Sunday, July 31, 2011

Saya bukan Beyonce


Yuna belum puas dalam berkarya dan mahu sentiasa menzahirkan yang terbaik


LANGKAH Yunalis Zarai ke Amerika Syarikat (AS) hampir setahun lalu banyak memperlihatkan kematangan dalam membina kariernya dalam bidang muzik.

Malah percaturannya untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Fader Label juga dilihat telah banyak membuka ruang buat Yuna untuk melebarkan sayap mencipta nama sebagai artis bertaraf antarabangsa.

Mengaku sedang sibuk memberi tumpuan terhadap pembikinan album pertamanya di AS, kata Yuna dia juga berbangga kerana berpeluang berkolaborasi dengan produser dan penulis lirik ternama seperti Chris Braide, Andre Harris dan Pharrell Williams.

Pun begitu, ada satu lagi perkara yang telah membikin Yuna tersenyum bangga dan ia dibuktikan melalui percubaannya mengolah semula lagu Come As You Are.

Umum mengetahui, lagu tersebut merupakan nyanyian asal mendiang Kurt Cobain daripada kumpulan Nirvana dan pernah popular sekitar tahun 90-an.

Namun jangan tak tahu, sentuhan Yuna menerusi lagu tersebut telah berjaya melonjakkan popularitinya di negara luar sehingga mendapat pujian daripada kebanyakan media di sana.

Disifatkan sebagai sesuatu yang segar, Yuna juga dipuji kerana berjaya menaikkan semula lagu tersebut dalam versi yang lebih santai, gaya Yuna.

Menyelongkar isi hati gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini mengenainya, kata Yuna, meski terharu dengan pujian yang diberikan, namun rasa gusar tetap ada membelenggu dirinya.

“Alhamdulillah, rasa lega dan takut bercampur baur. Saya juga lega kerana video itu berjaya dapat perhatian seluruh dunia.

“Malah, kalau tengok dalam fanpage Nirvana di Facebook, ada 11 juta peminat yang bagi sokongan untuk lagu itu. Rasa gemuruh pun ada, sebab sekarang lebih ramai yang tahu pasal Yuna.

“Tapi syukurlah sebab saya dah berjaya tarik lebih ramai pendengar dan peminat bersandarkan lagu tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, Yuna mengaku tidak mahu hanya dikenali menerusi karya asal pemuzik lain meski gemar berbuat demikian. Baginya, lagu-lagu ciptaannya juga punya kekuatan tersendiri.

Pun begitu, timbul pula cerita, dek kerana sering membawakan lagu orang, Yuna dikatakan hilang identiti sendiri terutama dari aspek nyanyiannya.

Hal ini bukanlah sesuatu yang baru, apalagi dia sebelum ini pernah dikatakan cuba meniru lenggok suara ala Norah Jones mahupun Corinne Bailey Rae.

Menganggap ia bukanlah satu kesalahan, hujah Yuna, dari hari ke hari dia menjalani proses pembelajaran untuk memperbaiki aspek ini. Malah, katanya, menjadikan artis lain sebagai rujukan juga bukan satu kesalahan.

“Memang tak logik lah kalau kita tak pernah lihat atau dengar sumber luar dan boleh hasilkan karya sendiri kan!

“Itu sebabnya kita belajar di universiti, mendalami sesuatu ilmu yang kita nak belajar dan ada buku teks, rujukan, tenaga pengajar yang tolong kita dalam bab kemahiran dan pengetahuan.

“Ramai yang tak tahu macam mana saya membesar menjadi seorang penyanyi macam sekarang.

“Sejak umur tujuh tahun, saya banyak dengar lagu-lagu Melayu, balada, rock kapak, irama Melayu dan lagu Inggeris.

“Macam-macam yang saya cuba, proses itu panjang. Tapi Alhamdulillah, dari semua pengalaman itu saya belajar dan akhirnya saya jumpa gaya nyanyian dan muzik yang paling sesuai dengan saya,” katanya.

Bukan itu sahaja, menurut Yuna untuk menjadi seorang penghibur, seseorang itu perlu tahu kekuatan sendiri meski menjadikan artis lain sebagai rujukan.

“Kena tahu kelemahan dan kelebihan masing-masing. Saya pun tak mungkinlah nak menyanyi seperti Beyonce atau Rihanna sebab saya tahu saya tak akan boleh buat macam mereka.

“Saya ambil masa selama 10 tahun untuk belajar semua ini. Jadi kepada semua artis muda di luar sana, ia adalah okey kalau kita ‘tiru’ sikit-sikit. Jangan sebiji!

“Pengaruh adalah penting sebab ia membantu menaikkan semangat dan menjadikan kita kreatif.

“Tapi personaliti dan identiti kena menyerlah juga untuk memastikan kita berjaya dalam industri. Insyaallah, boleh pergi jauh,” katanya.

Selesa gaya baru

Dalam pada itu, menyentuh mengena aspek imejnya sekarang, Yuna nampaknya semakin selesa dengan gaya hijab ala turban.

Di awal kemunculannya dengan imej baru itu, kalau masih ingat, ramai juga yang melahirkan rasa kurang senang dengan penampilan sebegitu.

Namun, Yuna sedaya upaya mengambil pandangan peminat sebagai sesuatu yang positif meski punya prinsip sendiri dalam bab ini.

“Sebenarnya idea gaya ini datang semasa saya berkunjung ke Chicago untuk hadir dalam sebuah majlis yang dianjurkan oleh masyarakat Islam di sana.

“Mereka memang cool terutama cara bagaimana mereka meraikan seni cara Islam. Masa tu saya nampak ramai gadis yang datang ke majlis tu dengan memakai hijab gaya turban.

“Saya tanya macam mana cara pakai dan mereka tolong ajar pada saya. Semakin lama semakin saya selesa dengan imej begini bila menjalani kehidupan di LA.

“Nak keluar pun tak takut orang pandang pelik. Paling utama, sebagai seorang gadis Muslimah, kita masih boleh mengekalkan identiti Islam ketika bergaya,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengekalkan gaya dan imej barunya itu sepanjang bergelar artis selepas ini, kata Yuna, ia akan disesuaikan mengikut keadaan. Saya sangat selesa dengan imej ni buat masa sekarang.

“Saya mengaku memang saya suka cuba benda- benda yang baru, gaya yang baru. Tetapi rasanya saya paling selesa dengan imej ni buat masa sekarang. Mungkin saya akan cuba gaya lain, tetapi tetap mengekalkan pemakaian yang sopan,” ujarnya menutup bicara.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: