Saturday, July 30, 2011

Terhad untuk 100 unit sahaja


AKSESORI Ralliart membuatkan Lancer Sportback ini kelihatan jauh lebih sporty.


PENGIMPORT dan pengedar kenderaan Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia, (MMM) baru-baru ini melancarkan model Mitsubishi Lancer Sportback RA Edition. Berdasarkan kepada model Lancer Sportback 2.4 yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, Edisi RA eksklusif ini hanya ditawarkan sebanyak 100 unit sahaja.

Edisi RA menambah pakej sporty yang sudah sedia ada pada model Lancer Sportback menerusi pelbagai aksesori Ralliart, jenama untuk produk Mitsubishi yang mempunyai kaitan dengan sukan bermotor.

Dihasilkan buat peminat tegar Ralliart, setiap Lancer Sportback Edisi RA hadir bersama pakej aksesori eksklusif yang meliputi tempat duduk kulit Nappa dengan rekaan sporty, rim aloi, diffuser belakang, plat Ralliart, stiker, kamera mengundur, bampar hadapan, emblem Ralliart dan banyak lagi.

Model ini ditawarkan pada harga RM137, 980 seunit di atas jalan termasuklah insurans. Ia didatangkan dalam tiga warna pilihan iaitu biru, putih dan hitam. Pelanggan juga akan menikmati jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer (km), selain pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun daripada Mitsubishi.

Apa yang pasti, penampilan sporty Lancer Sportback dipertingkatkan melalui penggunaan bampar hadapan Ralliart dan logonya yang memang terkenal itu. Sementara gegelang pada lampu kabus membuatkannya menyerlah biarpun lampunya belum dinyalakan.

Bagi nampak sepadan, bahagian belakang dipasang dengan unit diffuser pada bahagian bawah bampar. Manakala rim aloi bersaiz 18 inci dicat dengan warna Gun Metal.

Ciri sporty itu diteruskan hingga ke bahagian kabin. Plat Ralliart edisi khas tahan calar diletakkan pada setiap pintu. Pemandu dan penumpang juga pasti berpuas hati dengan keselesaan yang ditawarkan oleh tempat duduk kulit Nappa tersebut. Untuk membantu pemandu ketika memarkir kenderaan, kamera mengundur disediakan.

Sejak dilancarkan ke pasaran tempatan pada akhir tahun lalu, Lancer Sportback merupakan hatchback lima pintu yang popular dalam rangkaian model Lancer.


TEMPAT duduk dibalut dengan kulit Nappa.


Ia dijana oleh unit enjin bersesaran 2.4 liter MIVEC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 170PS dan 22Nm tork. Enjin DOHC 16 injap itu dipadankan dengan transmisi INVECS-II Continuously Variable Transmission (CVT) yang menawarkan pemanduan lebih sporty, cekap dan selesa.

Kecemerlangan pengendalian Lancer Sportback di atas jalan dibantu oleh suspensi jenis bebas yang menerima talaan khas. Kuasa membrek pula diserahkan kepada sistem brek cakera ventilasi untuk roda hadapan dan brek cakera solid pada roda belakangnya.

Lancer Sportback juga dipasang dengan barisan senarai peralatan standard yang mengujakan. Antaranya, sistem kawalan suhu automatik, sistem audio 2-DIN dengan skrin sentuh LCD dan kamera mengundur. Alat pengesan hujan automatik pada penggilap cermin, lampu utama dan cruise control merupakan antara ciri-ciri yang ada pada Lancer Sportback.

Sebagai tambahan, Lancer Sportback didatangkan dengan system keselamatan terbaik termasuklah Active Stability Control (ASC) dengan Traction Control (standard), selain ABS, Electronic Brake Force Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA).

Maklumat lanjut, kunjungi bilik pameran Mitsubishi Motors atau layari www.mitsubishi-motors.com.my. Anda juga boleh menghubungi Mitsubishi Motors Customer Care Line di talian 03-7622 2202.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: