Sunday, July 31, 2011

Nasha Aziz kekal misteri




LIHAT kelibatnya dari hujung rambut ke hujung kaki, nilai komersial si jelitawan Nasha Aziz belum terhakis. Dia masih di takhtanya sebagai ratu dalam kelas yang tersendiri.

Kisah cintanya kekal misteri. Masih berbalam-balam persis malam suram bersimbah bayang rembulan, ada seperti tiada, tiada tetapi ada. Awal-awal dahulu, Nasha merancang beradu kasih dengan Nur Iman Tang Abdullah.

Namun, lebih setahun berlalu, putik cinta Nasha dan Iman masih tidak terhidu. Nasha ternyata sangat tertutup dengan cerita peribadinya, apatah lagi untuk berkongsi tentang kesediaannya menamatkan zaman solo bersama orang kuat konsert, Iman Tang yang tidak asing lagi dalam kalangan media tempatan.

“Terlalu banyak lampu merah berbanding hijau. Banyak benda belum diselesaikan untuk saya sampai ke arah itu,” jelas Nasha menjawab soalan mengenai perkahwinannya.

Kelihatan anggun dalam balutan busana rekaan Iszal, dia yang ditemui pada majlis The Blue Kebaya Showcase baru-baru ini juga ditanya tentang status Iman dalam hatinya.

“Silaturahim sesama Islam tidak akan terputus. Ia kekal hingga ke akhir hayat, sama seperti silaturahim antara kita,” katanya tersenyum sambil menutup jendela hatinya daripada terus dikuak.

Nasha enggan kisah dalam kainnya terus dijaja walaupun sedar cerita sebegitu boleh menjadi pelaris. Supaya adil kepada pembaca dan peminat, wanita yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM17) itu cenderung menjual hasil kerjanya yang kini boleh dilihat menerusi SuperMak.

Muncul dengan kuasa luar biasa, Nasha buat kali pertama melakonkan drama bercorak fiksyen dan aksi menerajui watak Amy, seorang isteri dan ibu yang dalam misi menjadi adiwira.

“Sebenarnya, saya sendiri yang datang ke sesi uji bakat SuperMak. Masa mula-mula saya dapat tahu drama ini, saya sudah dapat rasakan ia sangat berlainan.

“Lagipun, pendirian saya selepas ini adalah untuk melakonkan watak yang berbeza dan menarik berbanding biasa. Bila lihat skrip, kreativiti, produksi dan semua watak terbabit, saya dengan hati terbuka menerimanya,” jelas Nasha yang berganding dengan Azhan Rani sebagai suaminya dalam siri berkenaan.

Seronok beraksi dan melakukan sendiri aksi lagak ngeri untuk setiap babak dalam drama berkenaan, Nasha bagaimanapun agak tercabar apabila berdepan kanak-kanak berusia satu tahun, Haider Harris dalam drama itu.

“Agak sukar apabila saya kena berlakon dengan budak kecil. Maklumlah kita tidak tahu bila dia bersedia, menangis dan mahu ketawa, jadi kami buat macam-macam untuk hasilkan yang terbaik,” sambung Nasha. Buat kali pertama kali juga dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dia terpaksa berpuasa di lokasi penggambaran demi SuperMak.

“Sudah lima tahun saya tak berlakon pada bulan Ramadan tapi kali ini saya kena menghadapinya. Dah terikat dengan jadual, jadi saya kenalah penuhi komitmen tersebut. Tapi kalau boleh saya harap masih ada masa untuk berehat dan beribadat sebelum memulakan tugas semula," katanya lagi.

Selain Nasha, SuperMak yang mengisi slot Aksi sebanyak 13 episod bermula 25 Julai setiap Isnin pukul 9 malam di TV3 itu turut dibintangi oleh Azhan Rani, Zul Yahya, Rosli Sako Zara Zya, Syawal, Henzy Andalas dan Melly Amalin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: