|
|
PENYANYI retro Britain, Amy Jade Winehouse, yang ditemui mati di apartmennya di London pada Sabtu minggu lalu telah lama bergelut dengan ketagihan dadah dan alkohol. Dia berusia 27 tahun.
Selama bertahun-tahun akhbar tabloid negara itu mendedahkan kelakuan membinasakan diri sendiri Winehouse, salah seorang bintang paling berbakat dunia muzik.
Kematiannya sekadar memanjangkan senarai 'Kelab 27' bintang pop iaitu seleribiti yang mati pada usia tersebut. Ini termasuk pemain gitar, Jimi Hendrix, yang mati selepas mencampurkan wain dengan pil tidur; penyanyi Janis Joplin yang menderita ketagihan heroin; dan ahli kumpulan Doors, Jim Morrison yang mengalami kegagalan jantung.
Epidemik
Kehidupan Winehouse sering tergambar dalam lirik lagu-lagunya. Lagu hitnya, Rehab, membayangkan dirinya yang kelam-kabut - "They tried to make me go to rehab; I said no, no, no."
Lagu itu mengenai dirinya yang menolak untuk mendapatkan rawatan pemulihan ketagihan alkohol di klinik.
Pada tahun 2009, akhbar Daily Mail melaporkan ketagihan dadah dan gaya hidup menyebabkan gigi Winehouse gugur satu demi satu selain menghidap penyakit gusi.
"Winehouse sebenarnya telah rongak. Dia mencabut giginya sendiri," kata satu sumber.
Gaya hidup kini telah menjadi satu isu global. Di Amerika Syarikat (AS), penyebab utama kematian bukanlah penyakit jantung, kanser, strok atau diabetes sebaliknya gaya hidup rakyat negara itu.
Kajian oleh Mathew Reeves, pakar epidemiologi dari Universiti Michigan mendapati cuma tiga peratus orang Amerika memiliki gaya hidup yang sihat.
"Saya terkejut melihat angkanya," kata Reeves, pembantu profesor epidemiologi.
Penyelidikan itu yang disiarkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine mendapati hanya tiga peratus rakyat memenuhi kriteria gaya hidup sihat iaitu tidak merokok, mempunyai berat badan ideal, makan dengan betul termasuk makan lima biji buah sehari dan bersenam lima kali seminggu selama 30 minit setiap sesi.
Serangan jantung tidak hanya menyerang warga emas. Hakikatnya, kematian mengejut dalam kalangan orang muda semakin kerap berlaku. Ini disebabkan perubahan gaya hidup khususnya bagi penduduk bandar.
Sebagai contoh, mereka gemar makan makanan segera atau makanan yang tinggi kolesterol, jarang bersenam disebabkan sibuk, merokok dan stres.
Jurnal perubatan Hart and Miller pula menyebut, sekurang-kurangnya tiga peratus kes strok yang disebabkan penyekatan peredaran darah ke otak dialami pesakit berumur bawah 30 tahun.
Penyelidikan itu diketuai Russell Luepker dari Universiti Minnessota, AS.
Kajian juga mendedahkan gaya hidup yang tidak sihat mencetuskan epidemik usia pramatang dengan wanita kelihatan berusia empat tahun lebih tua daripada usia sebenar.
Walaupun kebanyakan kita mahu nampak 10 tahun lebih muda, tinjauan terbaharu menunjukkan kita tidak membantu diri sendiri untuk kekal remaja.
Berdasarkan kajian ke atas 8,000 orang berumur 25 tahun ke atas di Britain, gaya hidup yang buruk termasuk merokok, minum alkohol, makan makanan ringan dan tidak mementingkan penjagaan kulit membuatkan wanita kelihatan tua sebelum waktunya.
Tahun lalu, pelakon berimej bersih, Jennifer Aniston, 41, mendahului carta selebriti yang kelihatan paling bagus pada usia mereka. Winehouse, 27, pula diundi sebagai selebriti paling teruk.
Kolagen
Dalam kajian itu, walaupun kulit responden tidak dianalisis pakar, kumpulan itu ditanya berapa umur mereka kelihatan sekarang.
Berdasarkan soalan itu, satu daripada lima orang tidak menggunakan pelembap kulit, 40 peratus keluar tanpa memakai losen pelindung matahari, dan suku daripada mereka makan makanan ringan sebanyak dua hingga tiga kali seminggu.
Secara purata mereka minum 448 gelas alkohol dan menghisap 894 batang rokok setahun.
Dr. Ravi Jain dari Klinik Riverbanks di Bedfordshire, England berkata, nasihat yang sering beliau berikan ialah buang semua rokok itu dan pakailah pelindung matahari setiap hari.
Beliau juga menggalakkan minum banyak air dan makan buah beri bagi melambatkan proses penuaan.
Ravi berkata: "Penghasilan kolagen pada kulit kita beransur perlahan seiring peningkatan usia. Kita kehilangan satu pertiga daripada kolagen semula jadi menjelang usia 45 tahun menyebabkan kulit berkedut.
"Bagaimanapun, merokok, minum alkohol, terkena sinaran matahari, diet yang buruk dan kurang bersenam boleh mempercepatkan masalah kolagen sehingga kita tua sebelum waktunya."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: