Saturday, July 30, 2011

Fazura setia pada satu produk


SESI tata rias kuku yang begitu menceriakan para peminat Fazura.


MEMANG sejak dari zaman remaja lagi, pelakon terkenal, Nur Fazura hanya menggunakan satu jenis produk untuk penjagaan kulit wajahnya. Menurut aktres jelita ini lagi, dia tidak suka banyak produk kerana keberkesanan satu produk itu mencukupi baginya.

"Cara Faz menjaga diri tidak susah, setiap pagi Faz akan ambil cuka epal, dan beberapa lagi suplemen serta jus oren. Dan Faz juga memang sudah beberapa tahun tidak minum minuman berais," jelas Fazura yang ditemui di majlis beramah mesra Bintang Selebriti Lux di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Jelas pelakon dan juga pengacara itu lagi, dia juga tidak menjamah makanan berminyak kerana tahu ia tidak baik untuk kesihatan.

"Faz memang banyak makan buah, buah yang paling banyak Faz makan ialah nanas. Walaupun ada yang mengatakan nanas 'tajam' untuk perempuan tapi Faz yakin dengan vitamin c yang ada dalam buah tersebut memberi keperluan vitamin yang diperlukan oleh tubuh Faz," jelasnya.

Selain menjaga pemakanan, Fazura juga sering memanjakan diri di spa, dia paling gemar berurut. Menurut Fazura, ketika berurut dia akan rasa begitu lega, segar dan benar-benar merehatkan mindanya juga.

"Faz akan berurut sekurang-kurangnya dua kali sebulan, skrub badan pula dua kali seminggu, Faz juga percaya bahawa aroma terapi memang memberi kesan untuk merehatkan minda seseorang," jelas Fazura yang kini merupakan duta jenama pembersih badan Lux.

Menurut si cantik ini lagi, jika tidak berlakon, dia memang bukan seorang yang gemar mengenakan solekan. Yang akan dibuat sebelum keluar ialah memakai krim pelindung matahari dan sedikit gincu, alasannya supaya kulit bebas bernafas.

"Sebelum tidur pula biasanya Faz akan memasangkan lilin dan minyak aroma terapi. Faz akan pastikan sebelum tidur buang semua energi negatif, tidur dengan minda yang positif, kadang-kadang Faz akan baca buku atau menonton DVD, tapi sudah jarang dapat peluang tersebut kerana kesibukan tugasan lakonan," ujarnya.

Bagi Fazura, kecantikan sebenar bukan terletak pada rupa, ia lebih kepada cara seorang wanita itu membawa dirinya. Cara berinteraksi, tutur kata yang elok, itulah kecantikan yang sebenarnya bagi seorang wanita.

"Satu yang menjadi pesanan mama Faz ialah untuk menjaga kecantikan seorang wanita itu perlu cukup tidur," ujarnya yang mengagumi kejelitaan bintang antarabangsa, Angelina Jolie.

Dalam pada itu, Fazura sebenarnya didatangkan khas oleh Lux untuk memenuhi permintaan peminat setianya yang telah memenangi pertandingan mencipta tanda tangan Lux.

Seramai 10 pemenang telah dipilih dalam pertandingan yang telah berlangsung dari 16 Jun hingga 16 Julai lalu. Kesepuluh pemenang ini juga boleh membawa kawan baik mereka untuk sesi tatarias kuku dan majlis makan malam eksklusif bersama Nur Fazura, artis kesayangan mereka.

Malah Fazura turut berkongsi rahsia kecantikan dengan pemenang kali ini dalam suasana penuh intim. Selain beramah mesra, para pemenang ini juga berpeluang membawa pulang produk mandian badan Lux yang sudah ditandatangani oleh Nur Fazura.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: