SUZUKI Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (SMA) mengumumkan prestasi setengah tahun pertamanya baru-baru ini.
Perkongsian pasaran Suzuki meningkat daripada 1.1 peratus tahun lalu kepada 1.4 peratus pada tahun ini (Januari hingga Jun 2011). Ia juga mencatatkan peningkatan sebanyak 27 peratus dalam tempoh tersebut dengan jualan sebanyak 4,086 unit kenderaan Suzuki.
Dalam pasaran segmen kereta bukan nasional, perkongsian pasaran Suzuki meningkat daripada 2.6 peratus kepada 3.1 peratus hingga Jun tahun ini. Sumbangan terbesar datangnya daripada permintaan kukuh terhadap model Swift yang meliputi 67 peratus jualan keseluruhan syarikat.
Sebagai tambahan, jualan Swift menokok sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu apabila Suzuki berjaya menjual 2,730 unit Swift dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Ketika Swift mendominasi segmen B hatchback dengan 59 peratus, model kompak Alto dilihat semakin mendapat maklum balas positif dalam segmen A hatchback. Jualan Alto mencecah 610 unit dan mewakili 23 peratus perkongsian pasarannya.
Sementara jualan model SX4 Crossover meningkat sebanyak 28 peratus dengan perkongsian pasaran mencecah 23 peratus dalam segmen C hatchback. Ini bermakna sebanyak 461 unit berjaya dijual berbanding 329 unit pada tahun lalu.
Jualan model Grand Vitara turut menunjukkan peningkatan apabila memperoleh empat peratus perkongsian pasaran dalam segmen SUV bukan nasional.
Dalam majlis sama, SMA memperkenalkan model Swift yang telah ditambah baik. Dikenali sebagai Swift GLX, penambahbaikan kosmetik itu dibuat berikutan minat terhadap Swift yang tidak pernah menurun.
"Kami menyasarkan jualan sebanyak 500 unit Swift GLX sebulan, walaupun pasaran kini berdepan beberapa cabaran termasuklah kesan pasca tsunami di Jepun dan pindaan akta sewa beli," jelas Pengarah Urusan SMA, Ibrahim Maidin.
Menurut Ibrahim, Swift merupakan gabungan teknologi Jepun dengan rekaan Eropah. Jadi, ia sememangnya sebuah jentera kompak yang terbukti bagus dan pastinya mampu memuaskan hati setiap pemiliknya.
Antara penambahbaikan yang diterima Swift GLX ialah jeriji baharu pada bampar hadapan, lampu belakang baharu, selain bampar belakang, skirting sisi dan penutup enjin yang sporty.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: