RIANG tawa sekumpulan kanak-kanak Orang Asli di Kampung Kuala Koh yang terletak di Taman Negara terhenti seketika. Kemudian, ada yang berlari sekuat-kuat hati dan bersembunyi di sebalik belukar. Tidak tahu mengapa mereka berkelakuan sedemikian tatkala melihat penulis dan ahli rombongan lain tiba.
Dari sudut yang lain pula, sekumpulan ibu yang sedang mengendong anak memerhati kami dengan renungan yang sangat tajam. Cara pandangannya itu seperti menggambarkan kami telah melakukan satu kesalahan yang besar.
Bebola mata yang berkaca dan raut wajah mereka jelas memancarkan perasaan kehairanan melihat orang luar seperti kami berkunjung ke kampung mereka. Terdetik juga rasa takut kalau-kalau kehadiran kami yang tidak diundang menimbulkan kemarahan penghuni di sana.
Sesungguhnya, kunjungan penulis ke perkampungan asli yang dihuni oleh suku Bateq membuka satu dimensi baru. Ya, penulis seolah-olah kembali ke zaman primitif. Penghuni-penghuni hutan itu rata-ratanya berkaki ayam, tona kulit mereka agak gelap dan kesemuanya nampak comot.
Pakaian yang disarung juga compang-camping. Jujur untuk diluahkan, pakaian yang dikenakan sememangnya tidak selari dengan umur mereka. Tidak perlulah digali terlalu mendalam di mana mereka mendapatkan pakaian itu.
Namun, jauh di sudut hati, penulis melihat anak-anak Orang Asli itu comel-comel sebenarnya. Buktinya, mereka telah memberi gaya-gaya yang istimewa tatkala lensa kamera memfokus ke arah mereka.
Seperti kata pemandu pelancong, Kamaruddin Mohamad atau senang disapa dengan Abang Din, mereka tidak perlu dikasihani.
Hidup terasing
“Inilah kehidupan golongan yang terasing daripada dunia moden, mereka senang hidup begini. Sebenarnya mereka mesra, tapi mula-mula mereka akan sedikit terkejut dan malu-malu.
“Tapi lama-kelamaan, mereka akan datang mendekati awak tanpa perlu dipanggil,” kata Abang Din yang sudah tiga tahun berkhidmat sebagai pemandu pelancong di Taman Negara, Kuala Koh.
Benar bagai dikata, setelah setengah jam berada di situ, penulis didatangi seorang kanak-kanak perempuan bergigi rongak. Dia lantas membelek kamera yang digalas.
Kata-kata yang terpacul daripadanya sememangnya sulit difahami. Namun, dari segi perawakan, mereka nampak gembira dan kadangkala terdengar mereka tertawa kecil.
Secara keseluruhannya, di Kampung Kuala Koh terdapat 37 buah keluarga dengan anggaran penduduk seramai 150 orang. Kesemuanya diselia oleh ketua yang dipanggil Tok Batin. Sayangnya, ketika kunjungan penulis, Tok Batin keluar pergi berburu di hutan.
Menurut Abang Din, atas keprihatinan kerajaan, sebanyak 30 unit rumah batu dibangunkan untuk masyarakat orang Asli di situ, namun nampaknya mereka ini seperti ‘tidak pandai’ untuk menyesuaikan diri.
“Dulu mereka duduk di dalam hutan tebal di kawasan Pertang, selepas kerajaan sedia rumah, mereka pindah tapi ramai yang lebih suka duduk di rumah yang beratapkan nipah, berlantai dan berdindingkan buluh seperti ini,” ujarnya lagi.
Ya, bercerita tentang berburu, kebanyakan kaum Adam Orang Asli Bateq memang kerjanya berburu. Bagi wanita pula, tugas mereka hanya menjaga anak dan memasak. Kepada yang rajin, mereka akan bercucuk tanam.
Sedang leka bersembang dengan Abang Din, refleks iris penulis terus terarah melihat seorang pemuda yang asyik memotong kayu di rumah kayu yang tidak berpintu.
Salam perkenalan dihulurkan kepada lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Sam. Kemudian, lelaki yang mengenakan kemeja putih dan berambut kerinting itu menghulurkan segulung rokok kepada penulis.
Sam tidak lokek untuk berkongsi ilmu bagaimana dia menghasilkan damak iaitu sejenis panah beracun yang digunakan bersama sumpit.
Dengan slanga bahasanya yang masih boleh difahami, Sam sambil menghidupkan unggun api dan pada masa sama menghisap rokok berkata : “Bukan mudah ya untuk hasilkan damak ini, kena buat baik-baik, bermula daripada proses menghiris kayu sehinggalah mengadun racun.
Racun damak
“Jaga arah asap yang bergerak. Jangan sampai terhidu,” Sam terus memberi amaran kepada penulis.
Damak yang telah siap dicelup bersama racun yang diletakkan ke dalam periuk yang dipanaskan dengan bara api. Sam kemudiannya meracik sebatang kayu sehingga menjadi potongan halus seperti lidi bermuncung tajam.
Kerjanya dilakukan dengan penuh teliti. Dia sedikit pun tidak mendengus. Diam tidak diam, lelaki ini berjaya menyiapkan 150 batang damak dan kemudiannya mengisinya ke dalam buluh kosong.
“Inilah pekerjaan yang saya lakukan hari-hari, kira cukuplah untuk menyara keluarga,” katanya yang turut keluar berburu.
Meskipun masyarakat Orang Asli berada jauh nun di pedalaman, namun mereka juga sebahagian daripada rakyat Malaysia. Bezanya, cuma cara hidup dan praktis budaya yang barangkali agak janggal dengan kominiti urban masa kini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: