|
|
APRIL lalu Hanafi Hariffin pernah berhijrah ke Kedah untuk menempuh alam pekerjaan di sebuah hotel di sana. Setelah tamat persekolahan, dia mahu rasa alam pekerjaan terlebih dahulu.
Kebetulan abangnya bekerja di sana dan dapatlah dia tinggal bersama abang. Tapi belum sempat menerima gaji pertama, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga bapanya yang jatuh sakit di kampungnya di Dungun, Terengganu.
Sehingga sekarang Hanafi masih tinggal bersama keluarga di kampung. Dia belum bekerja sebaliknya mahu kembali menyambung pengajian hujung tahun ini. Sekarang dia berkorban untuk kesenangan keluarga.
"Saya terpaksa melupakan hasrat bekerja sebab tiba-tiba bapa saja jatuh sakit. Saya sempat bekerja selama dua minggu sahaja. Selama sebulan lebih saya menjaga bapa berulang alik mendapat rawatan di hospital.
"Sekarang ini alhamdulillah bapa sudah sihat dan kembali bekerja. Tapi sebab bulan puasa dah nak masuk ini, saya tidak mahu ke mana-mana dulu. Biarlah saya tinggal saja di kampung.
"Pada masa ini hanya saya yang tak bekerja, jadi sayalah yang dipertanggungjawabkan melihat keadaan keluarga. Adik bongsu saya masih bersekolah dan tinggal di asrama," kata Hanafi yang memiliki wajah persis pemain bola posisi pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang juga suami aktres popular, Rita Rudaini.
Bagaimanapun jika diamati, susuk tubuhnya sedikit kurus berbanding pemain bola sepak yang juga kembar kepada Zakuan Adha itu.
"Memang ramai yang kata wajah saya ada iras Aidil. Ada juga yang kata macam penyanyi Tomok. Saya pun tak tahu di mana persamaan itu, sebab saya lihat wajah saya biasa-biasa sahaja.
"Pernah sekali semasa saya menggunjungi Jom Heboh di Terengganu, ada sekumpulan remaja wanita yang pandang-pandang ke arah saya. Saya juga ada dengar mereka berteka-teki sesama sendiri sama ada saya ini Aidil atau orang lain.
"Agaknya setelah mengamati wajah saya betul-betul, mereka pasti saya bukanlah pemain bola sepak itu, mereka terus berlalu," imbau Hanafi pasal kejadian beberapa bulan lalu itu.
Sementara itu Hanafi juga menyimpan hasrat untuk mencuba bidang seni. Dia ingin mencuba bidang lakonan kerana mempunyai minat dalam bidang itu. Tapi memandangkan dia tinggal di kampung, hasrat itu tidak akan diusahakannya dahulu.
"Kalau menyambung pengajian di Kuala Lumpur nanti, boleh juga saya mencuba berlakon pada masa luang. Saya harap dapat merealisasikan hasrat itu suatu hari nanti," katanya lagi.
Hanafi juga meminati fotografi dan grafik. Dia mahu mencari kolej yang menyediakan kursus tersebut apabila menyambung pengajiannya. Malah sekarang pun dia menjinak-jinakkan diri membuat kerja seni grafik menggunakan gambar yang dirakam sendiri.
"Saya tidak pernah belajar grafik dan fotografi, tapi sebab minat punya pasal, saya boleh membuat seni grafik yang ringkas. Kalau tak ada kerja saya menghadap komputer dan membuat kerja grafik secara suka-suka," akuinya.
Esok atau lusa umat Islam akan mula berpuasa. Hanafi juga teruja kerana mahu merasai keseronokan berpuasa. Apatah lagi dia tinggal bersama keluarga di kampung.
"Kalau masuk bulan puasa, saya seronok sebab dapat berterawih dan juga bersahur. Saya memang tak akan terlepas makan sahur," katanya.
Apatah lagi rumahnya dekat dengan tapak Pasar Ramadan di pekan Dungun, Terengganu. Dia akan mencari kuih berbuka yang hanya dijual pada bulan Ramadan seperti kuih nekbat dan kuih qasidah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: