KUALA LUMPUR: Pelakon, Norman Hakim,35, pada Jumaat, tidak pernah menyangka akan menangis apabila mengetahui dirinya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan Memey Suhaiza,23,
"Saya tidak pernah menjangkakan akan berada dalam keadaan yang sangat emosional sebegini," katanya yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan solat sunat syukur selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini tamat.
Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon juga menyifatkan apa yang berlaku adalah dugaan buat dirinya dan Memey.
Katanya lagi, Allah tidak memilih orang untuk diuji jika tahu dia tidak mampu untuk menghadapinya.
"Alhamdulillah dengan didikan orang tua, saya boleh menerima semua dugaan dan cubaan. Ini hanya satu fasa dalam kehidupan saya.
"Saya juga tidak akan berdendam dengan sesiapa dalam kes ini, malah saya reda jika ada orang yang dengki dengan saya," katanya.
Tambah pelakon drama “Wali” ini, setiap kali rasa dendam itu hadir, dia menyedekahkan Al-Fatihah kepada orang terbabit selepas disarankan untuk berbuat demikian oleh seorang ustaz.
Sementara itu, Memey yang hadir di mahkamah bersama Norman, menyifatkan keputusan tersebut sebagai 'hadiah perkahwinan' mereka yang akan berlangsung pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.
"Ini semua berkat kesabaran dan doa kedua-dua belah keluarga. Syukur, sekarang bila saya mahu kahwin, rezeki datang dan segala perkara dimudahkan sampai ada pihak yang mahu menaja sehingga RM12 juta," katanya sebak.
Bakal pengantin baru itu hanya tersenyum apabila disoal berhubung perancangan hidupnya selepas bergelar isteri dan menjawab, dia kini sudah bersedia untuk menempuh fasa seterusnya.
Pada Jumaat, Hakim Syarie Selamat Yatim melepas dan membebaskan pasangan tersebut daripada tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, di sini.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008.Pendakwaan terhadap Norman dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey dituduh mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.
Mereka yang didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 20 Januari 2009 kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Norman juga sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Abby Abadi dan bercerai pada 18 September 2008.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak, Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: