CRYSTAL BALL...gaya persembahan dan personaliti Lynn jadi pilihan untuk majlis rasmi membabitkan kerabat diraja dan orang kenamaan.
KEMERDUAN suaranya amat menyentuh jiwa �hinggakan diri bagai terpanggil untuk terus ‘melekat’ di ruang santai lobi Hotel Klana Resort, Seremban, dek tidak sabar menantikan dendangan lagu seterusnya.
Bermula dengan lagu pop dan rock era ini, Norlin Abu Ashaari - mesra disapa Lynn - seterusnya beralih ke genre country, R&B , blues, rock klasik, malah lagu asli berdasarkan permintaan pengunjung.
Melihatkan jumlah pengunjung yang melepak di Cascades Lobby Lounge pada malam itu, nyata gaya serta keanggunan wanita ini berjaya menarik ramai peminat dan ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyaksikannya mengalunkan lagu pilihan mereka.
Bergerak secara duet bersama suaminya, Hisham Sanusi, pasangan yang dikenali sebagai Crystal Ball ini jelas punya tarikan tersendiri hingga sentiasa menjadi pilihan memeriahkan majlis korporat dan rasmi di samping mempunyai peminat
di kalangan orang kenamaan.
“Apa yang penting ialah aspek komunikasi yang mana kami sering berinteraksi dengan hadirin setiap kali masa rehat dan selepas tamat persembahan.
“Daripada maklum balas itulah kami dapat tahu jenis lagu kegemaran mereka, sekali gus membolehkan kami menambah senarai lagu untuk dimainkan pada malam berikutnya,” ujar Lynn memulakan bicara.
Menceritakan mengenai pembabitan awalnya dalam bidang itu, Lynn menegaskan tiada asas dalam nyanyian dan teknik vokal yang digunakannya ketika mengadakan persembahan diperoleh berdasarkan pengalaman.
“Sejak remaja saya gemarkan muzik hinggakan belajar pun mesti mendengar radio.
Minat menyanyi itu diteruskan selepas tamat sekolah dan kemudiannya menyertai kumpulan muzik secara sambilan ketika me�nyambung pengajian di Amerika Syarikat,” katanya.
Bekas penuntut jurusan bahasa Inggeris di Southern Illinois University Carbondale itu bagaimanapun tidak dapat meneruskan minatnya sejurus pulang ke tanah air apabila terikat dengan kerjaya sebagai setiausaha di sebuah syarikat korporat di Petaling Jaya.
Sementara suaminya yang dikenali ketika menuntut di Amerika Syarikat, pula bekerja di syarikat teknologi maklumat sebagai juruteknik komputer dan ini tidak me�ngizinkan mereka meneruskan aktiviti muzik kerana tuntutan kerja yang tidak menentu.
Semuanya berubah sejurus pasangan romantis ini menghabiskan cuti hujung minggu mereka di Genting Highlands sekitar lewat 1980-an.
“Ketika kami singgah ke Awana Genting, saya terlihat poster pemain keyboard yang mengadakan persembahan di hotel itu. Pemain keyboard itu adalah bekas ahli kumpulan saya ketika menuntut dan kami terus berjumpa dengannya.
“Selepas berbual panjang, kami dipelawa menyertainya mengadakan latihan dan persembahan pada setiap hujung minggu. Lama-kelamaan minat itu kembali bercambah hingga akhirnya saya dan suami nekad berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada nyanyian,” ujarnya.
Kolaborasi pasangan suami isteri itu dan rakan mereka bermula di sebuah kelab malam di Melaka di mana kebanyakan pengunjung kelab itu adalah golongan muda yang sukakan muzik keras dan bingit.
“Kami mula serasi sebagai satu kumpulan, tetapi malangnya kami tidak dibayar oleh pengusaha kelab selepas dua bulan di sana. Jadi kami ambil keputusan tinggalkan kelab itu selepas tiada kata putus daripada mereka.
“Disebabkan kami tiada kenderaan, kami bergantung sepenuhnya kepada bas ekspres dan malam itu juga kami bawa semua peralatan muzik menaiki bas ke Cherating,” katanya.
Di sana, kumpulan itu meneruskan persembahan di Impiana Resort selama setahun sebelum rakan mereka terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan.
Kembara muzik pasangan ini seterusnya merantau ke sebuah hotel di Johor Bahru pada hujung 1995, di mana mereka digandingkan bersama seorang penyanyi Filipina dan tampil dengan nama Hot Lips.
“Pada awalnya ok, tapi lama-kelamaan penyanyi Filipina itu mula menimbulkan masalah apabila turun dari pentas dan bertemu pengunjung sambil menadah mangkuk dan meminta wang.
“Insiden itu juga membuat�kan kontrak kami dibatalkan serta-merta dan sekali lagi kami menaiki bas dengan segala peralatan muzik menuju ke Kuala Lumpur.
“Mujur suami mengenali beberapa pemuzik di KL dan kami diberi peluang mengadakan persembahan di Holiday Inn City Centre (kini Hotel Quality). Itulah pertama kali kami mengadakan persembahan dengan 90 peratus permintaan lagu Melayu dan kami mula menyanyikan lagu asli dan pop era 60-an, 70-an dan 80-an,” tambahnya.
Pasangan serasi ini kemudian ditawarkan mengadakan �persembahan di Permai Park Inn, Terengganu selama tiga tahun. Atas beberapa alasan, Lynn dan suaminya meninggalkan negeri itu untuk kembali beraksi di KL.
Pada 2003, mereka menerima tawaran yang dinanti-nantikan selama ini iaitu beraksi di kampung halaman di Negeri Sembilan apabila berjaya mendapatkan kontrak bersama Hotel Klana Resort selama setahun.
Perjalanan mereka diteruskan ke Langkawi, Kedah sebelum berehat seketika pada hujung tahun lalu.
“Kami tidak pernah penat dengan semua ini. Ia sebenarnya satu cabaran dan ruang untuk menimba pengalaman apabila dapat merantau ke tempat orang. Semua ini mungkin tak akan berlaku jika saya masih bekerja di pejabat,” tegasnya.
Lynn dan Hisham kini kembali memeriahkan lounge di Klana Resort sejak Januari lalu dengan membariskan beberapa orang kenamaan sebagai peminat setianya.
Biarpun sedar dengan pandangan serong masyarakat, Lynn menegaskan apa yang dilakukannya ini sama seperti orang lain.
“Saya dan suami mencari rezeki dengan cara ini dan kami bekerja berdasarkan apa yang kami gemari. Saya pasti tak ramai yang boleh katakan bahawa mereka melakukan sesuatu yang diminati dan mendapat bayaran atas minat itu.
“Bagi saya, selagi mendapat sokongan suami dan keluarga, saya tidak akan putus asa dan seronok melakukannya. Seronok apabila dapat menyentuh perasaan orang lain dengan persembahan kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: