KUALA LUMPUR:Dokumentari One Month Ramadan In Kuala Lumpur merupakan sebuah dokumentari berorientasikan drama yang bakal menukar persepsi orang bukan Islam terhadap ibadah puasa.
Ia akan ditayangkan mulai 12 Ogos depan, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV AlHijrah.
Menurut penerbitnya, Idris Shiekh Ahmad, program realiti dokumentari ini akan mengikuti perjalanan sebenar seorang wanita bukan Islam dari Amerika Syarikat yang datang ke Malaysia bagi menyahut cabaran mengerjakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan.
"Ketika memulakan proses pembikinan dokumentari ini, kami telah mengiklankan tawaran tersebut di sebuah laman Forum Pengembaraan yang mencari seorang bukan Islam untuk merasai pengalaman berpuasa di Kuala Lumpur.
"Kami menerima terlalu banyak penyertaan. Selain Malaysia, Indonesia sambutan juga dari negara jiran yang lain. Kami akhirnya telah memilih seorang wanita yang bernama Lydia Perr yang berasal dari New York," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Ramadan TV AlHijrah, di sini, Khamis lalu.
Tambah Idris, Lydia mempunyai latar belakang keluarga yang sangat menarik dan datang daripada keluarga berketurunan Yahudi dan ibunya beragama Kristian.
"Saya tertarik dengan Lydia dan memilihnya untuk menyertai program ini, ketika itu juga negara jiran Indonesia sibuk digemparkan dengan letupan bom.
"Namun dengan rasa ingin tahu, Lydia tidak mengendahkan nasihat keluarganya untuk datang ke Malaysia, walhal dia tidak pernah menjejakkan kaki di sini," tuturnya pengarah urusan MK Direct ini.
Tambah Idris, pelbagai peristiwa menarik yang berlaku ketika proses mengenalkan Lydia kepada ibadah puasa yang dapat disaksikan oleh penonton.
"Kami tidak memaksa dia untuk berpuasa penuh tapi dengan kerelaan dirinya sendiri Lydia mampu menahan lapar dan dahaga selama sebulan biarpun ketika dia keluar bersama rakan-rakan senegaranya.
"Di sini juga kita dapat lihat bagaimana hati Lydia sendiri terbuka untuk melakukan ibadah itu dengan ikhlas tanpa paksaan," katanya.
Kata Idris, mesej utama yang ingin disampaikan kepada penonton ialah berkenaan ibadah puasa kepada umat Islam, dan secara tidak langsung juga menukar persepsi masyarakat luar terhadap ibadah tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: