PETALING JAYA: Pelakon Abby Abadi sudah mengesahkan tidak akan hadir ke majlis resepsi persandingan bekas suaminya, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September depan di sebuah hotel walaupun menerima kad undangan daripada mereka.
Norman dan Memey di jadual bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh, Mersing Johor iaitu rumah pengantin perempuan.
Ujar Abby, dia berbuat demikian kerana enggan merosakkan hari bahagia mereka yang digelar sebagai “wedding of the year” itu berikutan menerima tajaan bernilai RM12 juta.
“Jujurnya saya tidak akan hadir pada majlis itu. Saya tidak mahu merosakkan hari bahagia mereka,” katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.
Mengenai keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Jumaat yang melepas dan membebaskan Norman dan Memey atas tuduhan berkhalwat kira-kira tiga tahun lalu, Abby enggan mengulas berhubung perkara itu.
Menurut Abby, dia tiada hak untuk memberi komen mengenai kes tersebut memandangkan bekas suaminya itu tiada kena mengena lagi dengannya.
"Itu adalah keputusan mahkamah. Jika mereka (Norman dan Memey) disabitkan bersalah, maka salahlah mereka dan jika keputusan berpihak pada mereka, maka mereka berada di pihak yang betul.
"Pada pendapat saya, sama ada saya beri komen atau tidak, Norman dan Memey tidak ada kena mengena pun dengan saya," katanya.
Tambah ibu tunggal kepada tiga orang anak ini, walau apa pun keputusan mahkamah, ia tetap tidak akan mengubah apa-apa aktiviti mengenai kehidupan sehariannya.
Ditanya adakah Abby sudah berbaik dengan Norman setelah isu tuntutan wang hantaran berjumlah RM11,111.11 terhadap Norman diperkatakan sebelum ini, menurut Abby mereka sekadar bertegur sapa mengenai perihal anak sahaja.
"Jujurnya, apabila timbul pertikaian mengenai isu tersebut (hantaran), ia sedikit sebanyak menjejaskan karier lakonan saya. Dan ia dilihat seperti saya yang mahu memanaskan keadaan.
"Oleh itu, saya letak tanggungjawab tersebut kepada peguam saya yang rasanya lebih tahu tentang perkara ini.
"Saya belajar daripada pengalaman apabila kita cakap sesuatu yang benar, ia akan terkena kepada kita. Jadi cakap pun tak guna dan biarlah orang yang lebih arif sahaja yang uruskan," ujarnya.
Dalam pada itu, mengenai hubungannya dengan pelakon Zul Arifin, mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat walaupun masing-masing pernah berbincang mengenai hal tersebut.
Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Bagaimanapun mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: