Saturday, July 30, 2011

Socrates, genius bola sepak


SOCRATES legenda bola sepak Brazil.


SOCRATES, nama tersohor yang diingati atas dua personaliti terkemuka dunia. Socrates (469-399 SM) ialah ahli falsafah Yunani kuno yang disifatkan sebagai salah seorang pengasas falsafah barat.

Manakala seorang lagi tuan punya nama 'Socrates' (dilahirkan 1954), pula merupakan legenda bola sepak Brazil yang dikenali kerana kehebatannya dalam dua edisi Piala Dunia, 1982 (Sepanyol) dan 1986 (Mexico).

Sejauh mana Socrates kuno menyumbangkan kepada sejarah falsafah dunia, maka sebanyak itulah juga legasi yang ditinggalkan Socrates moden dalam arena bola sepak antarabangsa.

Dianggap antara panglima jentera tengah terulung dalam sejarah bola sepak, Socrates, memulakan karier di Botafogo pada 1974.

Socrates memiliki kemahiran menakjubkan seperti bijak membaca dan mengatur permainan seolah-olah mempunyai banyak pilihan selagi bola ada pada kakinya.

Dia mampu menghantar bola kepada sesiapa yang mahu ditujukan. Skil sepakan tumit yang sering dipamerkan ketika beraksi, turut menjadi terkenal dan ikutan di seluruh dunia.

Namun, tidak seperti Pele, Ronaldo, Kaka mahupun Neymar, dia masih belum berstatus bintang sensasi sewaktu zaman remajanya, malahan tidak menyarung jersi skuad kebangsaan Brazil sehinggalah usianya menjangkau 25 tahun.

Kelewatan prestasinya memuncak disebabkan dia sebelum itu menumpukan pengajiannya dalam bidang perubatan dan dia sebenarnya merupakan seorang doktor bertauliah, satu pencapaian yang jarang dilakukan di kalangan bintang bola sepak, sekali gus mendapat gelaran 'The Doctor'.

Socrates ialah kapten pasukan legenda Piala Dunia 1982 yang menyaksikan barisan tengah yang dikemudinya bersama Cerezo, Falcao dan Zico pada ketika itu amat digeruni lawan.

Pada temasya tersebut, dia menjaringkan dua gol, satu daripadanya merupakan gol cantik sewaktu menentang Soviet Union.

Dia menggelecek melepasi dua pemain lawan sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol.

Meskipun terkandas pada pusingan kedua selepas ditewaskan 2-3 dalam perlawanan epik kepada Itali, pasukan Brazil itu diingati dan masih menjadi sebutan sehingga hari ini kerana persembahan bermutu tinggi lagi menghiburkan.

Empat tahun kemudian di Mexico, Socrates sekali lagi cemerlang, namun tidak cukup untuk membantu Brazil menjulang Piala Dunia yang diidam-idamkan. Mereka tewas pula kepada Perancis yang diketuai Michel Platini menerusi penentuan sepakan penalti.

Socrates mungkin menjadi punca kekalahan pasukannya kerana gagal menyempurnakan salah satu sepakan itu, namun, dialah satu-satunya pemain dari skuad Piala Dunia terdahulu yang mengekalkan prestasi pada tahap yang sama seperti empat tahun lalu.

Di peringkat kelab, dia menghabiskan empat tahun di Botafogo sebelum menyertai pasukan kedua popular Brazil, Corinthians dan menetap di pasukan tersebut selama enam musim sehingga 1984, menyaksikan dia berada pada kemuncak prestasi dengan meledak 172 gol daripada 297 penampilan.

Socrates kemudiannya memilih aksi di luar Brazil apabila berhijrah ke kelab Serie A Itali, Fiorentina, namun hanya bertahan semusim.

Dia mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di Eropah dan sebab itu, mengambil keputusan kembali ke Brazil. Sekembali ke tanah air, dia menyarung pula jersi Flamengo sebelum mengakhiri kerjaya selama 15 tahun di Santos.

Di tanah air, Socrates mempunyai identiti berbeza. Selain dihormati kerana kehebatannya dalam bola sepak, dia juga dipuja kerana kepimpinannya dalam politik, terutamanya kesungguhan menentang pemerintahan diktator.

Sebagai pemimpin Democracia Corintiano (Demokrasi Corinthians), Socrates mengetuai gerakan memperjuangkan demokrasi dalam bola sepak.

Pada 1982, dia bersama rakan-rakan sepasukannya, dibantu pemain pertahanan Wladimir serta keizinan daripada presiden kelab, Waldemar Pires, mengambil alih keseluruhan pengurusan pasukan.

Mereka berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dikenakan pelbagai larangan oleh pengurusan terdahulu dan selepas kejayaan memihak Socrates dan rakan-rakan, seluruh skuad Corinthians mendapat hak mengundi menentukan sesuatu isu pasukan.

Perjuangan itu kemudiannya dilanjutkan kepada penentangan politik kerajaan Brazil yang ketika itu diperintah diktator ketenteraan. Dia merupakan antara rakyat biasa yang berani bersuara mencabar barisan kepemimpin junta.

Socrates pernah mendedahkan, tiga idolanya semasa zaman kanak-kanak ialah Fidel Castro, Che Guevara dan John Lennon.

Di sebalik kemasyhurannya, Socrates bagaimanapun bukan seorang ahli sukan yang wajar dicontohi jika dinilai dari aspek gaya hidup. Sehingga hari ini, dia mengakui masih ketagih arak dan kuat merokok.

"Saya menghisap 20 batang rokok setiap hari dan masih kerap meneguk arak," katanya dalam temu bual bersama sebuah akhbar United Kingdom.

Socrates kini menetap di Ribeirao Preto bersama isteri dan enam anaknya. Dia aktif menulis dalam beberapa akhbar dan majalah, selain menjadi pengulas sukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: