Sunday, July 31, 2011

Jamilah Warna-warni


PASANGAN Jamilah dan Fakhri bertemu buat pertama kali di Amerika Syarikat, 30 tahun lalu.


‘JAMILAH Samian, 49, bukan suri rumah biasa walaupun sudah 23 tahun beliau memegang status itu. Dalam kesibukannya menguruskan rumah tangga, macam-macam kerja dapat dilakukannya. Beliau ialah penterjemah artikel untuk syarikat pengiklanan.

Ceramah motivasinya didengar oleh pekerja syarikat gergasi seperti UMW Toyota, Bank Negara Malaysia, dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beberapa tahun kebelakangan, beliau mengusahakan sebuah homestay di Janda Baik, Pahang.

Jamilah berasal dari Batu Pahat, Johor. Bapanya bekerja sebagai pemandu bas antara bandar manakala ibunya lebih selesa menguruskan rumah dan membesarkan enam orang anak. Jamilah merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik.

Rekod pelajaran Jamilah nyata cemerlang. Beliau ialah pelajar terbaik Malaysia Certificate of Education (MCE) di sekolahnya dan wanita pertama di kampungnya yang melanjutkan pelajaran ke luar negara iaitu Amerika Syarikat (AS).

Menulis

Jamilah mengikuti pengajian Sains Komputer dan Matematik di Universiti Indiana.

“Ketika belajar di AS itulah saya berjumpa dengan suami saya, pelajar kejuruteraan di Universiti Boston,” kata Jamilah.

Jamilah sah menjadi isteri Ahmad Fakhri Hamzah, 49, sekembalinya mereka ke Malaysia pada tahun 1984. Kedua-duanya bekerja di tempat yang sama iaitu Sarawak Shell Berhad di Lutong, Miri.

Menurut Jamilah, beliau terpaksa berhenti kerja pada tahun 1988 ekoran anak sulungnya sering demam dan menghidap asma. Beliau rela meninggalkan pekerjaan yang bagus di syarikat antarabangsa itu demi seorang anak yang sangat dikasihinya. Namun, menurut Jamilah, keputusan itu menyebabkan kehidupannya menjadi sunyi.

“Mungkin sebab saya adalah jenis yang suka bekerja atau melakukan sesuatu walaupun gemar menjaga anak dan menguruskan rumah tangga,” katanya.

Selepas berpindah ke Port Dickson, Negeri Sembilan, Jamilah menukar garaj rumahnya menjadi pejabat kecil untuk memulakan karier sebagai penulis serta penterjemah iklan dan artikel untuk syarikat korporat dan pengiklanan.

“Jamilah suka membaca sejak kecil. Boleh dikatakan sebahagian besar kerjanya melibatkan penulisan. Jadi saya cadangkan dia meneruskan kursus penulisan dan penterjemahan ketika kami di Port Dickson. Pada masa itu, kami sudah dikurniakan lima orang anak,” kata si suami, Ahmad Fakhri.

Jamilah mengikuti pengajian jarak jauh dalam bidang kewartawanan di Sekolah Kewartawanan London, Britain.

Lapan tahun selepas itu, Jamilah mengikuti suaminya yang ditugaskan di Oman, negara Asia Barat yang mempunyai dua juta penduduk.

“Di Oman, saya berpeluang menulis artikel untuk pelbagai majalah dan surat khabar antaranya Economic Journal of Oman, majalah Shell Oman dan New Straits Times di tanah air.

“Dalam jurnal ekonomi Oman itu, saya menulis tentang ruang pejabat dan susun atur perabotnya yang boleh menimbulkan suasana ceria. Ia sangat menyeronokkan,” kata Jamilah.

Menurut Jamilah, beliau bukan sahaja dibayar untuk pergi ke sesebuah pejabat, bahkan dapat menulis mengenainya di dalam majalah berkenaan. Beliau meneruskan kerja-kerja penulisan dan penterjemahan sehingga pulang ke tanah air dan menetap di Shah Alam pada tahun 2002.

Kini beliau menguruskan sebuah homestay di Janda Baik tetapi dalam masa yang sama telah menghasilkan beberapa judul buku bersama suaminya. Ini termasuk buku Cool Mum Super Dad, Cool Boys Super Sons dan terbaru, The Groovy Guide To Parenting Gen Y And Z. Kesemua buku itu adalah berkaitan dengan kemahiran keibubapaan.

Sebagai seorang ibu dan suri rumah, Jamilah gemar memasak. “Selera anak-anak kadang-kadang bergantung pada cara kita memasak. Walaupun masakan itu simple tetapi kalau kita pandai mempelbagaikannya, mereka akan suka.

Buku

“Saya bukan seorang tukang masak yang hebat. Kebanyakan hidangan adalah resipi turun-temurun khususnya daripada ibu bapa saya, Halimah Abdullah dan Allahyarham Samian Said,” katanya.

Tambah Jamilah, beliau akan memastikan sebanyak 80 peratus makanan yang dihidangkan di rumahnya dibuat sendiri.

“Semasa menikmati makan malam, kami tidak layan sebarang panggilan telefon atau melayari Internet.

“Waktu itu bukan sahaja untuk makan bahkan untuk merapatkan hubungan sesama anak dan suami. Saya sangat cerewet tentang perkara itu dan anak-anak sedar mengenai rutin itu setiap hari,” ujarnya.

Pasangan Jamilah dan Fakhri menganggap cabaran untuk membesarkan anak semakin meningkat. Teknik yang digunakan pada zaman datuk nenek kita mungkin tidak lagi sesuai untuk anak-anak zaman sekarang, ujar mereka.

“Untuk memastikan kebahagiaan keluarga, saya dan isteri belajar teknik berfikir, iaitu Six Thinking Hats dengan mengikuti kursus di AS. Teknik itu menghendaki kita melihat semua perspektif sebelum menunaikan kehendak anak-anak,” celah Fakhri.

Katanya, teknik itu membolehkan anak-anak memberikan pandangan mereka.

Jelasnya lagi, teknik itu mula dipakai semasa salah seorang anak beliau minta dibelikan telefon bimbit untuk dibawa ke sekolah. Menurut Fakhri, beliau berbincang mengenai kebaikan dan keburukan menggunakan alat itu di sekolah tanpa memaksa mereka menerima pandangan ibu bapa.

“Akhirnya anak saya sendiri mengatakan dia tidak mahu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: