Saturday, July 30, 2011

Enggan dibayangi Roy Marten




NAMA Roy Marten sememangnya satu nama yang cukup besar dalam industri hiburan di Indonesia. Dikenali sebagai seorang aktor yang cukup popular sekitar tahun 70-an dan 80-an, pelakon tersebut juga pernah meraih bayaran paling mahal untuk berlakon dalam sebuah filem. Masih lagi menerima tawaran lakonan, tetapi kini darah seninya itu turut diwarisi oleh salah seorang anaknya iaitu Gading Marten.

Tidak seperti bapanya yang sememangnya dikenali di Malaysia suatu ketika dahulu, nama Gading Marten pastinya masih asing lagi di negara ini. Namun, di negara asalnya dia adalah antara pelakon serta hos yang semakin mencipta nama.

Mewarisi bakat seni daripada bapanya itu, Gading merupakan pelakon yang acap kali membintangi sinetron seperti Putri Yang Terbuang, Jelita, Liontin 2, Si Cantik dan Si Cantik Dan Si Buruk Rupa dan Hingga Akhir Waktu. Malah, ada antara sinetron tersebut yang pernah disiarkan di kaca televisyen tempatan.

Biarpun mengakui sangat bertuah kerana dilahirkan sebagai anak kepada seorang pelakon terkenal, namun aktor yang lahir pada 8 Mei 1982 di Jakarta itu tidak pernah menggunakan nama bapanya untuk mencipta nama dalam bidang lakonan.

“Orang selalu beranggapan bahawa sebagai anak Roy Marten, maka akan lebih mudah untuk saya mendapatkan tawaran berlakon. Sedangkan hakikatnya segala yang saya kecapi sekarang adalah hasil usaha sendiri.

“Sama seperti kebanyakan pelakon-pelakon yang lain, saya juga terpaksa bermula dari bawah dan turut menjalani sesi uji bakat sebelum diterima berlakon. Perjalanan karier seni saya sebenarnya tidaklah mudah seperti sangkaan ramai,” ujarnya ketika ditemui sewaktu hadir ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Gading, meskipun sehingga kini ayahnya itu masih lagi dikenali ramai, namun dia tidak mahu terus dibayangi oleh populariti ayahnya dan akan cuba untuk elak daripada dikenali sebagai anak Roy Marten.

Bagaimanapun, dia tetap menjadikan ayahnya itu sebagai seorang idola dalam bidang lakonan dan turut berazam untuk mengukir nama seperti ayahnya dengan dikenali sebagai seorang pelakon yang disegani.

Namun begitu, memandangkan ayahnya merupakan seorang pelakon yang cukup hebat dan berkaliber, Gading juga turut tidak dapat mengelak tentang tanggapan sesetengah pihak yang selalu membandingkan gaya lakonan mereka berdua.


GADING MARTEN berusaha untuk meraih populariti melalui kredibilitinya sendiri tanpa dikaitkan dengan bapanya, Roy Marten.


“Perkara itu memang tidak dapat dinafikan dan sudah tentu saya berasa kurang selesa. Namun, ayah selalu berpesan supaya tidak mempedulikan orang yang gemar membuat perbandingan dan yakin saya mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini,” ujar aktor berusia 29 tahun itu lagi.

Ditanya tentang perkembangan terbaharu ayahnya itu sama ada masih lagi berlakon atau sudah bersara, beritahu Gading selepas dibebaskan dari penjara, ayahnya kini kembali membuat kemunculan dalam dunia lakonan.

Ujarnya, dalam tempoh terdekat ini ayahnya akan muncul dalam sebuah filem berjudul Dilema dan bergandingan dengan beberapa orang pelakon popular seperti Wulan Guritno, Slamet Rahardjo dan Lukman Sardi.

Apa yang menariknya, meskipun kedua-duanya itu bergelar seorang pelakon, tetapi sehingga kini mereka berdua masih lagi belum pernah bergandingan bersama dalam mana-mana filem atau sinetron.

“Memang setakat ini saya dan ayah belum pernah berlakon bersama-sama. Namun, sudah ada rancangan untuk menggandingkan kami menerusi sebuah filem yang akan memulakan penggambaran pada bulan September akan datang,” jelasnya lagi.

Nafi playboy

Meskipun namanya kini semakin dikenali ramai, tetapi Gading juga tetap tidak terlepas daripada dihambat dengan kisah-kisah peribadi yang cukup kontroversi yang dilihat boleh menggugat kariernya sebagai seorang aktor.

Sehinggakan dia telah dilabel sebagai seorang aktor playboy yang sering mendampingi gadis-gadis cantik yang juga merupakan selebriti terkenal seperti Astrid Tiar dan Nirina Zubir, meskipun pada masa yang sama sudah mempunyai kekasih.

Lebih menarik lagi, aktor berkenaan juga pernah mendapat ancaman bunuh daripada pihak yang tidak dikenali setelah dituduh mempunyai sikap negatif yang suka merebut gadis yang sudah mempunyai teman lelaki.

Apabila diminta mengulas mengenai tohmahan negatif yang dilemparkan kepadanya itu, Gading menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengatakan dirinya seorang playboy dan suka menggugat hubungan percintaan orang lain.

“Saya bukanlah seorang lelaki playboy yang disangkakan ramai orang. Sebenarnya, saya ini jenis lelaki yang gemar memiliki ramai kawan dan tidak kisah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Mungkin ada yang melihat saya keluar dengan sesetengah wanita, lalu membuat tanggapan bahawa wanita berkenaan adalah kekasih saya. Sedangkan hakikat yang sebenar hubungan saya dan wanita yang dimaksudkan adalah sekadar rakan sahaja,” jelasnya.

Malah, aktor tersebut juga sempat bergurau apabila mengatakan pihak yang melabelkannya sebagai seorang lelaki yang gemar memiliki ramai teman wanita adalah berpunca daripada watak-watak yang dilakonkan oleh ayahnya dahulu.

“Sewaktu ayah saya masih lagi muda, dia selalu memainkan peranan sebagai seorang playboy dalam kebanyakan filem lakonannya. Jadi orang beranggapan sikap playboy itu telah diperturunkan kepada saya pula,” ujarnya.

Hubungan baik




Tentu peminat hiburan di negara ini sudah mengetahui tentang kontroversi yang berlaku terhadap Roy Marten yang menerima hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah sekitar tahun 2007.

Atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu ketika diberkas di sebuah hotel, aktor berkenaan telah dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun. Akhirnya pada tahun lalu dia telah dibebaskan dari penjara.

Biarpun pernah melakukan suatu kesalahan yang cukup besar sehingga terpaksa meringkuk di penjara, namun Gading memberitahu bahawa hubungan dia dan ayahnya itu masih lagi baik sehingga kini.

“Tiada manusia di dunia ini yang dirinya adalah sempurna dan setiap orang akan melakukan kesalahan. Walau sebesar mana sekalipun kesalahan yang pernah dilakukan, dia masih lagi ayah saya.

“Oleh sebab itu tidak ada sebab untuk saya membenci dirinya dan hubungan kami berdua juga masih tetap baik. Secara jujurnya, saya beruntung kerana memiliki seorang ayah sepertinya,” jelas Gading mengenai hubungan mereka berdua setelah ayahnya itu dibebaskan dari penjara.

Ujarnya lagi, dia menyifatkan ayahnya sebagai seorang individu yang cukup baik dan disebabkan kebaikannya itu juga menjadi punca dia telah menjadi mangsa penganiayaan orang lain sehingga meringkuk di penjara.

“Sebagai seorang anak saya perlu menghormatinya dan tidak ada sebab untuk kami bermusuhan. Biar apa juga kesalahan yang pernah dilakukan, saya memang sudah lama memaafkannya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: