayaan mengadakan konsert Live In Damansara menjadi inspirasi untuk Aizat terus mengorak langkah ke hadapan.

Pada Julai nanti, Aizat bakal Sarawak dan Sabah bagi menghiburkan peminatnya di sana. Cukup teruja dengan apa yang akan berlangsung tidak lama lagi, Aizat cukup optimis jika usaha dan kerja kerasnya selama ini mendapat perhatian ramai.

Ketika bertemu pemilik nama Muhd Aizat Amdan baru-baru ini, dia melahirkan rasa teruja apatah lagi ini merupakan impiannya sejak mula melangkah sebagai anak seni lagi.

“Memang sudah lama saya merancang untuk mengembara ke seluruh Malaysia bagi meraikan muzik saya. Pengalaman untuk ke Borneo ini memang cukup mengujakan apatah lagi memang saya tahu ramai peminat di sana menantikan konsert begini.

“Perancangan tu memang dah lama ada. Lepas berjaya di Damansara, reaksi peminat cukup bagus. Mereka mahu saya pusing satu Malaysia pula. Jadi bila dah cukup semua benda, memang ini masa yang terbaik untuk saya ke sana,” jelas Aizat.

Pada 16 Julai nanti Aizat akan mengadakan persembahan di Stadium Tertutup Perpaduan, Petrajaya dan 22 Julai pula dia dijadualkan membuat konsert di KadazanDusun Cultural Association (KDCA), Penampang, Sabah.

Dalam konsert yang akan diadakan selama dua jam itu, Aizat akan diiringi oleh sembilan pemuzik dan penyanyi latar sambil mendendangkan lagu-lagu popular yang termuat dalam album pertama dan kedua penyanyi berkenaan.

Malah, Aizat juga cukup bertuah apabila kesemua pemuzik yang akan mengiringinya nanti merupakan mereka yang terlibat dalam pembikinan album Urusan Aizat Amdan termasuklah Anas yang juga merupakan abang kepada Aizat.

Tidak hanya bersendirian di atas pentas, Aizat turun menjemput Altimet, DJ Fuzz, Amirullah yang juga merupakan artis pertama yang bernaung di bawah label Kasi Gegar Entertaimnent (KGE) bagi mengiringi persembahannya nanti.

Turut membuat persembahan termasuklah kumpulan Masterpiece (Juara Anugerah Rentak Ruai) bagi konsert di Kuching dan Jimmy Palikat untuk konsert di Kota Kinabalu.

Urusan Aizat Amdan- Borneo Tour turut mendapat tajaan daripada Digi dengan kerjasama Cats FM. Aizat juga akan berkolaborasi bersama Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia. Setiap RM5 daripada hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Taman Harapan Malaysia.

Tiket-tiket sudah mula dijual dengan harga RM35 untuk tiket biasa dan RM50 untuk tempat duduk VIP.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: