Sunday, July 31, 2011

Merai hari kemerdekaan


AZAM Pit (kiri sekali) bersama Enot dan Syed Ali menghiburkan pelajar Sekolah Kebangsaan Setapak Indah minggu lalu.


ANTARA sedar atau tidak, hampir 54 tahun negara Malaysia yang tercinta mencapai kemerdekaan. Dalam usia yang cukup matang ini, kita tidak pernah lupa pada jasa dan pengorbanan yang telah ditabur oleh orang terdahulu.

Tidak pernah melupakan apa yang telah dikorbankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu, sambutan Bulan Kemerdekaan sudah bermula di pelbagai peringkat termasuklah di sekolah.

Pada 23 Julai yang lalu Pancaindera berkesempatan singgah ke Sekolah Kebangsaan Setapak Indah, Kuala Lumpur bagi meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Pengisian program bukan sekadar berkisar pada sambutan kemerdekaan semata-mata tetapi dalam masa yang sama turut diadakan Karnival Keusahawanan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mengumpul lebih seribu tetamu pada hari tersebut.

Pelbagai aktiviti yang telah diatur oleh pihak sekolah untuk menyemarakkan lagi rasa cinta pada negara di samping menghargai keamanan dan kedamaian yang dikecapi oleh kita selama ini.

Tidak terhenti daripada terus menyubur rasa bersyukur atas nikmat dan kurniaan daripada-Nya, rata-rata pelajar sekolah itu cukup teruja dengan sambutan yang diadakan.

Untuk golongan artis pula, ini merupakan peluang terbaik untuk turut sama menyemarakkan lagi rasa berkobar-kobar itu. Setidak-tidaknya mereka akan menjadi pencetus semangat untuk terus menjunjung megah apa yang sudah ada.

Pagi itu perkarangan sekolah penuh sesak dengan kehadiran para pelajar dan ibu bapa. Selain acara gerai pameran dan jualan oleh pelajar dan ibu bapa terselit juga pentas kecil yang digunakan oleh artis kita untuk membuat persembahan.

Ternyata kehadiran beberapa artis popular tanah air seperti Zain Saidin, Enot Abdullah, Syed Ali, Azam Pit, Munir, Mohd Mentor dan Hairi Safwan Aznan sudah cukup untuk membuat pelajar-pelajar sekolah teruja dengan kunjungan mereka ini.

Bukan seperti acara konsert mahupun persembahan besar yang lain, barisan artis ini cukup santai menghiburkan peminat dengan sisi yang berbeza.

Kelibat Enot dan Syed Ali yang bertindak selaku pengacara sudah cukup untuk membuatkan dataran sekolah itu riuh dengan gelak tawa yang tak henti-henti. Ada sahaja usikan mereka terhadap kelompok pelajar sekolah yang memenuhi sekeliling pentas.

Bagi Mohd pula, ini merupakan kunjungan kali pertama dia ke sekolah untuk membuat persembahan dan sudah pasti dia cukup teruja kerana berpeluang turun padang bersama artis lain.

“Ini bukan sekadar acara nyanyian dan acara suka-suka. Memang ini peluang yang jarang saya dapat sebenarnya. Dapat duduk dan bermesra dengan pelajar sekolah memberikan satu pengalaman baru pada saya.

“Lagipun ini merupakan permulaan bagi sambutan Bulan Kemerdekaan yang akan disambut tak lama lagi. Jadi selain berhibur artis yang hadir juga boleh sama-sama meniup semangat pada pelajar,” jelas pelakon ini lagi.

Munir yang cukup popular dengan kumpulan Phyne Ballerz satu ketika dahulu cukup seronok melayan keletah kanak-kanak yang begitu meminati dirinya apatah lagi dapat menyumbangkan sebuah lagu baru untuk peminat kecilnya.

“Ini merupakan pengorbanan kecil saya. Kalau nak dibanding dengan pejuang yang dahulu mungkin macam langit dengan bumi bezanya. Kalau tidak dapat berjuang macam orang dahulu, cukuplah saya dapat tiup semangat untuk semua pelajar sekolah.

“Paling tidak acara sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan antara saya dan anak-anak sekolah di samping dapat meraikan bulan Kemerdekaan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: