|
|
TIDAK pernah terlintas di fikiran anak muda ini untuk menjejakkan kaki ke bumi Australia. Apatah lagi berpeluang mewakili pasukan berbasikal bertaraf dunia di negara Kangaroo itu.
Bagi bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Ismail dan Sekolah Menengah Bukit Mentok, Mohd. Adiq Hussainie Othman, ia ibarat mimpi yang menjadi kenyataan.
Segala penat lelah pelumba kelahiran Kemaman itu seakan berbalas apabila dijemput menyertai pasukan Drapac Porsche Professional Cycling Team pada 2010 serta beraksi bersama pasukan tersebut ketika Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010.
Bakatnya semakin menyerlah pada tahun yang sama dia berjaya muncul juara kebangsaan dan tahun 2011 Adiq terus menonjol serta mendapat pengiktirafan Kementerian Belia dan Sukan menyertai program Road To London 2012 bersama pelumba lain termasuk pelumba sensasi, Mohd. Azizulhasni Awang.
Adiq yang lahir pada 29 April 1991 mula meminati sukan berbasikal ketika berada di tingkatan satu, anak keempat daripada lima beradik itu tidak menoleh ke belakang selepas menyedari bahawa dia mampu pergi jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.
Salah seorang yang melihat perkembangan Adiq ialah adiknya sendiri, Mohd. Afiq Huznie Othman, juga seorang pelumba basikal mewakili pasukan Terengganu dan menjadikan abangnya sebagai idola.
“Ketika itu saya masih kecil lagi, saya melihat minat abang saya dalam sukan ini sangat mendalam. Dia serta beberapa lagi rakannya tidak jemu berlatih setiap hari, mungkin dari situ juga terdetik untuk saya mengikut jejak langkahnya,” kata Afiq.
Pelumba Leopard Trek, Andy Schleck menjadi idola buat Adiq dan selepas setahun Schleck muncul juara kebangsaan dalam acara lebuh raya di negaranya, Luxembourg, setahun selepas itu Adiq turut mencatat kejayaan yang sama.
Bakat Adiq bukan sahaja dalam acara lebuh raya, malah dalam acara trek juga dia mampu memberi persembahan terpuji dan menjadi salah seorang pelumba harapan ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley bagi disiplin jarak sederhana.
Adiq hampir meraih pingat dalam perlumbaan mata di Sukan Asia Guangzhou tahun lalu. Tahun ini, dia berjaya memperbaiki prestasinya dengan menyumbang gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat untuk acara yang sama.
“Tidak ada idola lain dalam sukan berbasikal ini kecuali abang saya. Sebagai adik, saya rasa bangga dengannya terutama selepas terpilih dalam program Road To London 2012,” kata Afiq yang sekarang ini bersama pasukan Terengganu di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Singapura.
Kata Afiq, abangnya bukan sekadar menceburi sukan berbasikal atas dasar minat semata-mata, malah pernah memberitahunya bahawa dia lakukan semuanya kerana ingin membantu keluarga.
“Saya boleh anggap bahawa impiannya sudah hampir berjaya, saya bangga dengan sikapnya yang ingin membantu keluarga dan dia menasihati saya sejak saya masih darjah enam supaya menceburi sukan ini agar dapat membantu keluarga hidup senang,” kata Afiq.
Bapa Adiq, Othman Awang bekerja sendiri sementara ibunya, Rusni Ismail seorang jururawat.
“Saya berharap dia mampu memberi kayuhan terbaik buat negara terutama sekali di Sukan Olimpik 2012 London. Kami sekeluarga sentiasa berdoa agar dia mampu meraih kejayaan dan pingat sebagai hadiah buat negara,” kata Afiq.
Ketika artikel ini ditulis, Adiq masih berada di Eropah menyertai beberapa kejohanan dan latihan bersama rakan sepasukannya termasuk seorang lagi pelumba Malaysia, Amir Mustafa Rusli yang juga dilamar oleh pasukan Drapac awal tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: