PADAN...multi rona dan monokrom turut menjadi helaian pilihan bagi musim ini.
SERAKAN rona ceria dan cetakan abstrak melatari koleksi terkini House of Tatiana yang menampilkan hasil cetusan pereka fesyen dari Perancis.
Setiap helaian dalam himpunan kali ini jelas memperlihatkan keindahan flora serta kegembiraan meraikan musim bunga dan panas yang bukan saja tampak romantis, tetapi anggun digayakan bersama aksesori ringkas.
Menurut pengasas House of Tatiana, Julie Lim, setiap koleksi di rumah fesyen di Jalan Maarof, Bangsar itu dipilih berdasarkan kualiti, nilai eksklusif dan menepati selera wanita lingkungan usia 19 ke 60 tahun.
“Setiap musim saya akan ke Perancis bagi meneliti aliran fesyen terkini dan memilih satu persatu untuk dibawa pulang ke House of Tatiana.
“Saya sentiasa mementingkan kesesuaian setiap helaian dengan permintaan wanita tempatan yang mana saya banyak memberi tumpuan kepada jenis fabrik, renda Perancis, hiasan perincian, sulaman dan potongan rekaan yang menarik.“Selain itu, setiap koleksi pada satu-satu musim itu hadir dalam edisi terhad, tetapi pada harga berpatutan,” katanya.
Rumah fesyen dua tingkat itu menempatkan himpunan pret-a-porter (pakai siap) daripada pereka eksentrik Perancis antaranya Derhy, Nana Baila, Rinascimento, Fifilles dan Jus D’Orange dengan kepelbagaian pilihan saiz.
Gaun pendek beralun, maksi sederhana panjang dan blaus dalam himpunan Derhy misalnya, diterjemahkan daripada rekaan klasik ke potongan moden yang tampak santai kala digayakan.
Nana Baila pula lebih memberi perhatian kepada gaun koktel pendek dengan adunan pelbagai corak abstrak, pelbagai rona dan monokrom.
Pada masa sama, House of Tatiana menyediakan pilihan bagi penggemar adi busana elegan menerusi label eksklusif dari Paris seperti Eden Rose, Etincelle dan Sagaie.
Eden Rose banyak memainkan renda Perancis dalam koleksinya bagi menyuntik aura feminin manakala Etincelle menjurus kepada couture yang menggunakan fabrik spandex dan diperindahkan lagi dengan renda Perancis dan sulaman Eropah.
Walaupun memberi tumpuan kepada busana, House of Tatiana tidak ketinggalan menambah koleksi aksesori seperti beg genggam, pakaian dalam dan kasut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: