Sunday, July 31, 2011

Jelas hubungan dengan pengkid




JANGAN terkejut kalau anak kelahiran Kundasang, Sabah ini mengakui bahawa dia lebih selesa berkawan dengan lelaki berbanding dengan perempuan.

Alasannya, kebanyakan kaum Hawa kadangkala tidak boleh menerima cara dia bergurau senda. Ada masanya terlalu kasar dan tidak tertib menerusi bahasa badan dan bicara kata.

“Sejak membesar bersama tiga abang dan sepupu lelaki di kampung sejak kecil sampai sekolah menegah. Bersama mereka saya bermain dan melakukan aktiviti harian. Cakap saja apa juga permainan lasak, semuanya pernah saya main.

“Panjat pokok, lambung duit syiling, main baling selipar atau galah panjang, semuanya dilakukan bersama dengan budak lelaki,” dedahnya mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.

Naib Juara Akademi Fantasi 8 (AF8) ini juga mengatakan bahawa perangai lasak dia menyebabkan dia tak punya ramai kawan perempuan. Apatah lagi apabila kebanyakan mereka lebih suka duduk di rumah, tak suka jalan jauh dan macam-macam lagi.

Sedangkan dalaman Adira penuh dengan sikap kelakian. Gemarkan sesuatu aktiviti yang boleh mencabar fizikal dan mental.

Atas sikap itu juga, catatan perjalanan seni Adira dicacatkan dengan cerita kurang enak tentang cinta songsang apabila dia berkawan dengan golongan pengkid.

Khabar negatif itu tersebar termasuk melibatkan satu insiden kemalangan apabila kekasih Adira, Hafiz AF dikatakan sengaja menolak seorang perempuan berperwatakan semacam lelaki, Zack pada Mei lalu.

“Sebenarnya, ramai yang salah tafsir dengan kejadian itu. Saya didakwa punyai kecenderungan dengan sama jantina dan macam-macam lagi. Sebaliknya, saya masih lagi waras.

“Saya selesa berkawan dengan golongan sebegitu. Mereka juga manusia biasa. Dan jangan salahkan mereka andai mereka berwatakan begitu. Tak adil bukan,” soalnya semula.

Mengulas pernyataan Adira yang seolah-olah membela golongan pengkid, wanita berusia 19 tahun ini berulangkali menegaskan bahawa dia bukan jenis gemar melabel manusia.

“Saya bukan nak membela golongan itu. Cuma saya beranggapan bahawa kita tak boleh terlalu rigid dengan penilaian mata sendiri. Janganlah disebabkan penampilan mereka yang semacam lelaki itu, kita dah cakap yang macam-macam bukan?

“Saya pula jenis yang selesa berkawan dengan semua orang. Tak kira sama ada lelaki atau perempuan. Selagi mereka tak buat jahat dengan saya, tak jadi masalah,” jelasnya.

Mengajukan persoalan sama ada penyanyi yang lahir pada 19 September 1991 ini sudah bosan dengan stigma yang menyebabkan personaliti wanitanya seringkali disalah faham oleh sesetengah pihak, Adira terdiam.

“Bagi saya cukup-cukup cerita ini. Saya memang tak boleh nak jaga hati semua pihak. Tapi saya tak boleh nak halang bila orang masih bercakap tentang perkara ini. Biarlah, bila dah penat nanti, pasti berhenti.

“Yang pasti, semua orang ada kisah silam mereka sendiri dan saya tak terkecuali. Adira dulu yang tomboi sudah tak ada lagi. Masa berlalu dengan cepat dan saya menganggap apa yang berlaku adalah asam garam kehidupan,” katanya jujur.

Katanya, kudrat kecilnya tak terdaya untuk melawan lemparan kata-kata negatif terhadapnya. Kalau pun ada ketikanya Adira merasakan sesuatu tuduhan itu melampau, namun hanya ada satu perkara yang terdaya dilakukannya iaitu berdiam diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: