Saturday, July 30, 2011

Filem X tampil enam heroin


BARISAN karyawan filem X kini sedang giat dalam penggambaran filem tersebut. Lima dari kiri, Liana Rafiai, Diana Amir, Siti Chubby, Nuremy Ramli dan Chloe Nicole.


APABILA filem terbaharu keluaran Metrowealth Pictures (MIG) diberi judul X, sudah tentu ia mengundang pelbagai persoalan oleh ramai pihak dan boleh dikatakan ia adalah tajuk filem paling pendek di negara ini.

Merupakan filem ke-63 yang dihasilkan oleh MIG, X adalah sebuah filem terkini bergenre aksi komedi yang diarahkan oleh Ahmad Rusli Khadri yang juga merupakan pengarah ketujuh di bawah Skim 10 Pengarah Muda MIG.

Mengenai tajuk filem berkenaan, Ahmad Rusli menjelaskan bahawa ‘X’ bermaksud ‘bekas’ dan jalan ceritanya pula adalah berkenaan dengan kehidupan seorang lelaki yang terpaksa melayan karenah bekas-bekas isterinya.

“Pada asalnya judul filem ini adalah Bekas Isteri, namun saya merasakan ianya kurang sesuai dan akhirnya judul X telah dipilih kerana ia sangat ringkas dan saya yakin ia mampu untuk menarik minat penonton.

“Sebenarnya saya sangat berdebar kerana ini merupakan filem sulung arahan saya dan saya berterima kasih kepada David Teo kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk mengarah filem ini,” ujarnya pada majlis pelancaran filem tersebut baru-baru ini.

Sudah menjalani penggambaran pada 21 Julai lalu, filem X mengisahkan mengenai seorang lelaki bernama Hafiz yang terlalu percaya cinta, tetapi sering gagal dalam perkahwinannya sebanyak lima kali.

Kemudian ketika hendak melangsungkan perkahwinan buat kali yang keenam, tiba-tiba kelima-lima bekas isterinya muncul dan bermula dari saat itu pelbagai kejadian dan aksi menarik telah berlaku.

Menurut Ahmad Rusli yang juga dikenali sebagai Ollynn, selain dibintangi oleh Pierre Andre yang memegang watak utama sebagai Hafiz, filem berkenaan turut turut membariskan enam orang heroin.

Jelasnya, pelakon-pelakon yang memegang watak heroin adalah gabungan pelakon baharu dan popular seperti Diana Amir, Intan Ladyana, Siti Chubby. Chloe Nicole, Nuremy Ramli dan Liana Rafiai.

“Boleh dikatakan filem ini memang cukup unik kerana selain judulnya yang pendek, ia juga menampilkan sehingga enam orang heroin dan setiap watak mereka pula adalah seimbang,” jelasnya.

Mengenai pemilihan pelakon pula, sebagai pengarah dia telah diberikan peluang untuk memilih sendiri dan yakin setiap pelakon dalam filem tersebut dapat membawakan watak masing-masing dengan baik.

Tentang skrip pula, ia telah dihasilkan Loh Chung Tat dan Panel MIG. Bagaimanapun, sebanyak dua kali rombakan telah dibuat terhadap skrip berkenaan terutama pada pertengahan cerita sehinggalah penamatnya.

Sementara itu, David Teo selaku peneraju MIG menjelaskan pemilihan Ahmad Rusli untuk menjadi pengarah filem berkenaan adalah bertepatan dengan pengalamannya sebagai pengarah beberapa buah drama dan telefilem sebelum ini.

“Sebenarnya Ahmad Rusli sudah meluahkan keinginannya untuk mengarah filem sejak tahun lepas lagi. Namun, saya menjelaskan kepadanya supaya bersabar dahulu dan dia perlu menunggu giliran.

“Kini masanya sudah tiba untuk saya memberi kepercayaan kepadanya dan dia merupakan pengarah ketujuh di bawah Skim 10 Pengarah Muda MIG. Jadi, saya harap dia mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan kepadanya,” jelas David.

Sebelum ini Ahmad Rusli telah mengarahkan drama-drama seperti Jangan Pandang Belakang Congkak The Series dan Impian Raya Emelyn serta telefilem Diari Suami 9 Bulan, Korban Kasih Abah, Balik Kampung dan Saya Tahu Apa Awak Buat Raya Lalu.

Selesa watak komedi

Sementara itu, Pierre Andre yang turut ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut pula berkata dia tertarik untuk berlakon dalam filem X kerana tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan.

Menurutnya, buat masa sekarang ini dia lebih berminat untuk berlakon filem-filem yang bergenre komedi kerana merasakan ia lebih mudah untuk dilakukan dan tidak terlalu tertekan berbanding membawakan watak serius.

“Skrip dan jalan cerita filem ini cukup menarik dan saya menjadikan pelakon komedi terkenal Hong Kong iaitu Stephen Chow sebagai sumber inspirasi saya untuk membawakan watak ini dengan lebih berkesan.

“Apa yang lebih menarik lagi saya juga memainkan watak sebagai seorang pemandu drift dan untuk watak tersebut saya perlu mempelajari tentang teknik-teknik pemanduan drift. Lagipun sudah lama saya teringin untuk belajar memandu drift dan sekarang baharulah saya berpeluang,” ujarnya.

Ditanya mengenai pandangannya berlakon di bawah arahah pengarah baharu seperti Ahmad Rusli, Pierre menjelaskan tiada masalah besar buat dirinya kerana mereka berdua sudah pernah bekerjasama sebelum ini.

“Kami berdua pernah bekerjasama apabila dia bertindak sebagai pengarah seni untuk beberapa buah filem seperti 9 September dan Jangan Tegur. Malah, saya lihat dia mampu untuk pergi lebih jauh sebagai seorang pengarah.

“Walaupun selama ini kami memang sudah lama berkawan, namun sewaktu menjalani penggambaran nanti saya akan tetap menghormatinya selaku pengarah untuk filem ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: