|
|
PEMBACA berita TV9, Azura Abu Samah, 28, sanggup memperuntukkan RM80 sebulan untuk membuat rawatan kuku supaya jari tangannya sentiasa kelihatan bersih dan cantik sepanjang masa.
Bagi anak jati Kuala Lumpur ini, selain daripada menjaga kecantikan paras rupa dan bentuk tubuh, penjagaan kuku adalah keutamaannya.
“Kita orang Melayu yang menggunakan tangan apabila makan. Jadi, tidak salah jika kuku tangan dijaga dengan baik kerana itu akan menghindarkan daripada dijangkiti penyakit.
“Sebab itulah juga saya selalu memastikan kuku tangan saya sentiasa bersih dan sihat,” katanya ketika ditemui di salon kecantikan kuku di Axis Atrium, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kata Azura lagi, ramai yang beranggapan, wanita yang mengunjungi salon kecantikan kuku hanya mahukan kuku yang cantik semata-mata.
Sedangkan bagi dirinya, kuku yang bersih mencerminkan keperibadian seseorang itu sebagai seorang yang pembersih.
Biarpun sibuk dengan tugas sebagai pembaca berita televisyen, Azura memberitahu S3, dia akan sentiasa mencari masa untuk berkunjung ke salon kecantikan kuku.
Oleh itu, katanya, dalam tempoh sebulan, sekurang-kurangnya dua kali dia akan ke salon berkenaan.
“Sebenarnya, memberi perhatian kepada kuku adalah satu tabiat yang harus dipupuk sejak kecil lagi.
“Bayangkan jika kuku tangan kita hitam dan berdaki. Pasti itu akan memberikan gambaran yang kita seorang yang pengotor.
“Bagi saya, di peringkat kanak-kanak lagi perlu dididik menjaga kebersihan kuku tangan termasuk kuku kaki.
“Seperkara lagi, jangan ada tabiat suka menggigit kuku-kuku jari tangan. Ia bukan sahaja tidak senonoh tetapi juga menjijikkan,” ujarnya.
Kata Azura, ketika dia tidak boleh bersolat, dia juga gemar menghias kuku tangannya dengan warna-warna tertentu.
“Sebenarnya saya tidak terlalu cenderung tentang mencorak kuku sebaliknya, pewarna kuku lebih menjadi ‘kegilaan’ saya.
“Ada ketikanya, kuku tangan saya akan diwarnakan dengan warna merah jambu. Itu memberikan saya mood ceria,” katanya yang turut menyukai perkhidmatan urutan tangan dan kaki setiap kali berkunjung ke salon kegemarannya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: