Friday, July 29, 2011

FFM masih tidak dapat sambutan artis muda?

Mencalonkan 42 buah filem yang layak bertanding pada Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24) yang bakal berlangsung pada 19 November 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC).

Perkembangan tersebut memperlihatkan bahawa dunia perfileman hari ini menunjukkan satu peningkatan di luar jangkaan walaupun ada pihak yang menganggap penghasilan filem adalah sekadar untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan kepentingan lain.

Biarpun hasrat dan niat yang cuba dipamerkan itu sememangnya murni, nampaknya tidak semua yang terlibat dalam industri perfileman ini menyokong sepenuhnya usaha untuk memartabatkan dunia perfileman ini.

Buktinya, pada malam Pra Pelancaran FFM24 yang berlangsung pada 25 Julai lalu, tidak semua artis yang terlibat dalam dunia perfileman hadir untuk memberi sokongan. Tiada nama-nama besar, apatah lagi pelakon-pelakon yang dianggap kelas 'A' hadir untuk menyokong usaha FFM ini.

Bertanyakan Pengerusi FFM24, Harun Salim Bachik tentang kehadiran artis yang memberi sokongan pada malam itu, jelas beliau, kebanyakkan artis yang popular sibuk dengan urusan penggambaran, biarpun sebelum ini hampir 80 orang sudah memberikan pengesahan untuk hadir.

"Kita sudah mengundang dan sudah mengkhabarkan pada mereka tentang majlis ini, tetapi nampaknya mereka sendiri sibuk dengan urusan mereka.

"Kita sudah usaha setakat yang mampu, dan sukar untuk saya menjawab dari pihak mereka, niat kita hanya untuk meraikan mereka pada malam itu, dan ini satu-satunya festival yang meraikan para penggiat filem, jadi saya harap mereka dapat memberikan sokongan.

"Sebenarnya, untuk malam pra pelancaran ini, sudah 88 orang artis memberikan pengesahan untuk hadir, tapi nampaknya mereka tidak dapat hadir pada malam ini.

"Namun, saya juga berterima kasih kepada semua artis yang hadir pada malam ini, dan usaha kami tetap akan diteruskan untuk meraikan penggiat-penggiat filem,"luahnya.

FFM24 juga akan membuat siri jelajah mereka untuk merapatkan diri bersama peminat-peminat filem di beberapa lokasi antaranya, Ipoh, pulau Pinang, Johor, Kota Kinaballu, Kuantan, Melaka, dan Seremban.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: